Oleh : Ustaz Fathul Bari bin Mat Jahya
Kaedah benar memahami Al-Quran dan Al-Sunnah
Pada hari ini kita berhadapan dengan golongan manusia yang pelbagai
latar dan pemikiran. Golongan pertama beranggapan bahawa membaca dan
mengkhatam Al-Quran serta mengulang-ulangi bacaan sudah memadai.
Golongan kedua pula memahami Al-Quran dengan cara merujuk pada
terjemahan dan menganggap itu sudah cukup baik.
Ini merupakan salah faham yang serius. Hakikatnya, terjemahan
hanyalah pembantu atau alat untuk mengetahui makna zahir (tersurat)
sahaja. Kaedah yang tepat untuk memahami Al-Quran dan hadis-hadis Nabi
S.A.W adalah melalui kaedah tafsiran Al-Quran atau syarahan hadis.
Bagaimanakah kaedah, metodologi, dan asasnya? Kepada siapakah harus
kita bergantung dalam memahami maksud nas Al-Quran dan hadis tersebut?
Sekiranya diberi mandat untuk menafsirkan Al-Quran dan hadis kepada
sesiapa sahaja, kita akan dapati pelbagai orang mempunyai pelbagai
tafsiran.
Seorang teman dari Oman pernah bertanya tentang hadis Nabi dari sahabatnya Abu Hurairah RA,
“Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehinggalah sungai Furat kering dan mengeluarkan gunung (timbunan) emas yang menyebabkan manusia berbunuh-bunuhan. Maka seramai sembilan puluh sembilan daripada seratus orang telah dibunuh dan setiap lelaki dari kalangan mereka itu akan mengharapkan kejayaan itu menjadi miliknya.” (riwayat Imam Muslim, no. 5152)
Telah tersebar di dalam internet tafsiran yang mengatakan bahawa
bukit daripada emas yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah minyak.
Jadi apabila Petronas ingin menerokai sekitar kawasan tersebut, ada di
kalangan pekerja tidak berani pergi ke sana kerana takutkan khabar buruk
dari hadis itu.
Setelah diteliti penjelasannya daripada kalangan ulama-ulama ahli
sunnah wal jamaah ternyata pemahaman dan tafsiran hadis itu berbeza. Apa
yang tersebar di internet itu merupakan takwilan yang batil berdasarkan
logik dan andaian semata-mata. Pada hari ini petroleum memang dikenali
sebagai emas hitam tetapi itu hanya terminologi dari sudut bahasa,
sedangkan apa yang dimaksudkan oleh Nabi SAW adalah emas yang betul.