Tidak
diragui bahawa Solat Qiamullail di Bulan Ramadhan yang lebih dikenali sebagai
Solat Tarawih dianjurkan untuk dikerjakan secara berjemaah. Hal ini berdasarkan
kepada:
A.
Perakuan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam terhadapnya;
B.
Perbuatan Baginda mengerjakannya secara berjemaah; dan
C.
Penjelasan Baginda tentang fadilatnya.
Adapun perakuan Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wasallam, hal ini
berdasarkan kepada Hadis riwayat Tha’labah bin Abi Malik Al-Qardhi radhiyallahu
‘anhu yang berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada suatu
malam di Bulan Ramadhan lalu Baginda melihat sekumpulan manusia sedang solat
berjemaah di penjuru Masjid. Baginda bertanya: Apakah yang sedang mereka
kerjakan? Seorang Sahabat menjawab: Wahai Rasulullah, mereka adalah kumpulan
yang tidak hafal Al-Quran dan Ubai bin Ka’ab yang hafal sedang mengimami solat
mereka. Berkata Baginda, “Bagus apa yang mereka lakukan” atau “Benar apa yang
mereka lakukan”. Baginda tidak melarang mereka berbuat begitu. (Riwayat
Al-Baihaqi dll. dengan sanad yang saling menguatkan).
Perbuatan Rasulullah mengerjakan Solat Tarawih
secara Berjemaah. Hal
ini sabit dalam beberapa hadis iaitu:
1.
Daripada Al-Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,
“Kami
solat bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada malam dua puluh tiga
Ramadhan sehingga sepertiga malam pertama. Kemudian kami solat bersama Baginda
pada malam dua puluh lima sehingga setengah malam. Pada malam ke dua puluh
tujuh kami solat bersama Baginda sehingga kami sangka yang kami akan terlepas
sahur.” (Sahih. Riwayat Ahmad)
2.
Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha, dia berkata:
“Pada
mulanya para Sahabat solat di Masjid Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam
pada malam Ramadhan secara berasingan di mana seorang yang hafal sebahagian
daripada Al-Quran akan mengimami jemaah yang terdiri daripada lima atau enam
orang atau barangkali lebih sedikit atau lebih ramai daripada itu. Maka Baginda
memerintahkan supaya aku meletakkan pelepah kurma di hadapan pintu rumahku. Aku
pun melakukan apa yang diminta. Setelah selesai Solat Isyak Baginda menuju ke
arahnya diikuti jemaah yang ada dalam masjid. Baginda mengimami solat mereka
dengan solat yang cukup panjang.
Setelah
itu Baginda masuk ke rumahnya dan membiarkan pelepah kurma itu pada tempatnya.
Keesokan harinya penduduk Madinah bertanya tentang solat yang Baginda kerjakan
pada malam sebelumnya. Pada malam berikutnya lebih ramai yang hadir ke masjid
dan Baginda mengimamkan solat mereka. Keesokan harinya penduduk Madinah
berbicara tentangnya membuatkan pada malam ketiga lebih ramai jemaah yang
datang dan solat bersama Rasulullah.
Pada
malam keempat kehadiran jemaah di Masjid cukup ramai sehingga masjid tidak
dapat menampung jumlah mereka. Rasulullah keluar mengimami solat Isyak dan
sesudahnya Baginda masuk ke dalam rumah manakala jemaah Masjid terus menunggu.
Baginda
bertanya kepadaku, mengapa dengan mereka wahai Aisyah? Aku berkata: Wahai
Rasulullah, mereka mendengar tentang solatmu pada malam semalam maka mereka
hadir untuk solat bersamamu. Baginda berkata, “Alihkan pelepah kurmamu wahai
Aisyah”. Aku pun melaksanakannya.
