Sunday, May 13, 2012

“Jangan Ucap Selamat Hari Ibu”, pesan mama

Ustaz Ahmad Fauzan Yahaya, Al-Madinah International University.
Dua tiga hari kebelakangan ini, media cetak dan elektronik sibuk menayangkan cerita-cerita yang bertemakan Hari Ibu, menyebarkan kasih sayang ibu dan anak-anak serta kisah-kisah pengorbanan ibu dan pengertian kasih seorang ibu kepada anak-anak mereka. Malah, hampir kebanyakan ucapan-ucapan selamat Hari Ibu diabadikan dalam ‘facebook’ masing-masing khas untuk ibu kesayangan mereka.
Sebenarnya, Hari Ibu sudah lama disambut oleh rakyat khususnya. Bukan hanya Hari Ibu, malah ada lagi sambutan-sambutuan yang bertemakan kasih sayang seperti sambutan yang lain baik Hari Kekasihnya, Hari Bapanya, dan yang paling masyhur ialah Hari Jadi yang hampir semua menyambut dengan ucapan mahupun hadiah.
Mungkin sudah ramai yang maklum akan isu ini, namun tidak kurang juga yang masih keliru. Saya kira, sudah ada tulisan-tulisan dari sahabat-sahabat seperjuangan akan hal ini, saya amat berharap agar tulisan ini mendapat impak yang positif dalam usaha memurnikan dan menyucikan budaya umat Islam khususnya di Malaysia dari terdedah serta terpengaruh dengan budaya barat, Insya Allah.
Bagaimana Islam Mengajar Anak Menyayangi Orang Tua
Sebelum saya bercerita lebih jauh, bagaimana Islam mengajar kita menyanyangi ibu? Lupakah kita tentang ayat Quran larangan berkata “AH” di dalam surah al-Isra’ kepada kedua ibu bapa kita? Lupakah kita hadith-hadith Nabi yang menyuruh kita menghormati dan menyayangi ibu kita?
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (al-Isra’:23)
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anh berkata: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.”
(riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, nombor 5971, Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).
Malah dalam firman Allah yang lain, bermaksud;
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. (surah al-Ahqaf 46:15)
Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, “Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?”
Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”
Dia menjawab: “Tidak.”
Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”
Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”
 Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala melainkan berbakti kepada ibu.”
(riwayat Imam al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no: 2799)
Wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya 
Firman Allah yang bermaksud;
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”. Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu. (surah Luqman : 13-14)
Lihatlah begitu banyak ayat-ayat Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW mengajar kita menghargai dan menghormati kedua ibu bapa kita. Namun, tidak ada sedikit pun dalil atau petunjuk dari Allah dan Rasul yang menyuruh kita mengucapkan.. ”Selamat Hari Ibu”. Ingatlah, Nabi telah mengingatkan kita “Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah al-Quran, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Sunnah Rasul SAW”, dan adakah petunjuk kita melebihi petunjuk Rasul Allah?
Hanya Ada 2 Perayaan atau Sambutan Dalam Islam
Begitu juga kita harus faham bahawa perayaan yang diiktiraf secara mutlaq di dalam Islam hanyalah dua sebagaimana hadith Nabi SAW :
Dari Anas bin Malik ia berkata: Rasulullah datang ke Madinah dalam keadaan orang-orang Madinah mempunyai 2 hari (raya) yang mereka bermain-main padanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata: “Apa (yang kalian lakukan) dengan 2 hari itu?” Mereka menjawab: “Kami bermain-main padanya waktu kami masih jahiliyyah.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikannya untuk kalian dengan yang lebih baik dari keduanya, iaitu Idul Adha dan Idul Fitri.” (riwayat Imam Abu Dawud no. 1004, disahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani)
Jika dihalusi makna Ied itu sendiri Ibnu A’rabi mengatakan: “Ied dinamakan demikian kerana setiap tahun terulang dengan kebahagiaan yang baru.” (Al-Lisan hal. 5) 
Ibnu Taimiyyah berkata: “Ied adalah sebutan untuk sesuatu yang selalu terulang berupa perkumpulan yang bersifat massal, baik tahunan, mingguan atau bulanan.” (dinukil dari Fathul Majid hal. 289 tahqiq Al-Furayyan).
Ini bermakna, perayaan Hari Ibu ini sepatutnya tidak disambut oleh Umat Islam jika beliau gabungkan dengan kefahaman definisi perayaan dan juga hadith di atas.
Di sini mungkin persoalan akan ditimbulkan, apa salahnya kerana amalan ini baik dan atas alasan ”sayang” kita pada Ibu maka semua amalan-amalan yang tidak berpaksikan petunjuk Nabi akan diberi lesen besar utk kita lakukannya? Teringat hadith riwayat Abdullah bin Ibn Mas’ud,
”Berapa ramai yang ingin kebaikan, tapi dia tidak mendapatnya”. (riwayat Imam ad-Darimi)

RACISM, YOUTH ISSUES -KHALID YASIN



Saturday, April 28, 2012

Sejarah Demonstrasi Jalanan dan Hukumnya

Sumber :Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com
Akhir-akhir ini adegan dan slogan demonstrasi jalanan ke atas pemerintah sering sekali dilaungkan. Diberi nama pula sebagai sarana amar makruf nahi mungkar dan jihad. Maka, suara-suara kebencian dan protes ke atas pemerintah pun meluap-luap.
Sangat menyedihkan adalah apabila pelbagai aksi dan adegan demonstrasi ini kian menjadi fenomena masyarakat dalam negara kita.
Menurut Kamus Dewan, maksud demonstrasi dalam konteks ini merujuk kepada “Tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak, dll. (Termasuk di dalamnya membuat kacau). Berdemonstrasi maksudnya menunjuk perasaan (kerana memprotes) dll.” (Kamus Dewan, Edisi Keempat, m/s. 332 – Dewan Bahasa dan Pustaka)
Persoalannya, adakah demonstrasi merupakan salah satu sarana anjuran agama dalam menghadapi kesalahan dan keterlanjuran pemerintah? Apa hukum perlakuan demonstrasi di sisi agama? Dalam tulisan yang lalu, penulis telah bentangkan kaedah-kaedah yang syar’i dalam menegur dan memperbaiki keterlanjuran pemerintah, iaitu dengan cara nasihat, mendoakan mereka dengan kebaikan, bertemu dan berbincang dengannya, memperbanyakkan kesabaran, dan dengan tidak mengaibkan serta merendah-rendahkan kedudukannya.
Ringkasnya, begitulah kaedah-kaedah yang syar’i dalam bermuamalah terhadap pemerintah sama ada yang adil mahupun yang zalim, selagi mana mereka masih menzahirkan keislaman dan syi’ar solat.
Dalam masa yang sama, amalan syar’i ini menunjukkan betapa Islam itu adalah agama yang mengajak kepada perdamaian, mengajak kepada maslahah, berdisiplin, membenci kekacauan, dan penuh dengan ketenangan. Secara automatik, amalan demonstrasi dan protes ke atas pemerintah sewajarnya tidak berlaku di kalangan umat Islam jika ruh agama tersebut berjaya difahami dengan baik.

