www.ilmusunnah.com
Akhir-akhir
ini adegan dan slogan demonstrasi jalanan ke atas pemerintah sering
sekali dilaungkan. Diberi nama pula sebagai sarana amar makruf nahi
mungkar dan jihad. Maka, suara-suara kebencian dan protes ke atas
pemerintah pun meluap-luap.
Sangat menyedihkan adalah apabila pelbagai aksi dan adegan demonstrasi ini kian menjadi fenomena masyarakat dalam negara kita.
Menurut Kamus Dewan, maksud demonstrasi dalam konteks ini merujuk
kepada “Tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak,
dll. (Termasuk di dalamnya membuat kacau). Berdemonstrasi maksudnya
menunjuk perasaan (kerana memprotes) dll.” (Kamus Dewan, Edisi Keempat,
m/s. 332 – Dewan Bahasa dan Pustaka)
Persoalannya, adakah demonstrasi merupakan salah satu sarana anjuran
agama dalam menghadapi kesalahan dan keterlanjuran pemerintah? Apa hukum
perlakuan demonstrasi di sisi agama? Dalam tulisan yang lalu, penulis
telah bentangkan kaedah-kaedah yang syar’i dalam menegur dan memperbaiki
keterlanjuran pemerintah, iaitu dengan cara nasihat, mendoakan mereka
dengan kebaikan, bertemu dan berbincang dengannya, memperbanyakkan
kesabaran, dan dengan tidak mengaibkan serta merendah-rendahkan
kedudukannya.
Ringkasnya, begitulah kaedah-kaedah yang syar’i dalam bermuamalah
terhadap pemerintah sama ada yang adil mahupun yang zalim, selagi mana
mereka masih menzahirkan keislaman dan syi’ar solat.
Dalam masa yang sama, amalan syar’i ini menunjukkan betapa Islam itu
adalah agama yang mengajak kepada perdamaian, mengajak kepada maslahah,
berdisiplin, membenci kekacauan, dan penuh dengan ketenangan. Secara
automatik, amalan demonstrasi dan protes ke atas pemerintah sewajarnya
tidak berlaku di kalangan umat Islam jika ruh agama tersebut berjaya
difahami dengan baik.
Sejarah Demonstrasi
Dalam sejarah Islam, awal tercetusnya demonstrasi adalah dari
golongan pemberontak ketika pemerintahan ‘Utsman B. Affan radhiyallahu
‘anhu. Mazhab demonstrasi dan pemberontakan ketika itu dicetuskan oleh
seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah B. Saba’ yang berpura-pura masuk
Islam. Beliau menyusup masuk ke dalam masyarakat Islam bertujuan
menyebarkan pelbagai fitnah dan syubhat menghasut rakyat membenci
Khalifah ‘Utsman.
Tindakan ‘Abdullah B. Saba’ ini bertepatan dengan sikap permusuhan
Yahudi terhadap umat Islam sebagaimana termaktub dalam al-Qur’an
sendiri. Tidak akan senang mereka selagi mana Islam tidak dihancurkan.
Di antara tuduhan-tuduhan yang beliau lemparkan ke atas ‘Utsman
ketika itu antaranya ‘Utsman ini bersifat kronisme, nepotisme, zalim,
tidak memberi hak dengan adil, dan mendahului ‘Ali dalam hak
kekhalifahan. Syubhat-syubhat dan fitnah yang beliau sebarkan tampak
berjaya lantaran ramainya orang awam dan muallaf yang baru memeluk Islam
yang masih belum mendalam keimanannya. Beliau turut menyemarakkan
ideologi membela golongan tertindas dengan mengajak rakyat memprotes
‘Utsman B. ‘Affan.
Ramai rakyat termakan fitnah lalu bangkit membuat provokasi
mengkritik ‘Utsman secara terbuka di sana sini. Sehingga muncullah
revolusi rakyat mengakibatkan pemberontakan. Beberapa hari rumah ‘Utsman
mereka kepung, akhirnya ‘Utsman pun mereka bunuh dalam peristiwa yang
penuh tragis. Golongan pemberontak dan aktivis demonstrasi ketika itu
menamakan tindakan mereka sebagai amar makruf nahi mungkar! Walhal ia
adalah kebathilan berkedok agama.
Setelah peristiwa terbunuhnya ‘Utsman, fitnah tidak kunjung reda.
Sebaliknya terus berkobar ketika zaman pemerintahan ‘Ali radhiyallahu
‘anhu dan seterusnya. Pemikiran ‘Abdullah B. Saba’ terus meracuni
masyarakat sehingga muncul pula golongan Syi’ah dan Khawarij sekaligus.
Awal kemunculan Syi’ah ketika itu berperanan mengajak masyarakat
mendewakan ‘Ali, manakala golongan khawarij menjadi faktor
melaga-lagakan masyarakat dengan pemerintah (khalifah ‘Ali B. Abu
Thalib). Kaum khawarij juga bertindak melaga-lagakan para sahabat
terutamanya di antara ‘Ali dengan Mu’awiyah, ‘Aisyah, Thalhah, dan
az-Zubair.