Jemaah
masjid terus menunggu di Masjid. Keesokan paginya Baginda keluar mengerjakan
Subuh. Setelah selesai Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam berpaling ke arah
mereka, bertasyahhud dan berkata, “Wahai manusia, demi Allah aku tidak bermalam
dalam keadaan tidak tahu tentang keadaan kamu, tetapi aku khuatir ia akan
diwajibkan ke atas kamu (dalam satu riwayat: Tetapi aku khuatir solat malam
akan diwajibkan ke atas kamu dan kamu tidak akan mampu melakukannya). Maka
laksanakanlah amalan-amalan yang kamu mampu kerana sesungguhnya Allah tidak
akan jemu melainkan apabila kamu jemu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis-hadis
ini jelas menunjukkan bahawa Solat Tarawih dianjurkan secara berjemaah
berdasarkan perbuatan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam pada ketiga-tiga
malam yang pertama di dalam hadis di atas. Hal ini tidak bercanggah dengan
perbuatan Baginda meninggalkannya pada malam keempat kerana Baginda memberi
alasan “Aku khuatir ia akan diwajibkan ke atas kamu.”
Jelas
kekhuatiran ini telah terhenti sesudah kewafatan Baginda. Ini yang membuatkan
Khalifah Omar bin Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu menghidupkan Sunnah ini pada
zamannya seperti mana yang akan dijelaskan nanti. Bahkan hal ini menjadi
pegangan majoriti para Ulama.
Penjelasan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam
Tentang Fadilat Solat Tarawih Berjemaah. Abu Dzar berkata, “Kami berpuasa dan
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak solat bersama kami sehingga
tersisa tujuh hari daripada Bulan (Ramadhan). Maka Baginda mengimami solat kami
sehingga sepertiga malam. Pada malam keenam Baginda tidak solat bersama kami.
Pada malam kelima Baginda mengimami kami sehingga setengah malam. Kami berkata:
Wahai Rasulullah, bagaimana kalau sekiranya engkau teruskan solat pada baki
waktu malam yang tersisa? Jawab Baginda, “Barangsiapa yang solat bersama imam
sehingga dia selesai akan tertulis buatnya solat sepanjang malam.” Pada malam
berikutnya Baginda tidak solat bersama kami. Pada malam ketiga terakhir,
Baginda solat bersama kami dengan disertai keluarga dan para isteri Baginda.
Baginda solat sehingga kami khuatir akan terlepas waktu sahur.” (Sahih. Riwayat
Abu Daud)
Kenyataan
Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam, “Barangsiapa yang solat bersama imam…”
jelas menunjukkan fadilat Solat Tarawih bersama imam. Hal ini disokong
penjelasan Imam Ahmad ketika ditanya: (Adakah lebih baik) dilewatkan Solat
Tarawih sehingga hujung malam? Jawab beliau, “Tidak, amalan kaum Muslimin lebih
aku sukai.” (Masaa’il Imam Ahmad oleh Imam Abu Daud)
Maksud
beliau, solat Tarawih secara berjemaah di awal waktu malam lebih afdal di sisi
beliau berbanding dengan solat sendiri di akhir malam. Walaupun waktu akhir
malam (sepertiga malam yang terakhir) lebih afdal secara umumnya tetapi solat
berjemaah tetap lebih afdal walaupun di awal waktu malam. Ini berdasarkan
berbuatan Nabi solat berjemaah di masjid seperti mana dalam hadis di atas dan
hal ini menjadi amalan masyarakat Islam daripada zaman Khalifah Omar Al-Khattab
sehinggalah ke hari ini.
Setelah
penjelasan tentang anjuran Solat Tarawih secara berjemaah berdasarkan perakuan,
perbuatan dan saranan Nabi, harus dijelaskan pula tentang jumlah rakaat yang
didirikan oleh Baginda pada malam-malam tersebut secara berjemaah.
Dalam hal
ini terdapat dua hadis iaitu Hadis Aisyah dan Hadis Jabir radhiyallahu ‘anhuma.