Sejarah Demonstrasi
Dalam sejarah Islam, awal tercetusnya demonstrasi adalah dari golongan pemberontak ketika pemerintahan ‘Utsman B. Affan radhiyallahu ‘anhu. Mazhab demonstrasi dan pemberontakan ketika itu dicetuskan oleh seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah B. Saba’ yang berpura-pura masuk Islam. Beliau menyusup masuk ke dalam masyarakat Islam bertujuan menyebarkan pelbagai fitnah dan syubhat menghasut rakyat membenci Khalifah ‘Utsman.
Tindakan ‘Abdullah B. Saba’ ini bertepatan dengan sikap permusuhan Yahudi terhadap umat Islam sebagaimana termaktub dalam al-Qur’an sendiri. Tidak akan senang mereka selagi mana Islam tidak dihancurkan.
Di antara tuduhan-tuduhan yang beliau lemparkan ke atas ‘Utsman ketika itu antaranya ‘Utsman ini bersifat kronisme, nepotisme, zalim, tidak memberi hak dengan adil, dan mendahului ‘Ali dalam hak kekhalifahan. Syubhat-syubhat dan fitnah yang beliau sebarkan tampak berjaya lantaran ramainya orang awam dan muallaf yang baru memeluk Islam yang masih belum mendalam keimanannya. Beliau turut menyemarakkan ideologi membela golongan tertindas dengan mengajak rakyat memprotes ‘Utsman B. ‘Affan.
Ramai rakyat termakan fitnah lalu bangkit membuat provokasi mengkritik ‘Utsman secara terbuka di sana sini. Sehingga muncullah revolusi rakyat mengakibatkan pemberontakan. Beberapa hari rumah ‘Utsman mereka kepung, akhirnya ‘Utsman pun mereka bunuh dalam peristiwa yang penuh tragis. Golongan pemberontak dan aktivis demonstrasi ketika itu menamakan tindakan mereka sebagai amar makruf nahi mungkar! Walhal ia adalah kebathilan berkedok agama.
Setelah peristiwa terbunuhnya ‘Utsman, fitnah tidak kunjung reda. Sebaliknya terus berkobar ketika zaman pemerintahan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu dan seterusnya. Pemikiran ‘Abdullah B. Saba’ terus meracuni masyarakat sehingga muncul pula golongan Syi’ah dan Khawarij sekaligus. Awal kemunculan Syi’ah ketika itu berperanan mengajak masyarakat mendewakan ‘Ali, manakala golongan khawarij menjadi faktor melaga-lagakan masyarakat dengan pemerintah (khalifah ‘Ali B. Abu Thalib). Kaum khawarij juga bertindak melaga-lagakan para sahabat terutamanya di antara ‘Ali dengan Mu’awiyah, ‘Aisyah, Thalhah, dan az-Zubair.
Dua faktor inilah (faktor Khawarij dan Syi’ah) antara yang bertanggungjawab mencetuskan peperangan Jamal dan Siffin mengakibatkan para sahabat bertembung sesama sendiri. Pertembungan tersebut adalah antara kejayaan besar faktor Syi’ah dan Khawarij dalam menimbulkan salah faham dan fitnah sesama para sahabat ketika itu. Dan kesannya terus dirasai sehingga hari ini.
Dari kelompok mereka inilah lahirnya gerakkan yang zahirnya menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta mencari keadilan untuk muslim yang dizalimi. Kesan dari perkara ini, wujudlah pemikiran-pemikiran yang sesat seperti pemikiran memuja manusia, mentaqdiskan tokoh, percaya tentang ghaibnya manusia, pemikiran yang menghina para sahabat, pemikiran bahawa al-Qur’an itu diselewengkan dan tidak sempurna serta sebagainya. Inilah doktrin yang terhasil dari ideologi ‘Abdullah B. Saba’ yang kini diwarisi oleh kaum Syi’ah Rafidhah dan Khawarij sepanjang zaman.
Di antara orang yang bertindak tegas memerangi mereka ketika awal kemunculannya adalah Khalifah ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. Beliau memerangi Khawarij di Nahrawan. Sebahagian besar kaum Khawarij dihapuskan, sebahagian bertaubat, manakala sebahagian lagi ada yang melarikan diri meneruskan kelangsungan ideologi mereka.
Demikian juga dengan kaum Syi’ah. ‘Ali turut memerangi dan membakar mereka hidup-hidup kerana mereka beri’tiqad ‘Ali itu tuhan.
Demonstrasi Pasca Revolusi Iran
Pada era 1970an di Iran, gelombang demonstrasi dan revolusi bergema. Dicetuskan oleh kelompok Syi’ah Rafidhah hasil tinggalan ideologi ‘Abdullah B. Saba’. Dipandu dan disemarakkan oleh Khomeini. Melalui karya tulis dan hasil pemikirannya, masyarakat Iran bangkit menghidupkan semula doktrin aqidah penuh kontroversi lagi kufur, Wilayatul Faqih.
Mereka berdemonstrasi dan memberontak dalam rangka menjatuhkan Shah Iran pada tahun 1978 atas alasan penindasan dan kezaliman sebagai topeng menghidupkan semula perjuangan aqidah Syi’ah imamiyyah. Demonstrasi ketika itu mengakibatkan pelbagai kerosakan dan ratusan nyawa terkorban. Shah Mohamad bersama-sama permaisurinya pula melarikan diri.
Aksi-aksi demonstrasi yang mereka lancarkan ini saling tak tumpah dengan aksi demonstrasi yang dicetuskan oleh ‘Abdullah B. Saba’ di zaman ‘Utsman. Bahkan demonstrasi mereka inilah sekarang menjadi inspirasi sekian banyak demonstrasi-demonstrasi lainnya di Timur Tengah, bahkan di dunia pada hari ini. Dalang di sebalik setiap demonstrasi mereka ini memang tidak lepas dari keterlibatan agen-agen Yahudi, CIA, dan Amerika.
Mungkin para pembaca boleh mengkaji siapa yang menjaga dan mengembalikan Khomeini ke Iran setelah beberapa waktu duduk di dalam buangan.
Di Malaysia pada hari ini, tidak kurang ramai yang turut terkesan dengan kejayaan revolusi Iran ala ‘Abdullah B. Saba’ ini terutamanya para aktivis Parti Islam Se-Malaysia. Malah Mat Sabu yang kini menjawat jatawan Naib Presiden PAS sendiri secara terbuka mengakui mendukung idea-idea revolusi Khomeini di Iran, bahkan turut mendukung idea-idea pemberontakan melalui wasilah kebangkitan suara rakyat. Beliau dalam banyak siri ucapan, ceramah, dan karya tulisnya turut mengajak masyarakat supaya mencontohi Iran dengan mengambil pedoman ideologi Khomeini termasuk fahaman sesat kesyi’ahannya.
Jika kita teliti dengan saksama, di antara tujuan sebenar di sebalik aksi demonstrasi Iran tadi adalah bagi menghidupkan semula aqidah Wilayatul Faqih yang telah lama disenyapkan. Dalam kepercayaan Wilayatul Faqih ini, golongan Syi’ah Rafidhah yang pada ketika itu dipandu oleh Khomeini mengajak rakyat membangunkan kepimpinan ulama sebagai galang ganti kehilangan Imam 12 mereka.
Dalam doktrin aqidah Syi’ah Rafidhah, masyarakat sepatutnya dipimpin oleh para imam yang maksum, iaitu Imam yang 12. Dalam kepercayaan mereka, imam yang terakhir iaitu imam ke-12 telah hilang (ghaib) sejak tahun 329H. Namun mereka mendakwa nanti sang imam akan kembali sebagai al-Mahdi.
Sementara menunggu kepulangan imam yang ghaib tersebut, kumpulan ulama dan fuqaha mereka perlu tampil mengambil-alih kekhalifahan sebagai wakil atau pengganti imam mereka yang ghaib.
Sebab itulah jika kita lihat apa yang diamalkan Iran hari ini setelah kejayaan revolusi 1979 dan penguasaan Khomeini, sistem pemerintahan Iran didirikan berasaskan kepimpinan ulama di bawah konsep fahaman Wilayatul Faqih sebagai dewan tertinggi pemerintahan.
Termasuk dalam kedudukan Wilayatul Faqih adalah dewan elit para ulama selaku penjawat kedudukan tertinggi, penasihat spiritual, dan penentu dasar di Iran, lebih tinggi daripada Presiden dan Parlimen. Ketika ini, pucuk pimpinan tertinggi dewan Wilayatul Faqih dipegang oleh Ali Khameini. Manakala sistem demokrasi yang wujud di Iran hari ini sedikit pun tidak memberi kesan pengaruh dalam pembentukan kerajaan.
Menurut mereka, sesiapa yang menolak konsep Wilayatul Faqih ini, maka dia murtad, kafir, dan kekal di neraka. Para ulama dan imam Syi’ah di sisi mereka adalah maksum termasuk Khomeini.
Konsep Wilayatul Faqih di sisi mereka sebenarnya adalah satu konsep yang menyama-tarafkan imam-imam Syi’ah dengan para nabi, bahkan sehingga lebih hebat dari para nabi, serta memiliki kuasa seperti tuhan! Ini jelas satu konsep yang kufur akbar! Konsep ini bertepatan dengan doktrin ‘Abdullah B. Saba’ yang mengajar masyarakat di zaman ‘Utsman supaya mendewakan, memaksumkan, dan mempertuhankan Saidina ‘Ali B. Abi Thalib.
Kesan dan Hasil Revolusi
Kebangkitan Syi’ah rafidhah berfahaman Imam 12 ini adalah khabar yang bakal menyemarakkan semula malapetaka permusuhan di antara Ahlus Sunnah dengan golongan sesat Syi’ah sejak zaman-berzaman. Perkara ini telah pun dan sedang berlaku sekarang.
Antara buktinya, ketika perang dan penguasaan Amerika ke atas Afghanistan, Syi’ah Iran inilah yang menyalurkan bantuan sekaligus menjadi faktor utama kemenangan Amerika di sana. Ini diakui sendiri oleh tokoh Syi’ah Muhamed ‘Ali Abtahi.
Kemudian ketika serangan Amerika ke atas Iraq menentang Saddam Hussein, Syi’ah Iran jugalah yang membuka laluan dan bantuan kepada Amerika. Hasilnya, tanah jajahan Iraq kini dikuasai oleh Syi’ah Iran manakala hasil buminya seperti minyak dibolot Amerika. Umat Islam di Iraq dan Afghanistan pula habis dibunuh dengan kejam hampir setiap hari. Ada yang disembelih, ada yang dipanaskan dalam ketuhar, ada yang dicampakkan ke dalam api, ada yang disiksa, ada yang dipenjara, ada yang dirogol, dan seumpamanya. Al-Qur’an dan agama Islam pula dihina. Demikianlah dahsyatnya fitnah kaum Syi’ah Rafidhah!
Hari ini kita mungkin melihat umat Islam (Ahlus Sunnah) bebas beribadah di negara-negara lain termasuk negara kafir Amerika, tetapi sama sekali tidak dan bukan di Iran, terutamanya Tehran! Bahkan masjid-masjid ahlus sunnah habis dihancurkan.
Ini bukan suatu yang menghairankan sebenarnya, kerana di sisi aqidah Syi’ah darah dan harta umat Islam (ahlus sunnah wal-jama’ah) adalah halal. Bagi mereka, para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah kafir dan sesat secara umum. Oleh kerana itu, dalam karya-karya dan ucapan-ucapan mereka, para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in adalah orang yang sering mereka laknat dan caci. Perkara ini turut didedahkan dalam satu seminar berkaitan Syi’ah di al-Madinah International University (MEDIU) Shah Alam bertarikh 15 Mei 2011.
Demikianlah hasil sebuah demonstrasi sejak zaman awal Islam hingga hari ini. Ia tidak sedikitpun memberikan hasil, faedah dan maslahah ke atas umat Islam sama ada dari sudut agama mahupun tamadun. Bahkan ia menjadi senjata ampuh menghuru-harakan umat Islam melalui serangan tunjang-tunjang aqidah, pemikiran, dan emosi. Kerana dasar utama yang menghidupkan sesebuah demonstrasi itu sendiri adalah api kemarahan. Mengambil kesempatan di atas kejahilan masyarakat dengan memomokkan kesilapan dan kelemahan-kelemahan pihak pemerintah. Termasuk di dalamnya adalah penyebutan kelemahan pihak pemerintah yang sebahagian besarnya sengaja diada-adakan dan sebahagian lagi belum dapat dipastikan kesahihannya secara benar.
Emosi kemarahan yang tidak diatur dengan kefahaman aqidah yang benar, manhaj agama yang lurus, dan akhlak Islam yang sahih, nescaya akan menjadikan jiwa manusia mudah memberontak. Ditambah pula pada hari ini muncul begitu banyak sekali kumpulan-kumpulan pencetus api kemarahan rakyat di merata tempat. Mereka mengambil kesempatan memanipulasi pelbagai kelemahan dan isu-isu berkaitan pemerintahan (politik) bagi membangkitkan kemarahan di pihak rakyat.
Golongan masyarakat yang kosong jiwanya dan kurang kefahaman agamanya akan mudah terpengaruh lalu panas emosinya. Apabila ini berlaku, api kemarahan pun tercetus. Suasana seperti inilah akhirnya akan mendorong masyarakat untuk bangkit berdemonstrasi di jalan-jalan, bahkan mungkin sehingga ke tahap mencetuskan pergaduhan dan pemberontakan sekiranya tidak dikawal di peringkat awal.
Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
“Orang yang kuat itu bukanlah yang dikenali dengan hebatnya berkelahi, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menguasai (menahan) dirinya ketika marah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6114. Muslim, no. 2609)
Islam bukanlah agama yang dikenali dengan api emosi dan kemarahan. Sebaliknya Islam adalah agama yang penuh kebijaksanaan, kesabaran, dan kelembutan. Manakala bila bertindak, ia akan bertindak dengan penuh maslahah, berdisiplin, tegas, menjauhi pelbagai mudharat, dan mengelakkan kerosakan.
Demonstrasi Jalanan Bukan Ajaran Islam
Demikianlah serba ringkas sejarah amalan demonstrasi memprotes para pemimpin yang sebenarnya merupakan syi’ar orang-orang kafir yang kemudiannya diikuti dan diamalkan oleh golongan pemberontak (khawarij) di era awal sejarah umat Islam. Dari sini kita mengetahui bahawa demonstrasi jalanan ini bukanlah termasuk amalan yang dianjurkan mahupun yang diajarkan oleh Islam. Bahkan sebaliknya amat bertentangan pula dengan apa yang telah disyari’atkan oleh Islam.
Amalan demonstrasi merupakan satu amalan yang baru yang diada-adakan (bid’ah) dalam agama berkaitan hal mu’amalah terhadap pemerintah. Dari itu, berhati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan supaya tidak terjerumus ke dalam ideologi kuffar (Yahudi dan Nashara), kaum jahiliyyah, syi’ah, dan ideologi kelompok khawarij (pemberontak). Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berpesan dengan sabdanya:
لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
“Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nashara?” Beliau menjawab, “Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 7320)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4031. Dinilai hasan oleh Ibnu Hajar dan sahih oleh al-Albani)
Di hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan dengan keras supaya melazimi ketaatan kepada pemerintah dan tidak bertindak menzahirkan sikap kepembangkangan secara umum dengan katanya:
مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَكَرِهَهُ فَلْيَصْبِرْ، فَإِنَّهُ لَيْسَ أَحَدٌ يُفَارِقُ الجَمَاعَةَ شِبْرًا فَيَمُوتُ، إِلاَّ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“Sesiapa yang membenci sesuatu dari tindakan amirnya (pemerintah), maka hendaklah dia bersabar, kerana seseorang yang keluar dari ketaatan kepada pemerintah walaupun satu jengkal, sekiranya dia mati, maka matinya adalah seperti matinya kaum jahiliyyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 7143)
Ini adalah kerana orang-orang jahiliyyah itu tidak memiliki pimpinan yang konsisten, tiada pegangan agama yang utuh dan menyatukan, hidup mereka dikenali berpecah-belah serta saling jatuh-menjatuhkan di antara satu dengan yang lain. Ini disebutkan oleh al-Khaththabi dalam al-Uzlah, Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim, dan Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dalam Majmu’ Fatawanya.
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menyebutkan:
فَإِنَّ أَهْلَ الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَكُونُوا يَجْعَلُونَ عَلَيْهِمْ أَئِمَّةً؛ بَلْ كُلُّ طَائِفَةٍ تُغَالِبُ الْأُخْرَى
“Bahawasanya orang-orang jahiliyyah tidak memiliki pemimpin (yang disepakati) yang mentadbir urusan mereka, sebaliknya setiap kelompok saling bermusuhan (menjatuhkan) di antara satu sama lain.” (Majmu’ al-Fatawa, 28/487 – Daar al-Wafaa’)
Pemerintah yang dimaksudkan hadis ini adalah merujuk kepada pemimpin (yang muslim) bagi setiap wilayah atau negara yang didiami oleh umat Islam secara umum dan tidak khusus untuk pemimpin bergelar khalifah di zaman tertentu semata-mata sebagaimana dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam Subulus Salam (3/258 – Maktabah Syamilah). Persoalan ini telah penulis bahaskan dalam tulisan yang lain dengan judul “Memahami Negara dan Pemimpin Umat Islam” dan “Bagaimana Ahlus Sunnah Menataati Pemerintah.”

