Fesyen pakaian terkini,trendy,bergaya,menarik,dan cantik itulah ukuran semerta bagi sesiapa sahaja yang menginginkan litupan pada tubuhnya.Ianya berupa tenunan yang menjadi salah satu keperluan asas manusia.Dalam pada kita memenuhi keperluan kita terhadap pakaian,apakah pernah terlintas di hati kita persoalan,Apakah pandangan Islam dalam menyusun atur gaya penampilan seorang muslimah dalam aspek berpakaian?apakah Islam memberi wewenang dalam memberi kebebasan kepada muslimah untuk berpakaian secara semberono,janji sekadar menutup kemaluan depan dan belakang sudah cukup,atau Islam memastikan penganutnya kemas dalam etika pakaian yang tersendiri,menjamin ketulinan fitrah insan berakhlak mulia dalam penampilannya.Berikut merupakan sedikit catitan ciri-ciri yang telah digariskan dalam Islam yang mana patut dijadikan garis panduan dalam mempraktikkan amalan berpakaian seorang muslimah
Pertama:Bukan merupakan pakaian yang meraih kemasyuran
Rasulullah s.a.w bersabda "sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyuran,maka Allah akan memakaikannya pada hari Kiamat (pakaian) yang semisal,kemudian membakarnya di dalam pakaian tersebut dengan api neraka."[Shahih Sunan Abu Daud,no:4029]
Sungguh segala sesuatu amalan bermula dengan niat.Cumanya ingin ditekankan disini maksud tidak bertujuan meraih kemasyuran tidaklah bererti seorang muslimah itu tidak boleh berpakaian kemas,indah,baru,berwarna dan sedap mata memandang.Selagi mana niat atau tujuan pemakaian pakaian tadi tidak bertemu dengan hasrat untuk membanggakan diri maka ia masih menepati ciri pertama pakaian seorang muslimah.Hal ini kerana,tidak dinafikan bahawa terdapat juga insan-insan diluar sana yang memakai pakaian yang tampak selekeh,buruk dan bertampal sana-sini turut memakai pakaian tersebut demi meraih kemasyuran,sekadarnya kemasyuran yang dicari itu cenderung kepada hasrat hati ingin dipuji kononnya dia memiliki kehidupan yang zuhud dan memadai.Hal ini menjadikan tujuan pemakaian pakaian itu menjadi terlarang.
Ciri Kedua:Tidak menyerupai pakaian kaum bukan Islam.
Ciri kedua ini menyentuh tentang keperluan dan menjadi tuntutan untuk seseorang muslimah berasa bangga dengan apa yang menjadi tuntutan dalam agamanya.Etika pakaian Islam yang mementingkan kesopanan dan mewujudkan rasa hampir pada Rahmat Tuhan semestinya jauh berbeza dengan kebanggaan mendedahkan aurat dengan pakaian yang menjadi faktor pendorong mudahnya kerja syaitan menjerumuskan anak Adam.Seorang sahabat menceritakan: "Rasulullah s.a.w melihat saya memakai dua buah kain yang bewarna "ushfur" maka baginda bersabda: "Sesungguhnya ini adalah daripada pakaian orang-orang kafir maka janganlah memakainya."[Shahih Muslim,no:2077]
Ciri Ketiga: Tidak menyerupai kaum lelaki
Apa yang digariskan dalam adab berpakaian Islam turut menekankan keperluan seorang muslimah untuk membezakan pakaian yang dipakai supaya tidak menyerupai kaum lelaki.Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya,no:5885:"Rasulullah s.a.w melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."Islam melarang keras tindakan memakai pakaian yang menyerupai lawan jenis adalah bertujuan melestarikan hikmah kelakuan yang menepati fitrah semulajadi antara lelaki dan wanita.Seorang muslimah yang berpakaian seperti lelaki punya kecenderungan untuk berkelakuan seperti lelaki dan begitu juga bagi lelaki yang berpakaian seperti wanita.Hal ini pasti mewujudkan kecelaruan identiti dalam mengembangkan watak sihat seorang lelaki dan wanita yang fitrah lagi normal.
Ciri Keempat:Tidak jarang kainnya
Rasulullah s.a.w bersabda: "Pada akhir (zaman ) umatku nanti akan ada wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya telanjang."[Mu'jam al-Thabarani dengan sanad yang sahih].
Bagaimana mungkin apabila seseorang wanita itu dikatakan telanjang sedangkan dia dilitupi pakaian.Maksud Rasulullah dalam dalam hadis diatas ialah walaupun seseorang wanita itu berpakaian,tetapi litupan kain yang menutupi tubuhnya itu terlalu nipis atau jarang sehingga manjadi telus menampakkan bentuk tubuh badan mereka.Keadaan ini menjadi satu trend yang menjadi kebanggaan manusia moden kini.Moga apa yang dijanjikan Tuhan berupa kenikmatan surga mampu menjadi pendorong kita dalam melakukan sesuatu amalan yang diredhai Allah.Dalam aspek pemilihan pakaian ini,pilihlah pakaian yang lebih mendekati takwa dan perhatikan kainnya agar tidak terlalu nipis hingga menerbitkan fitnah pada diri dan agama.
Ciri kelima:Tidak menampakkan bentuk badan.
Rasulullah pernah melihat isteri seorang sahabat yang memakai pakaian yang diperbuat dari kain yang tebal,tetapi menampakkan bentuk badannya.Lantas baginda menegur kepada suaminya:"Suruhlah dia memakai baju dalam di sebaliknya kerana aku bimbang ia menggambarkan bentuk tulangnya."[Sunan al-Baihaqi dengan sanad yang hasan].Rasulullah menggunakan istilah bentuk tulang sebagai kiasan kepada erti bentuk badan.Hal ini kerana keindahan akhlak baginda dalam kelembutan berbahasa.Pengajaran yang dapat dipetik ialah,seorang muslimah seharusnya berusaha sedaya upaya untuk memastikan pakaian yang dipakai itu tidak menampakkan bentuk badan ataupun memakai pakaian yang membentuk tubuh.
Ciri keenam:Menutup aurat
Allah berfirman "Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya......jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya,dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka."[sebahagian dari ayat 31 surah an-Nur]
.Di dalam ayat ini Allah memerintahkan agar wanita muslimah mengenakan pakaian yang mampu menutupi keseluruhan aurat dirinya kecuali muka dan apa yang berada di bawah pergelangan tangan.Pilihlah tudung yang mampu menutupi bahagaian bawah dada tidak seperti kebanyakan fesyen bertudung sekarang yang mengabaikan aspek ini.Hal ini kerana maksud "belahan leher"dalam ayat diatas ialah bentuk " V " diantara buah dada yang lazim didedahkan oleh fesyen masa kini.
Semoga catitan ringkas tentang cara berpakaian seorang muslimah ini mampu menggerakkan hati,membuka minda dan menyedarkan kita akan garis panduan yang digariskan Islam dalam berpakaian.Sungguh barang berharga yang punya nilai selalunya terlitup tidak terlihat...umpama emas yang berharga...dilitup bumi sebelum milikinya...
Olahan semula karya Kapten Hafiz Firdaus:Cahaya Rohani-LEE102
No comments:
Post a Comment