Lafaznya:
Hadis
Pertama: Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman, dia bertanya kepada Aisyah
tentang bagaimana solat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada Bulan
Ramadhan? Aisyah menjawab, ”Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sama ada
pada Bulan Ramadhan atau di luar Bulan Ramadhan tidak pernah solat melebihi
sebelas rakaat. Baginda solat empat (rakaat) dan janganlah engkau bertanya
tentang keelokan dan kepanjangannya. Lalu Baginda solat empat (rakaat lagi) dan
janganlah engkau bertanya tentang keelokan dan kepanjanganya. Setelah itu
Baginda solat tiga (rakaat).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis
Kedua: Berkata Jabir bin Abdullah, “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam
mengimami solat kami pada Bulan Ramadhan sebanyak lapan rakaat diikuti dengan
solat witir. Pada malam berikutnya kami berkumpul di Masjid dengan harapan
Baginda akan keluar (untuk mengimami solat) tetapi Baginda tidak keluar
sehingga waktu Subuh. Kami berkata: Wahai Rasulullah, kami berkumpul pada malam
tadi di Masjid dengan harapan engkau akan mengimami solat kami. Jawab Baginda,
“Aku khuatir ia akan diwajibkan atas kamu.” (Hasan. Riwayat Al-Tabarani)
Hadis Solat Tarawih Dua Puluh Rakaat Sangat Lemah
Tidak Boleh Dijadikan Sebagai Amalan
Berkata
Ibnu Hajar:
“Adapun
riwayat Ibnu Abi Syaibah daripada hadis Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma
bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam solat pada Bulan Ramadhan
sebanyak dua puluh rakaat dan Solat Witir, sanadnya adalah lemah. Ia bercanggah
dengan Hadis Aisyah dalam riwayat Bukhari dan Muslim yang mana beliau (Aisyah)
lebih tahu tentang amalan Rasulullah pada waktu malam berbanding dengan yang
lain.” (Fathulbari, 4/205-206)
Imam
Albani menyimpulkan bahawa hadis riwayat Ibnu Abbas di atas telah sampai ke
tahap mauduu’ (palsu) kerana percanggahannya dengan kedua riwayat Aisyah dan
Jabir tentang bahawa Rasulullah tidak pernah solat lebih daripada sebelas
rakaat.
Imam
Al-Sayuuti berkata:
“Kesimpulannya,
(hadis) dua puluh rakaat tidak sabit daripada perbuatan Rasulullah. Adapun
dalam Sahih Ibnu Hibban (hadis riwayat Jabir), apa yang kami simpulkan
berdasarkan hadis Bukhari daripada riwayat Aisyah bahawa Baginda sallallahu
‘alaihi wasallam sama ada pada Bulan Ramadhan atau di luar Bulan Ramadhan tidak
pernah solat melebihi sebelas rakaat, ia bertepatan dengannya (hadis riwayat
Jabir) daripada sudut Baginda solat Tarawih lapan rakaat kemudian Baginda solat
Witir tiga rakaat. Maka jumlahnya sebelas rakaat.
Hal ini
disokong dengan kebiasaan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam sekiranya
melakukan sesuatu Baginda akan melakukannya secara berterusan. Seperti mana
Baginda solat dua rakaat yang diqada’ sesudah Solat Asar sedangkan waktu itu
dilarang solat.
Maka
kalau sekiranya Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam pernah solat dua puluh
rakaat walaupun sekali pasti Baginda tidak akan meninggalkan sama sekali amalan
tersebut. Dan sekiranya hal ini berlaku pasti ia akan diketahui oleh Aisyah
yang telah berkata dengan ucapan yang telah dijelaskan sebelum ini.”
Perbuatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam
Solat 11 Rakaat Menunjukkan Bahawa Tidak Boleh Solat Melebihi Jumlah Tersebut
Penjelasan
sebelum ini menunjukkan bahawa jumlah Solat Qiamullail / Tarawih adalah sebelas
rakaat berdasarkan nas yang sahih daripada perbuatan Rasulullah sallallahu
‘alaihi wasallam. Jika kita perhatikan, perbuatan Baginda terus-menerus solat
dengan bilangan ini sepanjang hidupnya tanpa menambahnya sama ada di Bulan
Ramadhan atau di bulan-bulan yang lain, ia menjadi petunjuk bahawa bilangan
rakaatnya tidak boleh ditambah.
Keadaan
ini sama seperti Solat Rawaatib dan solat-solat sunat yang lain seperti Solat
Istisqaa’ dan Solat Gerhana yang mana Baginda turut mengerjakannya dengan
bilangan rakaat-rakaat yang tertentu. Maka sebagaimana hal ini menjadi dalil
buat para Ulama bagi mengatakan bahawa tidak boleh ditambah jumlah rakaat pada
solat-solat ini, begitu jugalah halnya dengan Solat Tarawih yang mana bilangan
rakaatnya juga tidak boleh ditambah melebihi daripada apa yang disunnahkan.