Unsur-unsur Pemberontakan
Perbuatan demonstrasi memprotes pemimpin ini sendiri sebenarnya termasuk juga ke dalam ciri-ciri pemberontakan sebagaimana dijelaskan oleh salah seorang ulama Anggota Majlis Fatwa ‘Arab Saudi, Syaikh Dr. Soleh as-Sadlan hafizahullah dengan katanya:
فالبعض من الإخوان قد يفعل هذا بحسن نية معتقدا أن الخروج إنما يكون بالسلاح فقط، والحقيقة أن الخروج لا يقتصر على الخروج بقوة السلاح، أو التمرد بالأساليب المعروفة فقط، بل إن الخروج بالكلمة أشد من الخروج بالسلاح؛ لأن الخروج بالسلاح والعنف لا يُرَبِّيه إلا الكلمة فنقول للأخوة الذين يأخذهم الحماس، ونظن منهم الصلاح إن شاء الله تعالى عليهم أن يتريثوا، وأن نقول لهم رويدا فإن صلفكم وشدتكم تربي شيئا في القلوب، تربي القلوب الطرية التي لا تعرف إلا الاندفاع، كما أنها تفتح أمام أصحاب الأغراض أبوابا ليتكلموا وليقولوا ما في أنفسهم إن حقا وإن باطلا. ولا شك أن الخروج بالكلمة واستغلال الأقلام بأي أسلوب كان أو استغلال الشريط أو المحاضرات والندوات في تحميس الناس على غير وجه شرعي أعتقد أن هذا أساس الخروج بالسلاح، وأحذر من ذلك أشد التحذير، وأقول لهؤلاء: عليكم بالنظر إلى النتائج وإلى من سبقهم في هذا المجال، لينظروا إلى الفتن التي تعيشها بعض المجتمعات الإسلامية ما سببها وما الخطوة التي أوصلتهم إلى ما هم فيه، فإذا عرفنا ذلك ندرك أن الخروج بالكلمة واستغلال وسائل الإعلام والاتصال للتنفير والتحميس والتشديد يُرَبِّي الفتنة في القلوب
“Sebahagian daripada saudara kita menyangka perkara tersebut (pemberontakan) adalah suatu yang baik. Mereka menyangka bahawa yang dimaksudkan dengan al-khuruj (sifat kepembangkangan dan pemberontakan) itu adalah dengan senjata, padahal sebenarnya pemberontakan itu bukan semata-mata dengan senjata dan tindakan kekerasan, tetapi termasuk juga dengan lisan (kata-kata). Bahkan pemberontakan dengan lisan itu jauh lebih bahaya. Kerana pemberontakan dengan lisan itu adalah laluan (printis) kepada pemberontakan bersenjata. Kami katakan dengan penuh kejujuran kepada saudara-saudara kami yang terbakar emosinya, kami menganggap mereka berniat baik – insyaAllah. Namun, hendaklah mereka tidak terburu-buru dan menahan diri. Kerana sikap ekstream mereka tersebut hanya akan menumbuhkan sesuatu yang negatif dalam hati-hati mereka. Hati mereka sebenarnya kosong (dari nilai ilmu) dan hanya mengenal sentimen kemarahan (emosional). Tindakan mereka itu juga hanya akan membuka lebih banyak lagi pintu-pintu kejahatan untuk bertindak dengan cara yang batil.
Pemberontakan dengan kata-kata seperti melalui tulisan, ceramah, seminar, dan media massa yang mengandungi ciri-ciri menaikkan semangat membenci pemerintah adalah termasuk ke dalamnya. Aku memberi peringatan kepada semua dengan peringatan yang tegas. Aku katakan, lihatlah apa hasil yang diperolehi dari setiap tindakan tesebut, dan fikirlah faktor-faktor penyebab timbulnya fitnah ke atas negara-negara Islam. Apabila kita memahami perkara tersebut, maka akan kita ketahui bahawa pemberontakan dengan kata-kata dan media massa untuk menaikkan emosi masyarakat adalah punca kepada pelbagai jenis fitnah (huru-hara).” (Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, Madarikun Nazhar fi as-Siyasah, m/s. 306-307. Kitab ini disemak dan diperakui oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad al-Badr)
Bahkan sebelumnya Imam asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) lebih tegas lagi. Beliau memberi amaran dengan menyatakan:
ويؤدب من يثبط عنه” فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده من طاعة الإمام
“Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah Syamilah)
Di antara kesan-kesan buruk amalan demonstrasi dan protes ini adalah mengganggu keamanan dan ketenteraman masyarakat, menjatuhkan kredibiliti sesebuah pemerintahan yang mengakibatkan kestabilan politik terganggu, pergaduhan, kerosakan harta benda, kerugian, kesesakan lalu-lintas, melahirkan rasa takut orang awam, dan banyak lagi yang lainnya. Sedangkan telah jelas dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, perkara-perkara seperti ini semua adalah amat dibenci oleh agama.
Benarlah kata Imam Abu ‘Abdillah al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H):
والذي عليه الأكثر من العلماء أن الصبر على طاعة الإمام الجائر أولى من الخروج عليه، لأن في منازعته والخروج عليه استبدال الأمن بالخوف، وإراقة الدماء، وانطلاق أيدي السفهاء، وشن الغارات على المسلمين، والفساد في الأرض
“Apa yang dipegang oleh kebanyakan dari para ulama’ bahawasanya sabar dalam mentaati pemerintah yang zalim lebih utama dari keluar memberontak kepada mereka, kerana memisahkan diri dan keluar memberontak itu akan menukarkan keamanan kepada ketakutan, dan tertumpahnya darah yang disebabkan oleh tangan-tangan orang yang bodoh dan hanya akan menyebarkan kefasadan (keburukan) dalam kalangan umat Islam dan di atas muka bumi.” (Tafsir al-Qurthubi, 2/109)

Mengabaikan Hak-hak Jalan
Sebahagian besar dari kita mungkin pernah menyaksikan pelbagai aksi demonstrasi jalanan sama ada di luar negara mahupun dalam negara kita Malaysia. Siapa yang tidak ingat dengan peristiwa 1998 lalu. Kemudian peristiwa 2007. Begitu juga dengan peristiwa 9 Julai 2011 baru-baru ini.
Demonstrasi jalanan telah menjadi faktor terganggunya lalu-lintas dan sesaknya jalan-jalan milik awam. Pelbagai lapisan masyarakat yang memiliki urusan di ibukota menjadi panik, gusar, runsing, dan marah kerana pelbagai aktiviti yang telah direncanakan terganggu.
Kita semua maklum bahawa jalan-jalan yang disediakan adalah milik awam. Ia memiliki fungsi khas bersama peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan demi kemaslahatan bersama.
Dalam Islam sendiri jalan-jalan ini memiliki hak-haknya yang perlu ditunaikan.
Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu pernah mengkhabarkan sebuah hadis Nabi berkaitan hak-hak jalan. Kata beliau, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ
فَقَالُوا مَا لَنَا بُدٌّ إِنَّمَا هِيَ مَجَالِسُنَا نَتَحَدَّثُ فِيهَا قَالَ فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلاَّ الْمَجَالِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهَا قَالُوا وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ
قَالَ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الْأَذَى وَرَدُّ السَّلاَمِ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ
“Janganlah kamu duduk-duduk di atas jalan.”
Maka mereka (para sahabat) berkata, “Sesungguhnya kami perlu duduk-duduk untuk berbincang-bincang.” Nabi menjawab, “Jika kamu tidak dapat berganjak melainkan perlu duduk-duduk, maka berikanlah hak-hak jalan tersebut.” Mereka bertanya, “Apa hak-hak jalan tersebut wahai Rasulullah?”
Nabi menjawab, “Menundukkan pandangan, tidak mengganggu (atau menyakiti) orang, menjawab salam, dan memerintahkan kepada yang ma’ruf serta mencegah dari kemungkaran.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2465)
Kata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyebutkan “menundukkan pandangan” adalah bagi mengisyaratkan keselamatan dari fitnah kerana melintasnya para wanita (yang bukan mahram) ataupun selainnya. Menyebutkan “tidak mengganggu (atau menyakiti) orang” untuk mengisyaratkan supaya memelihara diri dari perbuatan menghina, mengata orang lain, atau yang serupa. Menyebutkan perihal “menjawab salam” untuk mengisyaratkan kewajiban memuliakan atau mengormati orang yang melalui jalan tersebut. Menyebutkan perintah amar ma’ruf nahi mungkar bagi mengisyaratkan kewajiban mengamalkan apa yang disyari’atkan dan meninggalkan apa yang tidak disyari’atkan.” (Fathul Bari, 5/135)
Imam an-Nawawi rahimahullah pula menjelaskan, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengisyaratkan tentang alasan larangan beliau (terhadap perbuatan duduk-duduk di jalanan) bahawa perkara tersebut boleh mencampakkan ke dalam fitnah dan dosa di ketika ada para wanita (yang bukan mahramnya) atau selainnya yang melintasi mereka, sehingga membuatkannya memandang ke arah wanita tersebut (secara bebas), atau membayangkannya, atau berprasangka buruk kepadanya, atau terhadap sesiapa sahaja yang melintas.
Dan di antara bentuk mengganggu (atau menyakiti) manusia adalah dengan menghina (atau mengejek) orang yang melintas, mengumpat, atau selainnya, atau terkadang tidak menjawab salam mereka, tidak melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, serta alasan-alasan lainnya yang bila dia berada di rumah dapat selamat dari perbuatan seperti itu. Turut termasuk perbuatan menyakiti orang lain adalah bila menyempitkan jalan orang-orang yang ingin melintas, atau menghalang para wanita, atau selainnya yang ingin keluar menyelesaikan keperluan mereka disebabkan ada orang-orang yang duduk di jalanan.” (Syarah Shahih Muslim, 14/120)
Melalui hadis di atas berserta penjelasannya oleh dua ulama tersebut sepatutnya kita semua dapat mengambil iktibar. Jika duduk-duduk pun ditegur oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka apatah lagi dengan melakukan perbuatan demonstrasi jalanan yang bukan sekadar duduk-duduk dan bincang-bincang! Sebaliknya bertindak membangkitkan emosi rakyat untuk memprotes. Bersama-sama mereka adalah kaum wanita, anak-anak, para gadis, orang-orang kafir, dan seumpamanya. Mereka berhimpun sambil bercampur-baur sesama mereka atas dasar emosi dan semangat memprotes.
Dari sini saja telah dapat kita saksikan hak-hak jalan yang diperingatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam gagal mereka patuhi. Beberapa perkara boleh kita persoalkan.
Antaranya adakah mereka dapat menundukkan pandangan, sedangkan bersama-sama mereka ada anak-anak gadis dan kaum wanita sama ada yang yang muslim mahupun yang kafir, yang jahil mahupun yang fasiq. Sama ada yang menutup aurat atau sebaliknya. Di manakah amar ma’ruf nahi mungkar dalam kalangan mereka sendiri? Bagaimanakah mereka mencegah gejala ikhtilath dari berlaku sesama mereka?
Sehingga kita juga akan bertanya, di manakah rasa malu anak-anak gadis ini terutamanya yang muslimat terhadap orang-orang yang saling memandang kepadanya tanpa sebarang keperluan syar’i? Malah gambar-gambar mereka turut dirakam dan tersebar seantero dunia menjadi tatapan jutaan manusia.
Dari sudut ini, urusan mereka sendiri tampak kabur. Walupun demikian, mereka tetap terus sibuk memprotes urusan orang lain dari menyibukkan kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Ibarat kuman diseberang laut sibuk diteropong, tetapi gajah di depan mata buat-buat tak nampak.
Demonstrasi jalanan selain mengganggu lalu-lintas, ia juga melanggar peruntukan perundangan jalan-raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa atau pemerintah. Sedangkan hukum mentaati pemerintah dalam urusan ini adalah wajib dan melanggarnya adalah haram.
Kata Imam al-Mubarakfuri rahimahullah, “Apabila seseorang pemimpin memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah (harus), maka hukumnya menjadi wajib.” (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)
Sebagaimana yang telah dapat kita saksikan apabila jalan-jalan menjadi sesak dan terdapat pelbagai unsur provokasi, pihak polis pasti akan dikerahkan bagi mengawal keadaan dan keselamatan. Sekaligus berusaha menghalang dari berlaku sebarang kemungkinan tidak diingini. Pihak pemerintah atau pihak berkuasa berhak menetapkan larangan-larangan tertentu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak baik dari berlaku.
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menegaskan:
وَيَمْنَعُ مِنْ الِاجْتِمَاعِ فِي مَظَانِّ التُّهَمِ
“Dan dia (pihak berkuasa) berhak melarang mereka berhimpun di tempat-tempat yang dianggap boleh menimbulkan tohmahan (atau tuduhan).” (Majmu’ al-Fatawa, 28/106)
Lebih dari kesesakan dan gangguan lalu-lintas, demonstrasi jalanan juga turut melahirkan rasa takut di kalangan orang awam. Ini dapat dilihat apabila para aktivis demonstrasi yang berhimpun bersama-sama pengikut mereka sehingga ratusan, ribuan, atau mungkin lebih dari itu. Mereka berjalan dengan penuh agresif sambil terjerit-terjerit dan terpekik-terlolong. Malah mulut mereka sering tidak lepas dari turut menghamburkan kata-kata caci, herdik, maki, provokasi, celaan dan kejian.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan:
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
“Seseorang muslim (yang sempurna keislamannya) adalah bila mana umat Islam lainnya selamat dari lisan dan tangannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 10. Muslim, no. 41)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah memberi amaran:
سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Mencaci orang muslim adalah perbuatan fasiq dan membunuhnya (tanpa haq) adalah perbuatan kufur.” (Muttafaq ‘alaih)
Dan juga melalui sabdanya:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah ia berkata yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6135. Muslim, no. 47)
Selain memenuhi hak-hak jalan, satu lagi perkara penting yang sering diabaikan adalah sunnah menghilangkan gangguan yang ada di jalanan.
Menghilangkan gangguan di jalan-jalan termasuk salah satu tanda iman. Sesiapa yang sengaja menghalang-halang jalan tanpa hak yang benar termasuk dengan mengadakan demonstrasi jalanan yang tidak syar’i, ia sebenarnya telah menzahirkan sikap bertentangan dengan sebahagian ciri-ciri iman.
Sehingga perbuatan mereka tersebut menyebabkan pihak polis terpaksa dikerahkan berkawal di setiap jalan-jalan berkaitan. Rasa takut, bimbang, marah, dan risau menguasai para penguna jalan-raya apabila jalan-jalan ditutup dan banyak sekatan dibuat.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الإِيمَانِ
“Iman itu tujuh puluh cabang lebih atau enam puluh cabang lebih. Yang paling utama adalah ucapan “Laa ilaaha illallah” dan yang paling rendah adalah menyingkirkan rintangan (gangguan) dari jalanan. Dan rasa malu itu juga termasuk salah satu cabang iman.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 35)
Tanyakan khabar iman kita. Sejauh mana rasa malu yang kita miliki ini telah mampu menghalang dari bermaksiat kepada Allah? Adakah iman kita saat ini mengarahkan kita menunaikan hak-hak jalan dan menyingkirkan gangguan di jalanan? Jawab sejujurnya pada diri masing-masing. Kerana apa yang pernah kita saksikan dalam demonstrasi-demonstrasi jalanan lalu, ibukota negara terganggu dengan kesesakan, kacau-bilau, malah hampir lumpuh operasi terutamanya pada 9 Julai 2011 dan siri demonstrasi 1998.
Syubhat Demonstrasi
Sebahagian pihak dari kalangan aktivis dan pembela aksi demonstrasi ada yang beralasan dengan pelbagai syubhat yang mengelirukan untuk menyokong tindakan mereka yang telah jelas bertentangan dengan agama. Antaranya, mereka beralasan bahawa demonstrasi mereka dilaksanakan secara aman. Sedangkan, Islam sedikitpun tidak pernah mengajarkan kepada umatnya untuk mengadakan demonstrasi protes sama sekali sama ada yang aman atau kekerasan.
Alasan kedua mereka adalah mengatasnamakan aksi demonstrasi dengan nama jihad dan dakwah. Secara ringkasnya, ini juga sangat bertentangan dengan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْجِهَادِ كَلِمَةَ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
“Sesungguhnya jihad yang besar adalah perkataan yang adil (benar) yang disampaikan di sisi penguasa yang zalim (diktator).” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2174. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Hadis ini menyatakan sekiranya kita mahu mendakwahi pemimpin, maka hendaklah kita melakukannya dengan cara pergi ke sisi pemimpin tersebut dan memberi penjelasan dengan terperinci. Bukan dengan cara berdemonstrasi, mencerca, dan mencanang keburukan pemimpin di mimbar-mimbar mahupun di pentas-pentas jalanan. Seharusnya kita faham bahawa yang dinamakan dakwah itu adalah mengajak kepada kebaikan dengan cara yang baik juga.
Selain itu, mereka turut berhujah menggunakan kisah Saidina ‘Umar dan Hamzah berdemonstrasi bersama-sama Rasulullah ke atas kaum kafir Quraisy bagi tujuan menzahirkan keberanian. Kisah ini sebenarnya adalah kisah yang batil dan lemah sekali sehingga tidak boleh dijadikan sebagai sandaran hujah (atau hukum) sebagaimana dijelaskan oleh para ulama hadis generasi awal dan kontemporari.
Kisah yang dimaksudkan adalah sebagaimana berikut:
عن ابن عباس قال: سألت عمر: لاي شئ سميت (الفاروق)؟ قال: أسلم حمزة قبلي بثلاثة أيام، ثم شرح الله صدري للاسلام فقلت: الله لا إله إلا هو له الاسماء الحسنى، فما في الارض نسمة أحب إلي من نسمة رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقلت: أين رسول الله صلى الله عليه وسلم؟ قالت أختي: هو في دار الارقم بن أبي الارقم عند الصفا، فأتيت الدار وحمزة في أصحابه جلوس في الدار ورسول الله صلى الله عليه وسلم في البيت: فضربت الباب، فاستجمع القوم ، فقال لهم حمزة: ما لكم؟ قالوا: عمر بن الخطاب، فخرج رسول الله صلى الله عليه وسلم فأخذ بمجامع ثيابي ثم نترني نترة فما تمالكت أن وقعت على ركبتي فقال: ما أنت بمنته يا عمر! فقلت: أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، فكبر أهل الدار تكبيرة سمعها أهل المسجد فقلت: يارسول الله! ألسنا على الحق إن متنا وإن حيينا؟ قال: بلى! والذي نفسي بيده إنكم على الحق إن متم وإن حييتم! قلت: ففيم الاختفاء؟ والذي بعثك بالحق لتخرجن فأخرجناه في صفين: حمزة في أحدهما وأنا في الآخر، له كديد ككديد الطحين حتى دخلنا المسجد، فنظرت إلي قريش وإلى حمزة، فأصابتهم كآبة لم صبهم مثلها، فسماني رسول الله صلى الله عليه وسلم يومئذ (الفاروق)، وفرق الله بي بين الحق والباطل
“(Diriwayatkan) Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau bertanya kepada ‘Umar berkenaan gelaran al-Faruq. ‘Umar berkata, “Setelah tiga hari Hamzah memeluk Islam, kemudian Allah pun melapangkan hatiku untuk memeluk agama Islam, lalu aku mengatakan, “Allah, tiada tuhan yang berhak disembah (dengan benar) melainkan Dia, Dia memiliki al-Asma’ al-Husna (nama-nama yang baik), tidak ada di bumi seseorang yang lebih aku cintai melebihi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”
Aku bertanya, “Di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?” Saudara perempuanku menjawab, “Beliau berada di rumah al-Arqam B. Abi al-Arqam di as-Shofa.”
Lalu aku mendatangi rumah tersebut, pada waktu itu Hamzah B. ‘Abdul Muthalib duduk bersama para sahabat Nabi lainnya di lingkungan rumah, manakala Nabi berada di dalam rumah, lalu aku ketuk pintu rumah. Ketika para sahabat Nabi mengetahui kedatanganku mereka pun datang bergerombolan, lalu Hamzah bertanya kepada para sahabat Nabi, “Apa yang terjadi dengan kamu semua?” Mereka menjawab, “Ada Umar B. Khaththab.”
Kemudian ‘Umar meneruskan ceritanya, “Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang, dan memegang baju ‘Umar dan mendorongnya, maka ‘Umar pun terjatuh di atas kedua lututnya, lalu Nabi bersabda, “Wahai Umar apa yang kamu inginkan?” Lalu aku menjawab, “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah (dengan benar) melainkan Allah sahaja, tiada sekutu baginya, dan aku mengakui bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya”.
Mendengar perkara ini, para sahabat Nabi yang berkumpul bertakbir dengan takbir yang didengari orang-orang yang berada di Masjidil Haram. Aku pun berkata kepada Nabi, “Bukankah kita berada di atas kebenaran sama ada kita mati atau hidup?” Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Benar, wahai Umar, demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya kamu di atas kebenaran sama ada kamu mati atau hidup”.
Aku menyahut, “Lalu kenapa kita bersembunyi, demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran kita akan keluar (secara terang-terangan menampakkan ke-Islaman).” Lalu kami pun keluar dalam dua barisan, Hamzah pada salah satu barisan dan aku pada barisan lainnya. Sehingga kami memasuki Masjidil Haram (Ka’bah). Maka orang-orang dari suku Quraisy melihat kepadaku dan kepada Hamzah, lalu mereka pun bersedih hati dengan situasi ini dengan kesedihan yang tidak pernah mereka alami sebelumnya. Maka, pada hari tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menggelarkannya dengan al-Faruq. Dengannya Allah membezakan di antara yang haq dan batil.”