Syubhat-Syubhat dan Jawapannya
Ada
baiknya disebutkan di sini beberapa syubhat yang mengatakan dibolehkan menambah
bilangan rakaat Solat Tarawih melebihi sebelas rakaat.
Syubhat Pertama: Perselisihan para ulama dalam menetapkan jumlah
rakaat Solat Tarawih sehingga ada yang mengatakan 41 rakaat, 36 rakaat, 34
rakaat, 28 rakaat, 24 rakaat, 20 rakaat, 16 rakaat dan 11 rakaat menunjukkan
bahawa tidak ada nas yang menetapkan hanya sebelas rakaat.
Jawapan:
Tidak
dinafikan bahawa perselisihan para ulama ada kalanya disebabkan oleh tidak
adanya nas. Walau bagaimanapun, ini bukan satu-satu sebabnya. Ada kalanya ia
disebabkan oleh hakikat bahawa nas itu tidak sampai kepada seseorang ulama yang
berkata sebaliknya; atau nas itu sampai kepadanya tetapi dengan jalan riwayat
yang tidak sahih; atau nasnya sampai kepadanya dengan jalan riwayat yang sahih
tetapi dia memahaminya dengan cara yang menyelisihi pendapat ulama yang lain;
atau sebab-sebab yang lain.
Hasilnya,
perselisihan para ulama ada banyak sebabnya dan bukan hanya satu sebab iaitu
kerana disebabkan tidak ada nas; atau dalam permasalahan kita ini; kerana tidak
ada nas yang menetapkan jumlah rakaat Solat Tarawih.
Bahkan
kita katakan realitinya dalam permasalahan ini terdapat nas yang menetapkan dan
nas ini tidak boleh ditolak semata-mata dengan alasan adanya perselisihan para
ulama. Apa yang menjadi kewajipan kita adalah dikembalikan perselisihan ini
kepada nas bertepatan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
فَلاَ وَرَبِّكَ لاَيُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ
فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا
قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya:
Demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (wahai
Rasulullah) sebagai hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara
mereka, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa
yang engkau putuskan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(Al-Nisaa’, ayat 65)
Firman
Allah Subhanahu wa Ta’ala:
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى
اللهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلأَخِرِ
Maksudnya:
Sekiranya kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu
mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika
kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. (Al-Nisaa’, ayat 59)
Syubhat Kedua: Dibolehkan menambah bilangan rakaat pada
Solat Tarawih kerana tidak ada nas yang melarang. Atau;
Tidak
dinafikan bahawa telah sabit bahawa Baginda hanya solat sebelas rakaat,
manakala hadis Baginda solat dua puluh rakaat tidak sabit; walau bagaimanapun
tidak ada halangan untuk kita menambah kerana Baginda tidak melarang.
Jawapan:
Perlu
diketahui bahawa prinsip beramal ibadah adalah tauqifiyyah iaitu ia perlu
sejajar dengan nas syarak. Prinsip ini telah pun disepakati para ulama. Tanpa
prinsip ini, seseorang itu mungkin sahaja menambah rakaat pada solat sunat
bahkan juga pada jumlah rakaat solat fardu atas dakwaan bahawa Baginda tidak
melarangnya. Perkara ini jelas batil.
Syubhat Ketiga: Berpegang dengan nas-nas yang umum.
Sebahagian
mereka berpegang dengan nas-nas umum yang menganjurkan untuk memperbanyakkan
solat tanpa ditetapkan bilangan rakaatnya. Seperti kenyataan Nabi sallallahu
‘alaihi wasallam, “Solat malam dua-dua (rakaat)” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jawapan:
Perbuatan
berpegang dengan nas-nas yang umum hanya dibolehkan dalam amal ibadah yang
tidak dihadkan batas-batasnya. Adapun sekiranya Syarak membataskan suatu nas yang
umum dengan nas yang khusus, maka nas yang umum itu akan terikat dengan nas
yang mengkhususkannya. Akhirnya, keumuman suatu nas yang umum tidak lagi boleh
dijadikan hujah. Sebaliknya, ia perlu difahami dalam konteks nas khusus yang
mengkhususkannya.
Sebab Sebenar Mengapa Para Ulama Berbeza Pendapat
dalam Jumlah Rakaat Solat Tarawih
Imam Albani melihat bahawa terdapat dua sebab.