Rujukan riwayat kisah ini:
Abu Nu’aim al-Asbahani, di dalam al-Hilyatul Auliya’ (1/20), beliau membawakan sanad riwayat ini sebagai berikut:
حدثنا محمد بن أحمد بن الحسن، حدثنا محمد بن عثمان بن أبي شيبة، حدثنا عبد الحميد بن صالح، حدثنا محمد بن أبان، عن إسحاق بن عبد الله بن أبان بن صالح عن مجاهد، عن بن عباس
Kisah ini turut dibawa oleh ‘Ali Ibn Abdul Malik al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanzul ‘Umal. Dijelaskan bahawa:
وفيه أبان بن صالح ليس بالقوى وعنه إسحاق بن عبد الله الدمشقي متروك
Dalam rangkaian sanadnya terdapat Aban B. Soleh, dia tidak baik hafalannya. Dan meriwayatkan daripadanya Ishaq B. ‘Abdullah ad-Dimasyqi, dia matruk (ditinggalkan hadisnya). (Kanzul ‘Umal, 12/551, no. 35742. As-Suyuthi, Jami’ al-Hadis, 27/322)
Semakan terhadap riwayat atau kisah ini:
Ishaq B. ‘Abdullah B. Abi Farwah meriwayatkan daripada Aban B. Soleh. Dijelaskan oleh al-Mizzi dalam Tahzibul Kamal, 2/446, no. 367. Juga disebutkan tentangnya oleh Ibnu Hibban dalam al-Majruhin, 1/131.
Berkenaan dengan Ishaq B. ‘Abdullah B. Abu Farwah (yang meriwayatkan daripada Aban B. Soleh) ini, para ulama hadis telah menjelaskan bahawa:
1 – Imam al-Bukhari berkata, “Dia ditinggalkan (hadisnya).” Imam Ahmad B. Hanbal melarang mengambil hadis daripadanya dan dia tidak menulis (tidak mengambil) hadis darinya. Yahya B. Ma’in menjelaskan, “Hadisnya tidak boleh diguna-pakai.” Ali B. Al-Hasan al-Hasnajani berkata daripada Yahya, “Bahawa dia pendusta (Kazzab).” (al-Mizzi, Tahzibul Kamal, 2/450-451, no. 367)
2 – Matruk (ditinggalkan hadisnya). (Rujuk: Imam an-Nasa’i, adh-Dhu’afa wa al-Matrukin, 1/154, no. 50)
3 – Beliau sering memutarbalikkan riwayat (sanad), dari mursal menjadi kepada marfu’. Dan Imam Ahmad melarang mengambil hadis darinya. (Ibnu Hibban, al-Majruhin, 1/131)
4 – Kazzab (pendusta), disebutkan oleh Yahya B. Ma’in sebagaimana yang dibawakan oleh Ibnu Abi Hatim ar-Razi dalam al-Jarh wa at-Ta’dil, 2/228, no. 792.
5 – Berkenaan riwayat atau kisah di atas, ia disentuh oleh Syaikh al-Muhaddis ‘Ali al-Hasyisy, dengan katanya bahawa riwayat ini adalah palsu. (Website Multaqa Ahl Hadits, http://www.ahlalhdeeth.com/vb/archive/index.php/t-21684.html)
Kesimpulannya, kisah ini adalah tidak sahih, malah palsu (tidak dapat diterima pakai).
Sebaliknya apa yang jelas tampak kepada kita adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya (ridhwanullahim ajma’in) dahulu menghadapi karenah musuh yang jauh lebih dahsyat lagi. Bukan sekadar pemerintah yang dianggap zalim dan menindas. Tetapi juga kaum yang jauh lebih jahat dan keji, terutamanya dari kalangan Yahudi dan Nashara. Sama ada ketika beliau dalam keadaan lemah mahupun kuat. Sama ada ketika fasa Makkah mahupun Madinah. Demikianlah juga dengan sejarah para Nabi yang lain. kita pun tahu seringkali kebebasan mereka untuk bersuara dan menyebarkan agama disekat setiap waktu. Tapi sedikitpun tidak pernah kita dengar dan ketahui yang mereka mengajarkan praktik demonstrasi kepada umatnya.
Begitu juga ketika zaman khalifah yang empat. Juga setelah mereka di ketika zaman pemerintahan Yazid, ‘Abdul Malik B. Marwan, dan al-Hajjaj. Sedikitpun tidak kedengaran dari para ulama generasi sahabat dan tabi’in yang mengajak dan mengumpulkan masyarakat agar keluar berdemonstrasi.
Begitu juga dengan ketika zaman kehebatan para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah seperti Hasan al-Bashri, Sufyan ats-Tsauri, Malik, Abu Hanifah, asy-Syafi’i, Ahmad B. Hanbal dan selainnya. Tidak pernah mereka mengajak umat Islam supaya keluar berdemonstrasi menunjuk perasaan dalam menghadapi satu-satu isu kemasyarakatan atau pemerintahan. Maka, amat jelas bahawa perbuatan demonstrasi ini bukanlah termasuk maslahah dan bukan juga sebahagian dari amalan ahlus sunnah wal-jama’ah.
Berkaitan perkara ini, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ada memberikan suatu kaedah penting bagi menimbang di antara maslahah dan mafsadah. Kata beliau:
فكل أمر يكون المقتضي لفعله على عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم موجودا لو كان مصلحة ولم يفعل يعلم أنه لبس بمصلحة
“Setiap pekara yang faktor perlaksanaannya ada pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang secara zahirnya tampak membawa maslahah tetapi tidak dilaksanakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka jelaslah bahawa perkara tersebut bukanlah termasuk maslahah (kebaikan).” (Ibnu Taimiyyah, Iqtidha’ ash-Shiraatal Mustaqiim, 1/279 – Maktabah Syamilah)
Kemudiannya, mereka (para aktivis demonstrasi) juga berhujjah dengan tindakan ummul mukminun ‘Aisyah, sahabat Talhah dan Zubair al-‘Awwam radhiyallahu anhum dalam perang Jamal berhadapan dengan kepimpinan Ali radhiyallahu ‘anhu, serta tindakan Mu’awiyah menyelisihi ‘Ali dalam urusan tahkim. Sedangkan apa yang perlu kita fahami adalah prinsip ahlus sunnah wal jama’ah dalam menghadapi pertikaian dalam kalangan sahabat adalah tawaqquf dan tidak membenarkan perselisihan mereka serta tidak berhujah untuk mengikuti kesalahan (atau kesilapan-kesilapan) mereka. Apatah lagi kesalahan tersebut telah diingkari oleh majoriti sahabat yang lain dan diri mereka sendiri kemudiannya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 784H):
مَسِيْرَهَا يَوْمَ الجَمَلِ، فَإِنَّهَا نَدِمَتْ نَدَامَةً كُلِّيَّةً، وَتَابَتْ مِنْ ذَلِكَ، عَلَى أَنَّهَا مَا فَعَلَتْ ذَلِكَ إِلاَّ مُتَأَوِّلَةً، قَاصِدَةً لِلْخَيْرِ، كَمَا اجْتَهَدَ طَلْحَةُ بنُ عُبَيْدِ اللهِ، وَالزُّبَيْرُ بنُ العَوَّامِ، وَجَمَاعَةٌ مِنَ الكِبَارِ – رَضِيَ اللهُ عَنِ الجَمِيْعِ
“Aisyah telah mengakui kesalahannya keluar (melakukan perjalanan) sehingga tercetusnya perang Jamal dan beliau sangat menyesali tindakannya tersebut. Beliau bertaubat dari perbuatannya yang telah lalu yang asal mulanya berniat mencari kebaikan sebagaimana ijtihad Thalhah B. ‘Abdullah dan az-Zubair al-‘Awwam serta para sahabat lainnya.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 2/193)
Malah jauh lebih awal dari itu, apa yang didakwa oleh para aktivis demonstrasi pada hari ini telah pun dinafikan oleh Imam Ibnu Hazm al-Andalusi rahimahullah (Wafat: 456H) dengan katanya:
وأما أم المؤمنين والزبير وطلحة رضي الله عنهم ومن كان معهم فما أبطلوا قط إمامة علي ولا طعنوا فيها ولا ذكروا فيه جرحة تحطه عن الإمامة ولا أحدثوا إمامة أخرى ولا جددوا بيعة لغيره هذا ما لا يقدر أن يدعيه أحد بوجه من الوجوه بل يقطع كل ذي علم على أن كل لك لم يكن فإذ لا شك في كل هذا فقد صح صحة ضرورية لا إشكال فيها أنهم لم يمضوا إلى البصرة لحرب علي ولا خلافا عليه ولا نقضا لبيعته
فصح أنهم إنما نهضوا إلى البصرة لسد الفتق الحادث في الإسلام من قتل أمير المؤمنين عثمان رضي الله عنه
“Manakala pemergian Ummul Mukminin (‘Aisyah), az-Zubair, dan Thalhah radhiyallahu ‘anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Bashrah), mereka sedikitpun tidak bertujuan untuk membatalkan kekhalifahan ‘Ali, mereka sedikitpun tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak memperkatakan sebarang kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah yang baru yang lain dan mereka tidak menukar (memperbaharui) bai’ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah suatu yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun dengan apa cara sekalipun. Kebenaran sebenar yang dikehendaki yang tidak dipertikaikan padanya adalah mereka tidak pergi ke Bashrah untuk memerangi ‘Ali atau menentangnya atau mencabut bai‘ah (ketaatan) daripadanya…
Maka yang sebenarnya, mereka berangkat ke Basrah tidak lain adalah untuk menyekat (membendung) dari terjadinya perpecahan dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan Amirul Mukminin ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu.” (Ibnu Hazm, al-Fishal fil Milal wa an-Nihal, 4/238 – Daar al-Jil)
Beliau (Ibnu Hazm) turut menjelaskan berkenaan isu perselisihan Mu’awiyah dengan ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma dengan katanya:
ولم ينكر معاوية قط فضل علي وإستحقاقه الخلافة لكن اجتهاده أداه إلى أن رأى تقديم أخذ القود من قتلة عثمان رضي الله عنه على البيعة ورأى نفسه أحق بطلب دم عثمان
“Dan Muawiyah sedikit pun tidak mengingkari keutamaan dan hak ‘Ali untuk menjadi khalifah. Namun pada ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pencetus api fitnah dari kalangan para pembunuh ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu berbanding urusan bai’ah. Dan beliau juga berpendapat dirinya adalah yang paling berhak untuk menuntut darah Utsman.” (Ibnu Hazm, al-Fishal fil Milal wa an-Nihal, 4/240-241 – Daar al-Jil)
Satu perkara penting untuk diketahui berkenaan fitnah yang mengakibatkan perselisihan di kalangan mereka (sahabat) ini adalah kerana wujudnya pihak ketiga (iaitu kelompok yang sama yang terlibat dalam pembunuhan ‘Utsman) yang bertindak sebagai pencetus api fitnah yang melaga-lagakan keduanya. Pertembungan yang berlaku ini tercetus tanpa sebarang niat buruk dan tanpa disengajakan, yang asalnya niat mereka semua adalah perdamaian dalam mengahadapi fitnah perpecahan (dalam kalangan masyarakat) ekoran peristiwa pembunuhan Saidina ‘Utsman B. ‘Affan radhiyallahu ‘anhu. Bahkan bukan tujuan mereka sama sekali untuk berselisih dan bertelingkah. Kedua-dua mereka sendiri sama sekali tidak mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku ketika itu. Inilah yang disebutkan oleh para ulama dan ahli sejarah yang adil dari kalangan Ahlus Sunnah wal-Jama’ah.
Ini antaranya sebagaimana disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) melalui perincian catatannya:
وبات الناس بخير ليلة، وبات قتلة عثمان بشر ليلة، وباتوا يتشاورون وأجمعوا على أن يثيروا الحرب من الغلس، فنهضوا من قبل طلوع الفجر وهم قريب من ألفي رجل فانصرف كل فريق إلى قراباتهم فهجموا عليهم بالسيوف، فثارت كل طائفة إلى قومهم ليمنعوهم، وقام الناس من منامهم إلى السلاح، فقالوا طرقتنا أهل الكوفة ليلا، وبيتونا وغدروا بنا، وظنوا أن هذا عن ملا من أصحاب علي فبلغ الامر عليا فقال: ما للناس ؟ فقالوا، بيتنا أهل البصرة، فثار كل فريق إلى سلاحه ولبسوا اللامة وركبوا الخيول، ولا يشعر أحد منهم بما وقع الامر عليه في نفس الامر
“Pada malam tersebut (sebaik sebelum tercetusnya fitnah perang Jamal) kedua-dua belah pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Tetapi para pembunuh Utsman (orang ketiga selaku pencetus api fitnah) melalui malam tersebut dengan keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mencetuskan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Setiap kelompok masing-masing bergabung bersama-sama pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan ‘Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan ‘Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata, “Penduduk Kufah (pasukan ‘Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!”
Mereka (pasukan Aisyah) pun menyangka (beranggapan) bahawa orang-orang yang menyerang mereka tersebut berasal dari pasukan ‘Ali. Suasana hura-hara tersebut pun sampai ke pengetahuan ‘Ali, lalu beliau bertanya, “Apa yang berlaku kepada orang-orang?” Mereka menjawab, “Penduduk Basrah (pasukan ‘Aisyah) menyerang kita!”
Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan kelengkapan perang, dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang pun yang menyedari apa sebenarnya yang telah berlaku (ketika itu).” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/267 – Maktabah Syamilah)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) turut menyebutkan perkara yang sama:
القتلة فحملوا على عسكر طلحة والزبير فظن طلحة والزبير أن عليا حمل عليهم فحملوا دفعا عن أنفسهم فظن على أنهم حملوا عليه فحمل دفعا عن نفسه فوقعت الفتنة بغير اختيارهم وعائشة رضي الله عنها راكبة لا قاتلت ولا أمرت بالقتال هكذا ذكره غير واحد من أهل المعرفة بالأخبار
“Mereka (para pembunuh ‘Utsman) menyerang khemah Thalhah dan az-Zubair. Lalu Thalhah dan az-Zubair menyangka bahawa ‘Ali telah menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Seterusnya ‘Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan az-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua belah pihak). Manakala ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahlul-Ma’rifat bi al-Akhbar).” (Minhajus Sunnah an-Nabawiyyah fi Naqd Kalam asy-Syi‘ah wa al-Qadariyyah, 4/317, Tahqiq: Muhammad Rasyad Salim, Mu’assasah al-Qurthubah, 1406H)
Beliau juga menegaskan:
فإن عائشة لم تقاتل ويم تخرج لقتال وإنما خرجت لقصد الإصلاح بين المسلمين وظنت أن في خروجها مصلحة للمسلمين ثم تبين لها فيما بعد أن ترك الخروج كان أولى فكانت إذا ذكرت خروجها تبكي حتى تبل خمارها
“Sesungguhnya ‘Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian tersebut adalah yang paling benar. Maka setelah itu apabila sahaja beliau teringat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.” (Minhajus Sunnah an-Nabawiyyah fi Naqd Kalam asy-Syi‘ah wa al-Qadariyyah, 4/316, Tahqiq: Muhammad Rasyad Salim, Mu’assasah al-Qurthubah, 1406H)
Akhir sekali, ada juga dari kalangan aktivis demonstrasi ini yang menyamakan tindakan mereka seperti perhimpunan umat Islam pada setiap hari Jumaat dan perhimpunan haji di Baitullah dengan tujuan menzahirkan rasa penghambaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Analogi mereka ini ternyata begitu bathil dan sangat menyimpang dari kebenaran kerana mana mungkin sebuah perhimpunan ibadah yang disyariatkan oleh Allah hendak disamakan dengan amalan demonstrasi (protes) yang jelas bertentangan dengan garis-garis Islam? Ini tampak begitu jelas sebagai suatu tindakan tidak bertanggungjawab memanipulasi dalil-dalil dan ritual-ritual ibadah tertentu yang tiada kena mengena untuk menghalalkan demonstrasi jalanan dengan apa cara sekalipun.
Sekiranya amalan solat fardhu atau mungkin solat-solat sunnah tertentu itu sendiri dilakukan di jalan-jalan raya, nescaya orang ramai pun akan marah dan meluat. Kerana jalan-jalan raya di negara kita ini memiliki undang-undang dan peraturannya yang tersendiri demi kepentingan bersama. Bukan boleh sesuka hati dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan tidak memahami aspek kemaslahatan awam.
Maka dari itu, hendaklah kita kembali kepada Islam yang jelas sumber-sumber dalilnya dari al-Qur’an dan as-Sunnah yang difahami melalui perkataan para ulama ahlus sunnah wal-jamaah. Jauhilah sikap dan tindakan yang dibina dengan teras emosi dan hawa nafsu. Inilah di antara kaedah-kaedah penting yang perlu sama-sama kita ambil dalam menyelesaikan pelbagai kemelut fitnah yang melanda umat Islam akhir-akhir ini. Bukan sahaja dalam persoalan demonstrasi, tetapi juga dalam pelbagai isu lainnya. Wallahu a’lam.