Sebab
pertama yang paling kuat dan paling lumrah adalah kerana mereka tidak bertemu
dengan nas yang menyebut tentang bilangan rakaatnya. Mereka ini jelas mempunyai
keuzuran dalam tidak beramal dengan nas ini.
Sebab
kedua adalah mereka memahami nas ini dengan kefahaman bahawa ia tidak
menunjukkan adanya larangan menambah pada bilangannya.
Kedudukan Kita Terhadap Mereka yang Menyelisihi
Kita dalam Permasalahan ini
Walaupun
kita beramal dengan Sunnah dalam bilangan rakaat Solat Tarawih dan mengatakan
bahawa tidak dibolehkan menambah pada bilangan rakaatnya; hal ini tidak bererti
kita menyesat atau membida’ahkan mereka yang menyelisihi kita dalam hal ini.
Ini
kerana suatu itu hanya dikatakan bidaah dan pelakunya diancam atas perbuatannya
sekiranya ia menepati istilah bidaah itu sendiri iaitu:
“Jalan
dalam Agama yang direka-reka, bentuknya menyerupai Syariat, dan dilakukan
dengan tujuan untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah Ta’ala.”
(Al-I’tisaam oleh Imam Syatibi)
Oleh itu,
hanya mereka yang mengaada-adakan suatu bidaah dengan tujuan untuk
berlebih-lebihan dalam beribadah dalam keadaan mengetahui bahawa ia bukan
daripada Syarak akan dikategorikan sebagai pelaku bidaah yang mendapat ancaman
daripada Allah.
Adapun
mereka yang melakukan suatu yang menyelisihi Sunnah dengan tidak sengaja kerana
perpegang dengan pendapat ijtihad mereka dan tanpa tujuan berlebih-lebihan
dalam beribadah; mereka ini tidak digolongkan sebagai pelaku bidaah.
Golongan
ahli bidaah adalah mereka yang menentang Sunnah dan menggalakkan perbuatan
bidaah tanpa sebarang petunjuk ilmu ataupun dalil bahkan tanpa bertaklid kepada
para ulama. Sebaliknya mereka sekadar mengikut hawa nafsu dan mancari keredaan
manusia.
Tentu
sahaja ini bukan sifat para ulama – yang terkenal dengan ilmu serta ketakwaan
mereka – yang memilih pendapat mengharuskan solat Tarawih lebih daripada
sebelas rakaat. Lebih-lebih lagi ulama mujtahid daripada kalangan ulama mazhab
fekah yang empat. Kita yakin bahawa mereka sama sekali tidak akan menganggap
baik suatu bidaah kerana ingin berlebih-lebihan dalam beribadah.
Jalan Selamat Adalah dengan Mengikut Sunnah
Walau apa
pun yang dikatakan tentang keharusan solat Tarawih lebih daripada sebelas
rakaat, seseorang muslim yang telah melihat nas-nas tentang solat Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam di bulan Ramadhan secara khasnya tentu tidak akan
teragak-agak untuk mengatakan bahawa angka bilangan rakaat yang dilakukan
Baginda tentu lebih afdal daripada sebarang tambahan pada bilangan rakaat
tersebut. Ini berdasarkan kepada kenyataan Baginda, “Dan sebaik-baik petunjuk
adalah petunjuk Muhammad.” (Riwayat Muslim)
Sayyidina Omar Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu
Menghidupkan Solat Tarawih Berjemaah dan Memerintahkan Ia dikerjakan Sebanyak
Sebelas Rakaat
Sebagaimana
yang telah dijelaskan sebelum ini, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam hanya
mengimamkan Solat Tarawih berjemaah selama tiga malam dan Baginda berhenti
melakukannya kerana khuatir Solat Tarawih akan bertukar menjadi wajib.
Maka
akhirnya sesudah peristiwa itu, para Sahabat kembali mengerjakan solat Tarawih
berjemaah dalam kumpulan-kumpulan yang kecil. Hal ini berterusan sehingga
kewafatan Baginda dan berlanjutan pada zaman Khalifah Abu Bakar sehingga ke
permulaan zaman Khalifah Omar Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu.
Khalifah
Omar Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu akhirnya mengumpulkan jemaah masjid untuk
solat di belakang seorang imam. Perkara ini diceritakan oleh Abdul Rahman bin
Abdul Qari yang berkata:
“Aku
keluar bersama Omar bin Al-Khattab pada suatu malam di Bulan Ramadhan ke
masjid. Ternyata jemaah masjid solat secara berasingan. Ada yang solat
bersendirian dan ada yang solat dalam jemaah yang kecil. Kata Omar, “Demi
Allah, aku melihat kalau mereka dikumpulkan di belakang seorang imam itu lebih
baik.” Akhirnya beliau mengumpulkan jemaah masjid solat di belakang Ubai bin
Kaab.
Kemudian
pada malam yang lain aku keluar bersama beliau dan mendapati jemaah masjid
solat di belakang imam mereka (Ubai bin Kaab). Melihatnya Omar berkata, “Ini
adalah sebaik-baik bidaah, dan mereka yang tidur dan tidak mengerjakannya (di
awal malam sebaliknya mengerjakannya di akhir malam) lebih baik daripada mereka
yang mengerjakannya, kerana masyarakat (ketika itu) mengerjakannya di awal
malam.” (Riwayat Bukhari)
Omar Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu Memerintahkan
Supaya dikerjakan Sebelas Rakaat
Hal ini
disebutkan oleh Imam Malik bin Anas dalam kitabnya Al-Muwatta (no. 248) bahawa,
“Omar bin Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu memerintahkan supaya Ubai bin Kaab dan
Tamim Al-Dari mengimamkan solat jemaah dengan sebanyak sebelas rakaat; dan imam
akan membaca dua ratus ayat sehingga kami terpaksa bersandar di atas tongkat
kerana lama berdiri; dan tidaklah kami selesai melainkan ketika sudah hampir
fajar.” (Sanadnya dihukum sahih oleh Imam Al-Albani dalam Kitab Solat Tarawih,
hlm. 53)
Tidak Sabit bahawa Omar Al-Khattab radhiyallahu
‘anhu Mengerjakan Sebanyak Dua Puluh Rakaat Kerana Lemahnya Riwayat-Riwayat
yang Menyebut Tentangnya
Seperti
mana yang dijelaskan sebelum ini dalam riwayat yang sanadnya sahih bahawa Omar
Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu telah memerintahkan supaya Solat Tarawih
dikerjakan sebanyak sebelas rakaat.
Riwayat
ini tidak boleh disanggah dengan apa yang diriwayatkan oleh Abdul Razzak dalam
kitabnya Al-Musannaf dengan jalur sanad yang berbeza iaitu dengan lafaz “dua
pulu satu (rakaat)”. Ini kerana riwayat dengan lafaz ini jelas salah daripada
dua sudut iaitu:
Pertama: Ia menyalahi riwayat perawi yang thiqah yang
meriwayatnya dengan lafaz “sebelas rakaat”.
Kedua: Abdul Razak bersendirian dalam meriwayatnya
dengan lafaz ini. Walaupun beliau secara amnya seorang perawai yang thiqah lagi
hafis yang mengarang kitab yang masyhur. Tetapi beliau di akhir umurnya menjadi
buta dan daya ingatanya bertukar seperti mana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu
Hajar dalam kitabnya Al-Taqriib.
Dalam
perkara ini terdapat juga beberapa riwayat yang lain tentang jumlah rakaat
Solat Tarawih yang dikerjakan pada zaman Khalifah Omar. Ada riwayat yang
mengatakan dua puluh dan ada yang mengatakan sehingga dua puluh tiga rakaat
tetapi kesemuanya daif seperti mana yang dijelaskan oleh Imam Albani dalam
kitabnya Solat Tarawih.
Di
samping Omar Al-Khattab, terdapat juga riwayat-riwayat daripada Ali bin Abi
Talib, Ubai bin Kaab dan Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhum bahawasanya
mereka solat Tarawih sekitar dua puluh hingga dua puluh tiga rakaat tetapi
kesemuanya juga daif.
Wallahu a’lam.
وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ
وَصَحْبِهِ وَسَلَّم
Kajang, 28 Sya’ban 1434, 07.07.2013
-
http://www.1aqidah.net/v2/artikel-fiqh-sunnah-solat-tarawih-dan-qiyam/#sthash.RBuXXyxd.dpuf
No comments:
Post a Comment