Sunday, April 15, 2012

Zikir / Wirid / Doa Selepas Solat (Sembahyang Fardhu) yang shahih

MUAMALAH DENGAN SYARIKAT YAHUDI??

Yahudi ialah bangsa yang sedang menjajah bumi Palestin.Mereka banyak melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin.Adakah sebagai umat Islam,haram untuk kita membeli atau menggunakan produk keluaran Yahudi?

Memang terdapat kempen memboikot produk keluaran syarikat Yahudi.Malah syarikat Amerika Syarikat juga diboikot kerana sikap pentadbiran negara tersebut yang pro-Yahudi.Maka dihukum haram membeli barangan di TESCO,makan di KFC dan sebagainya.

Ada beberapa sudut yang perlu dikaji diputuskan sebagai haram:
1. Allah menghalalkan muamalah umat Islam dengan non-Muslim.Termasuk dalam golongan non-Muslim ialah Yahudi dan Nasrani walaupun mereka kufur kepada Allah.Juga diharuskan bagi lelaki Muslim berkahwin dengan wanita ahli kitab.Firman Allah:

Maksudnya:Pada hari ii dihalalkan bagi kamu benda-benda yang baik dan makanan golongan ahli kitab adalah halal bagi kamu,dan makanan kamu dalah halal bagi mereka,dan (dihalalkan bagi kamu)
wanita-wanita yang menjaga kehormatan daripada kalangan orang beriman dan ahli kitab sebelum kamu apabila kamu memberikan mas kahwin bukan dengan tujuan berzina atau sekadar menjadikannya sebagai gundik (Surah al-Maidah :5)

Nas al-Quran ini tidak meletakkan syarat halal makanan sembelihan ahli kitab bahawa mereka mestilah tidak memerangi umat Islam.Syarat ini tidak tercatat dalam nas ini bahkan tidak juga terdapat dalam nas yang lain.

2.  Golongan Non-Muslim masih melakukan aktiviti perniagaan walaupun dalam kawasan tanah Haram di Makkah.Mereka membawa masuk barangan keperluan ke Makkah.Namun akhirnya golongan non-Muslim ditegah untuk menghampiri Masjidilharam.Tegahan ini menimbulkan kerisauan di kalangan umat Islam terhadap barangan keperluan.Allah berjanji akan menjamin keperluan tersebut.Malah umat Islam boleh terus melakukan aktiviti perniagaan di kawasan yang lain.Firman Allah

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya orang mushrik ialah najis,maka janganlah mereka menghampiri Masjidilharam selepas tahun ini.Dan jika kamu semua takut akan kefakiran maka Allah akan mengayakan kamu daripada kurniaan-Nya (Surah al-Taubah:28)

3. Tidak terdapat satu tegahan khusus bahawa umat Islam tidak harus mmbeli barangan atau poduk non-Muslim termasuklah Yahudi.Sunah pula menunjukkan bahawa Nabi S.A.W pernah melakukan aktiviti ekonomi bersama dengan Yahudi di Madinah.Daripada Ibn Umar r.a

Maksudnya:"Bahawasanya Nabi S.A.W memberikan tanah Khaibar kepada Yahudi untuk mereka usahakan dan tanam,dan bagi mereka (Yahudi) separuh hasil yang dikeluarkan"
(Riwayat al-Bukhari.kitab al-Harith wa al-Muzara'ah,hadis no.2331)

4. Walaubagaimanapun jika memang syarikat Yahudi tersebut menyokong dengan jelas kezaliman,maka adalah wajar dan wajib bagi umat Islam membantah sokongan terhadap perkara zalim.Bantahan ini termasuklah memboikot produk syarikat Yahudi tersebut.Namun ia tidaklah menjadikan muamalah transaksi jual beli sebagai tidak sah.Prinsipnya dalah dilarang bantu-membantu dalam permusuhan dan maksiat.Firman Allah:

Maksudnya:Dan tolong-menolonglaj atas kebaikan dan takwa,dan janganlah tolong menolong atas dosa dan permusuhan (Surah al-Maidah :2)

Kezaliman mesti ditentang.Walaubagaimanapun,biarlah kena pada tempatnya.Ada juga kempen memboikot terlalu luas hingga pihak-pihak yang hanya tempias hubungan dengan Yahudi juga turut diboikot.Biarlah ada fokus dan lebih khusus agar umat Islam tidak menzalimi orang lain.

Dalam peristiwa perang Bani Quraizah,orang-orang Yahudi Bani Quraizah mengkhianati umat Islam.Walaubagaimanapun,Nabi S.A.W hanya memerangi golongan Bani Quraizah dan bukan semua orang Yahudi.Prinsipnua ialah sesiapa yang melakuakan kezaliman dan kejahatan,maka dialah yang bersalah dan mesti dipersalahkan.

Dinukil dari buku : Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim
Ustaz Mohammad Nidzam Abd Kadir terbitan Telaga Biru.

Saturday, April 14, 2012

Polemik Demonstrasi: Racun Yang Disangka Ubat

Ustaz Muhammad Fashan Bin Ahmad Ziadi

Polemik dalam masalah demonstrasi menjadi hangat ketika ini,ada pihak yang mengharamkannya dan ada juga yang mengahalalkannya,masing-masing mereka membawakan dalil masing-masing,tidak kurang juga ada yang bertindak hanya mengikuti hawa nafsu,emosi dan kepentingan politik dan tidak memandangnya dengan neraca wahyu dan pandangan para pendahulu mereka iaitulah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam dan para ulama` pendahulu mereka.
Firman Allah Ta`ala menjelaskan wajibnya mengembalikan sesuatu yang diperselisihkan kepada Allah dan Rasul:
Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemerintah)di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
[ An-Nisa`: 59 ]
Sepatutnya dalam masalah ini juga semua kita bersikap sebagaimana firman Allah Ta`ala:
Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan atau pun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri(ulama`) di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah karena kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil sahaja (di antaramu).
[ An-Nisa`:83 ]
Maka ayat ini menjelaskan agar kita mengembalikan sesuatu urusan berupa urusan-urusan penting,dan kebaikan umum apa yang berkaitan dengan keamanan,kegembiraan kaum mukminin,atau ketakutan yang padanya terdapat musibah ke atas mereka agar mereka meneliti,tidak tergesa-gesa dalam menyebarkan khabar tersebut,bahkan mereka sepatutnya mengembalikannya kepada Rasul,kepada ulil amri di kalangan mereka iaitulah ahli ra`y dan ilmu,ahli nasihat dan mempunyai pemikiran serta ketenangan (iaitulah para Ulama`) yang benar-benar mengetahui urusan tersebut,dan mengetahui kebaikan-kebaikan serta apa yang berlawanan dengannya.
[ Rujuk Taysir Al-Karim Ar-Rahman, As-Sa`di,hlm 205 ]
Demonstrasi merupakan wasilah kepada khuruj(memberontak) kepada pemerintah bahkan ianya merupakan bentuk khuruj sendiri dan hal ini disepakati oleh para Ulama` Salaf pada zaman ini sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh Ibn Baz,Ibnu Uthaimin, Al-Albani,Muqbil dan lain-lain dari kalangan para ulama`salaf di zaman ini.

Dalil-Dalil Pengharaman Demonstrasi Dan Ianya Termasuk wasilah kepada Khuruj(memberontak):
Dalil-dalil daripada Al-Quran :
Segala ayat yang memerintahkan agar mentaati pemerintah maka ianya termasuk di bawah keumumuman wajib mentaati pemerintah dan mafhum mukhalafah( maksud sebaliknya) iaitulah haramnya keluar memberontak dengan apa cara sekalipun kecuali jelas pada pemerintah tersebut kufur bawwah(jelas yang mempunyai bukti akan kekufurannaya) .Misalnya Firman Allah Ta`ala:
Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemerintah)di kalangan kamu.
[ An-Nisa`:59 ]
Dalil umum agar mentaati sunnah atau hadith-hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam,Firman Allah Ta`ala:
Apa yang dibawa oleh Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya.
[ Al-Hasyr:7 ]
Maksud Firman Allah Ta`ala:
Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hinggalah mereka menjadikan kamu hakim(pemutus) dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.
[ An-Nisa`:65 ]
Dalil-dalil daripada As-Sunnah As-Shahihah:
Daripada Abdullah bin Umar radiallahu`anhuma bahawa Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda:
“Wajib atas setiap muslim dengar dan taat (kepada pemerintah) dalam urusan yang dia suka atau benci melainkan dia disuruh melakukan maksiat maka jika dia disuruh melakukan maksiat maka tidak wajib dengar dan tidak wajib taat”.
[HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tarmidzi, An-Nasai, dan Ahmad]
Daripada Ubadah bin Somit radiallahu`anhu daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam baginda bersabda: “Dengar dan Taatlah ketika susah dan senang, rela dan terpaksa, dan ketika keadaan yang merugikan kamu walaupun mereka (pemerintah) merampas hartamu dan memukul belakangmu”.
[As-Sunnah Ibn Abi Asim –Zilal al-Jannah- Shahih]
Daripada Abdullah bin Abbas radiallahu`anhuma bahawa Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda:
“Sesiapa yang membenci akan pemerintahnya kerana sesuatu maka bersabarlah kerana sesiapa yang keluar daripada pemerintah sekadar sejengkal dia mati dalam keadaan jahiliah”. Dalam riwayat yang lain: “maka hendaklah dia bersabar, kerana sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada al-Jamaah sekadar sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliah”.
[ HR Bukhari dan Muslim ].
Sangat banyak lagi hadith-hadith shahih yang memerintahkan agar bersabar terhadap kezaliman pemerintah iaitulah dengan melaksanakan tanggunjwab dengan menasihati mereka,serta tidak melampaui batasan yang telah Allah dan Rasul tetapkan iaitulah dengan khuruj(keluar) memberontak dengan apa cara sekalipun.
Dalil daripada Ijma` Ulama:
Ulama` besar Mazhab Syafi`i, Al-Imam Nawawi Rahimahullah menakalkan ijma`(kesepakatan) tentang haramnya keluar memberontak kepada pemerintah walaupun mereka zalim:
Adapun keluar memberontak kepada mereka( pemerintah) dan memerangi mereka maka ianya adalah haram dengan Ijma` kaum muslimin walaupun mereka( pemerintah) itu zalim sesungguhnya sudah jelas hadith dengan makna yang aku sebutkan, dan Ahli Sunnah berijma`(bersepakat) bahawasanya tidak terpecat seseorang pemerintah disebabkan kefasikan.
[ Syarh An-Nawawi `ala Muslim 12/229 ]
Kata Al-Imam At-Thahawi rahimahullah:
Kita (Ahli Sunnah) tidak melihat bahawasanya bolehnya khuruj(keluar) memberontak terhadap para pemimpin kita dan waliyyul amri walaupun mereka zalim, dan kita tidak berdoa keburukan ke atas mereka dan tidak mencabut tangan daripada ketaatan ke atas mereka,dan kita berpegang bahawasanya ketaatan ke atas mereka merupakan daripada ketaatan terhadap Allah secara fardhu selagi mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat,dan kita mendoakan mereka dengan kebaikan dan keampunan.
[ Al-Aqidah At-Thohawiyyah hlm 428 ]
Ijma` kesepakatan akan haramnya keluar memberontak terhadap pemerintah yang zalim disebut juga oleh para Ulama` Ahli Sunnah lain seperti Al-Imam Abul Hasan Al-Asy`ari dalam Maqalat Islamiyyin 2/451, Ibnu Taimiyyah dalam Minhajus Sunnah 2/87, Al-Qurtubhi dalam Tafsir Al-Qurtubhi 2/108-109, Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah Wa An-Nihayah 8/223-224, Ibnul Qayyim dalam `Ilam Al-Muwaqi`in 3/4, Al-Imam Al-Ajurri dalam As-Syari`ah 1/136,As-Syaukani dalam Saylul Jarrar 4/556 dan ramai lagi.
Maka berwaspadalah bagi mereka yang menyelisihi ijma`kaum muslimin firman Allah Ta`ala mengancam sesiapa yang menyelisihi dan mengingkari ijma`:
Dan barang siapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkannya ke dalam Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.
[ An-Nisa`;115 ]

Khawarij Al-Qa`adiyyah dan Penjelasan tentang Khuruj( memberontak ) bermula dengan Lisan dan akhirnya dengan perbuatan.
Antara salah faham yang berlaku dikalangan sebahagian manusia apabila mereka menghadkan khuruj(memberontak) terhadap pemerintah hanya semata-mata berlaku apabila pemberontakan berlaku dengan senjata, Al-`Allamah Al-Faqih Syeikh Ibnu Uthaimin rahimahullah menjelaskan ketika memberi komentar terhadap hadith Zulkhuwaisirah:
Dan ini merupakan sebesar-besar dalil yang menunjukkan bahawasanya khuruj(keluar memberontak) terhadap pemerintah boleh berlaku dengan pedang(senjata) dan berlaku dengan perkataan dan percakapan iaitulah: dia ini(Zulkhuwaisirah) tidak menggunakan pedang (untuk memberontak)terhadap Rasul sallallahu`alaihiwasallam tetapi dia hanya mengingkari Rasul (dengan lisannya ).Dan Kami mengetahui dengan ilmu yang yakin berpandukan keadaan tersebut bahawasanya tidak mungkin boleh terjadi khuruj(keluar memberontak ) dengan senjata melainkan ianya didahului dengan khuruj dengan perkataan dan percakapan.
[ Lihat Al-Khawari Du`at `Ala Abwabi Jahannam,hlm 96,dan Fatawa Al-Ulama` Al-Akaabir hlm 95 ]
Khawarij Al-Qa`adiyyah
Kata Ibu Al-`Aarabi rahimahullah:
Al-`Qa`du: atau dikenali dengan As-Syuraah satu kelompok daripada kelompok-kelompok Khawarij, mereka adalah golongan yang menghukum( pemerintah) tetapi mereka tidak memerangi(pemerintah).
[ rujuk Mu`jam Tahzib Al-Lughah 3/3006 ]
Kata Al-Imam Ibnu Hajar Al-`Asqalani rahimahullah:
Dan Al-Qa`adiyyah mereka ialah oran-orang yang memperhiaskan (perkataan mereka) menggalakkan untuk keluar (memberontak) terhadap para pemerintah,sedangkan dia sendiri tidak melakukannya(keluar memberontak).
[ Lihat Hadyu Saari hlm 483, Al-Isobah ketika menjelaskan biografi `Imran bin Hattan ]
Secara istilahnya Khawarij Al-Qa`dah ialah: mereka yang menggalakkan dan menghasut manusia agar keluar memberontak kepada pemerintah mereka,mereka memilih untuk duduk dan beredar daripada memerangi pemerintah dan mengangkat senjata,tetapi mereka dianggap sebagai pergerakan daripada pergerakan khawarij revolusi.
[ Al-Khawarij Du`at `ala Abwabi Jahannam hlm 93 ]
Sikap Ulama` Salaf terhadap Khawarij Al-Qa`adiyyah:
Pada Zaman Imam Ahmad b.Hanbal rahimahullah( wafat 241H) ada seorang lelaki yang bernama Al-Hasan bin Soleh Ibn Hayy lelaki ini merupakan seorang alim yang sangat kuat dan khusyuk beribadah.Dia tidak pernah seumur hidupnya keluar mmberontak kpd pemerintah muslim namun dia hanya membolehkan keluar mmberontak terhadap pemerintah, Maka para Ulama` Salaf ketika itu mentahzir(memperingati manusia agar berwaspada terhadap) beliau , beliau dan pengikutnya dinamakan Khawarij Al Qa`adiyyah.
Berkata Al-Imam Az-Zahabi: Al-Hasan bin Soleh bin Hayy, Imam yg besar, seorang yg dikenali, Abu Abdillah Al-Hamdani At-Thauri Al-Kufi, Faqiih `Abid( kuat beribadah) saudara kepada Imam `Ali bin Soleh.
Berkata Al-Imam Zahabi ketika mengulas biografi beliau: " Dia (Al-Hasan) merupakan dari kalangan imam-imam Islam, kalau dia tidak diselubungi dengan bid`ah(KHAWARIJ)..
Imam Sufyan At-Thauri memasuki masjid dan Ibn Hayy( Al-Hasan) sedang solat, lalu beliau ( Ath-Thauri) berkata: " Kami minta perlindungan kepada Allah daripada khusyuknya seorang munafiq" lalu dia mengambil dua seliparnya lalu berpindah ke tiang yang lain.
[ Rujuk Siyar `Alam An-Nubala 7/ 36 ]
Pada hari ini Khawarij Al-Qa`adiyyah datang dalam bentuk kumpulan-kumpulan tertentu seperti jamaah Ikhwan Muslimin dan mereka yang menempuh metod mereka dikalangan gerakan politik dan lain-lain,mereka sering menggalakkan,melakukan talbis dan putar belit terhadap manusia agar keluar memberontak terhadap pemerintah.Ulama` Hadith Jordan Syeikh Salim bin `Eid Al-Hilali –hafizahullah- sering menakalkan perkataan Ulama` Hadith Mesir abad ini dan Muhaqqiq Musnad Ahmad Syeikh Ahmad Syakir –rahumahullah-yang hidup sezaman dengan era penubuhan Ikhwan Muslimin,beliau berkata; “ Ikhwan Muslimin adalah Khawarij pada zaman ini!!”.
[ Lihat Al-Jamaat Al-Islamiyyah fi Dhau`Al-Kitab Wa As-Sunnah Bifahmi Salafil Ummah ]

Aspek-aspek Penting yang menunjukkan pengharaman Demonstrasi:
1) Menyalahi Nas-nas yang jelas serta Ijma`(kesepakatan) para ulama` Islam.
Ianya merupakan suatu wasilah yang tidak syar`i dan tidak ada asas sama sekali daripada syari`at Islam malah dianggap oleh para Ulama Salaf kontemporari sebagai wasilah kepada khuruj,hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Ulama` Hadith Madinah Syeikh Abdul Muhsin `Abbad -hafizahullah-.Demonstrasi juga bercanggah dengan petunjuk Nabi sallallahu`alaihiwasallam, jika ianya dianggap sebagai wasilah untuk Amar makruf Nahi Mungkar maka jelas ianya termasuk dalam bid`ah sebagaimana yang disebut oleh Al-Imam As-Syatibi dalam kitabnya Al-`Itishom tentang definisi bid`ah:
طريقة مخترعة يقصد بالسلوك عليها المضاهة للشريعة والمبالغة في التعبد إلي الله
Suatu jalan yang direka bertujuan melakukannya untuk menyerupai syariat dan bertujuan melampau-lampau dalam ta`abud(beribadah) kepada Allah.
Maka merupakan kesalahan yang sangat jelas apabila ada yang mengatakan demonstrasi tidak termasuk daripada hal ibadah atau bukan bid`ah kerana ianya adalah hal berkaitan muamalat dan bukannya ibadah sedangkan jika kita bertanya mereka yang ingin turun menyertai demonstrasi dikalangan kaum muslimin maka mereka percaya bahawasanya penyertaan mereka dalam demonstrasi adalah jihad dan mereka meyakini mereka akan diganjari dengan pahala kerana mereka bertindak menentang pemerintah yang zalim dan hal ini berdasarkan dakwaan mereka demonstrasi melawan pemerintah yang zalim adalah jihad yang utama.Kenyataan ini sangat bercanggah dengan kenyataan pemimpin agung mereka di kalangan pemuka-pemuka Ikhwan Muslimin seperti Qaradhawi,Abdul Majid Zindani dan selain mereka apabila mereka sendiri menyifatkan demonstrasi merupakan jihad yang agung, persoalannya bukankah jihad termasuk salah satu ibadah malah Nabi sallallallahu`alaihiwasallam menyifatkan ianya merupakan kemuncak bagi Islam?.
2) Tasyabbuh dengan kaum Kuffar.
Sudut ini juga dilihat oleh para Ulama` Salaf sebagai salah satu penyebab yang kukuh menjadikan demonstrasi adalah perbuatan dan budaya yang menyerupai kaum kuffar,kerana ianya tidak pernah dikenali oleh para pendahulu dari kalangan Ulama` Salafussoleh,sedangkan jika kita teliti riwayat-riwayat sejarah menyebut bahawasanya mereka jelas keadaan pemerintah mereka lebih teruk jika hendak dibandingkan dengan keadaan pemerintah kita hari ini,hal ini sebagaimana diketahui penderitaan Al-Imam As-Syafi`i,Ahmad bin Hanbal dan selain mereka yang diseksa oleh pemerintah ketika itu,namun mereka tetap tidak memerintahkan umat Islam keluar memberontak terhadap pemerintah ketika itu.
Kaitannya dengan Protokol Yahudi juga jelas dijelaskan oleh para Ulama` Salaf yang mengkaji tentang subjek dirasatul firaq( aliran-aliran menyimpang dalam islam) masa kini seperti Ulama`Hadith Mesir Syeikh Sa`id Ruslan hafizahullah, dan Ulama`Hadith Jordan Syeikh Dr Salim bin `Eid Al-Hilali hafizahullah.
3) Melemahkan dan menafikan konsep Al-Wala` dan Al-Bara`.
Apabila mereka sanggup bersama-sama orang kafir,para musuh-musuh Islam di kalangan Yahudi,Rafidhah,Liberalis,Sekularis,dan para ahli fasiq seperti kaum gay,lesbian dan sebagainya dimana kesemua mereka berhimpun bersama-sama menuntut hak yang pada zahirnya nampak tuntutan yang satu namun jelas kesemua mereka mempunyai tuntutan hak dan kesamaan yang berbeza mengikit hawa nafsu dan kepentingan kelompok masing-masing.
4) Keburukannya lebih besar daripada kebaikannya.
Jika disenaraikan keburukan-keburukan demonstrasi maka nescaya ianya tidak akan cukup untuk disenaraikan kerana keburukannya sudah disaksikan oleh realiti sebagaimana yang berlaku di Negara timur tengah di Libya,Mesir,Yaman,Syria dan Bahrain berupa mengganggu lalu lintas,ikhtilat(percampuran bebas) antara lelaki dan perempuan,kekacauan,keganasan,pergaduhan dan sebagainya daripada keburukan dan kemudaratan yang lain.Sebagaimana dalam Kaedah Usul Fiqh menyebut:
لا ضرر ولا ضرار
Tidak boleh melakukan mudarat,dan hal yang boleh menimbulkan kemudaratan.
[ HR Ibnu Majah ]
5) Membuka Ruang Untuk Musuh-musuh Islam melemahkan Umat Islam.
Selain itu demonstrasi hanya akan membawa kepada permusuhan,huru-hara,pembuangan waktu dan hanya membuka ruang untuk musuh-musuh Islam menyelusup masuk ke dalam barisan kaum Muslimin,hakikat ini boleh dilihat sebagaimana keadaan yang berlaku di Libya, Mesir, Syria dan Bahrain.Di Libya, Amerika Syarikat akhirnya berjaya menghantar tentera mereka untuk masuk campur dalam urusan dalaman Libya ,begitu juga di Bahrain,bagaimana kaum Rafidhah mengambil peluang untuk membantai Ahli Sunnah dan ingin mendapatkan pemerintahan di sana.Mungkin mereka akan menafikan hal ini dan menyatakan demonstrasi di Malaysia berlainan,kita lakukan secara aman,kita tidak membuat kekacauan.
Namun saya katakan bilangan berpuluh-puluh ribu para pendemo yang menyertai demonstrasi adakah kesemua mereka boleh dikawal oleh pemimpin mereka?,malah mereka akan mengatakan dan menuduh pihak polis dan FRU adalah punca keganasan dalam demonstrasi,adakah mereka tahu sangat mudah untuk musuh Islam memulakan pergaduhan hanya dengan menyelusupkan seseorang ke dalam kumpulan pendemo lalu dia yang akan mula bertindak ganas atau mencaci maki pihak polis atau bertindak membaling sesuatu objek kearah pegawai keselamatan maka akan berlakulah suasana out of control seterusnya berlakulah pergaduhan yang besar dan akhirnya ianya dirakam oleh media-media yang berkepentingan tertentu lalu ditayangkan pula ke seluruh dunia untuk menggambarkan betapa zalimnya polis,FRU dan menimbulkan kebencian masyarakat terhadap pihak polis atau kerajaan.Hal ini samalah seperti api ibarat kata pepatah kecil jadi kawan besar jadi lawan.
Walaupun mereka yang menghalalkan demonstrasi ini dengan menggunakan pelbagai nama seperti “protes aman”,”perhimpunan aman”,” perhimpunan bersih” namun ianya hanyalah dilihat seperti perbuatan seseorang yang menghalalkan arak atau rokok dengan menamakan ia dengan nama-nama yang lain agar manusia tidak menganggap ianya adalah salah.Kaedah dalam bahasa arab ada menyebut:
العبرة بالمسميات لا بالأسماء
Sesuatu perkara diketahui dengan hakikatnya bukan diketahui dengan namanya.
Maka jika arak yang sifatnya memabukkan,selagi mana sifatnya jika diminum boleh memabukkan maka ianya tetap haram walaupun ianya diberi nama dengan arak halal,atau air yang tidak mabuk,dan nama-nama yang lain,maka hakikatnya yang memabukkan itu juga adalah tetap haram.
Mereka yang menggunakan kaedah talbis(penyamaran) nama ini sebenarnya sudah menempuh uslub atau metod yang juga pernah digunakan oleh Iblis ketika memperdayakan bapa dan ibu kita kita Nabi Adam `alaihissalam dan Hawa`dimana dia menamakan buah daripada pokok yang dilarang oleh Allah Ta`ala sebagai pokok yang “khuld’ kekal iaitulah boleh mengekalkan mereka berdua di dalam syurga untuk selamanya sedangkan hakikatnya perbuatan tersebut hanya menyebabkan mereka diusir daripada syurga.Sila rujuk surah Thaha ayat 120.
Keburukan demonstrasi jelas ianya menggalakkan para pendemo agar menjadi seorang pencaci,pemarah dan penghasut.sedangkan Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:
Seorang Mukmin bukanlah seorang yang suka mencela,juga bukan suka melaknat.
[ HR At-Thabrani dan asalnya di dalam Shahihain ]
Para ulama menjelaskan mencela di sini iaitulah celaan yang dilakukan hanya semata-mata emosi,bertujuan dunia dan bukan atas dasar membela syari`at.Berapa ramai para pendemo yang dilihat menjerit dan mengeluarkan kata-kata kasar,jijik serta kejian yang hina dalam demonstrasi yang mereka sertai,hatta walaupun mereka menjerit sambil berzikir sekalipun ianya tetap tidak boleh dibuat hujjah dalam menghalalkan demonstrasi kerana jelas ianya bertentangan dengan nas-nas serta dalil yang disebutkan di atas.
Kesimpulannya, umat Islam wajib kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam,di saat berlaku perselisihan dan perpecahan dalam agama maka kembalikanlah ia kepada Ulama`yang benar-benat wara` dan takutkan Allah,mereka yang tidak berfatwa melainkan dengan mengikuti dalil dan kefahaman yang jelas dan benar,dan mereka yang berada di atas manhaj Salaf yang benar,campakkanlah fatwa-fatwa sesiapa pun yang menyelisihi nas dan ijmak ke dinding,janganlah disebabkan pengaruh,kepentingan politik atau sikap fanatik menjadi penghalang kepada kita untuk mengikuti Sunnah Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam dan manhaj para salafussoleh.

Rujuk Fatwa-Fatwa para Ulama` dalam Pengharaman Pemberontakan dan Demonstrasi:
1) Faedah Imam Ahmad bin Hanbal terhadap larangan Memberontak: http://ibnabiashim89.blogspot.com/2011/03/faedah-daripada-kalam-imam-ahmad.html
2) Ulasan Ibnu Khaldun terhadap Pemberontakan: https://www.facebook.com/note.php?note_id=10150146366746745
3) Nasihat Berharga Al-Imam Ibnul Qayyim bagi para pemberontak: https://www.facebook.com/note.php?note_id=10150141805471745
4) Hukum Demokrasi atau hukum kanun buatan Manusia,Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah :https://www.facebook.com/note.php?note_id=10150098905071745
5) Fatwa Ulama` Hadith Madinah,Syeikh Abdul Muhsin `Abbad-hafizahullah-tentang demonstrasi: http://ibnabiashim89.blogspot.com/2011/03/fatwa-ahli-hadith-madinah-as-syaikh.html
6) Fatwa Anggota Majlis Kibar Ulama Arab Saudi Syeikh Soleh Al-Fauzan dan Mufti Madinah,Syeikh Soleh bin Sa`ad As-Suhaimi-hafizahumallah-: https://www.facebook.com/note.php?note_id=178776618846560
7) Penjelasan Ulama` Hadith Jordan Syeikh Salim bin `Eid Al-Hilali tentang syubhat-syubhat Demonstrasi:
InsyaAllah,akan diterjemahkan beberapa fatwa ulama lain dari Mesir,Yaman dan Jordan.

Faqir ila Allah,
Abul Hussein
16 Rejab 1432H/16 Jun 2011
Universiti Islam Madinah An-Nabawiyyah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...