Dua faktor inilah (faktor Khawarij dan Syi’ah) antara yang
bertanggungjawab mencetuskan peperangan Jamal dan Siffin mengakibatkan
para sahabat bertembung sesama sendiri. Pertembungan tersebut adalah
antara kejayaan besar faktor Syi’ah dan Khawarij dalam menimbulkan salah
faham dan fitnah sesama para sahabat ketika itu. Dan kesannya terus
dirasai sehingga hari ini.
Dari kelompok mereka inilah lahirnya gerakkan yang zahirnya menyuruh
kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta mencari keadilan untuk
muslim yang dizalimi. Kesan dari perkara ini, wujudlah
pemikiran-pemikiran yang sesat seperti pemikiran memuja manusia,
mentaqdiskan tokoh, percaya tentang ghaibnya manusia, pemikiran yang
menghina para sahabat, pemikiran bahawa al-Qur’an itu diselewengkan dan
tidak sempurna serta sebagainya. Inilah doktrin yang terhasil dari
ideologi ‘Abdullah B. Saba’ yang kini diwarisi oleh kaum Syi’ah Rafidhah
dan Khawarij sepanjang zaman.
Di antara orang yang bertindak tegas memerangi mereka ketika awal
kemunculannya adalah Khalifah ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. Beliau memerangi
Khawarij di Nahrawan. Sebahagian besar kaum Khawarij dihapuskan,
sebahagian bertaubat, manakala sebahagian lagi ada yang melarikan diri
meneruskan kelangsungan ideologi mereka.
Demikian juga dengan kaum Syi’ah. ‘Ali turut memerangi dan membakar mereka hidup-hidup kerana mereka beri’tiqad ‘Ali itu tuhan.
Demonstrasi Pasca Revolusi Iran
Pada era 1970an di Iran, gelombang demonstrasi dan revolusi bergema.
Dicetuskan oleh kelompok Syi’ah Rafidhah hasil tinggalan ideologi
‘Abdullah B. Saba’. Dipandu dan disemarakkan oleh Khomeini. Melalui
karya tulis dan hasil pemikirannya, masyarakat Iran bangkit menghidupkan
semula doktrin aqidah penuh kontroversi lagi kufur, Wilayatul Faqih.
Mereka berdemonstrasi dan memberontak dalam rangka menjatuhkan Shah
Iran pada tahun 1978 atas alasan penindasan dan kezaliman sebagai topeng
menghidupkan semula perjuangan aqidah Syi’ah imamiyyah. Demonstrasi
ketika itu mengakibatkan pelbagai kerosakan dan ratusan nyawa terkorban.
Shah Mohamad bersama-sama permaisurinya pula melarikan diri.
Aksi-aksi demonstrasi yang mereka lancarkan ini saling tak tumpah
dengan aksi demonstrasi yang dicetuskan oleh ‘Abdullah B. Saba’ di zaman
‘Utsman. Bahkan demonstrasi mereka inilah sekarang menjadi inspirasi
sekian banyak demonstrasi-demonstrasi lainnya di Timur Tengah, bahkan di
dunia pada hari ini. Dalang di sebalik setiap demonstrasi mereka ini
memang tidak lepas dari keterlibatan agen-agen Yahudi, CIA, dan Amerika.
Mungkin para pembaca boleh mengkaji siapa yang menjaga dan
mengembalikan Khomeini ke Iran setelah beberapa waktu duduk di dalam
buangan.
Di Malaysia pada hari ini, tidak kurang ramai yang turut terkesan
dengan kejayaan revolusi Iran ala ‘Abdullah B. Saba’ ini terutamanya
para aktivis Parti Islam Se-Malaysia. Malah Mat Sabu yang kini menjawat
jatawan Naib Presiden PAS sendiri secara terbuka mengakui mendukung
idea-idea revolusi Khomeini di Iran, bahkan turut mendukung idea-idea
pemberontakan melalui wasilah kebangkitan suara rakyat. Beliau dalam
banyak siri ucapan, ceramah, dan karya tulisnya turut mengajak
masyarakat supaya mencontohi Iran dengan mengambil pedoman ideologi
Khomeini termasuk fahaman sesat kesyi’ahannya.
Jika kita teliti dengan saksama, di antara tujuan sebenar di sebalik
aksi demonstrasi Iran tadi adalah bagi menghidupkan semula aqidah
Wilayatul Faqih yang telah lama disenyapkan. Dalam kepercayaan Wilayatul
Faqih ini, golongan Syi’ah Rafidhah yang pada ketika itu dipandu oleh
Khomeini mengajak rakyat membangunkan kepimpinan ulama sebagai galang
ganti kehilangan Imam 12 mereka.
Dalam doktrin aqidah Syi’ah Rafidhah, masyarakat sepatutnya dipimpin
oleh para imam yang maksum, iaitu Imam yang 12. Dalam kepercayaan
mereka, imam yang terakhir iaitu imam ke-12 telah hilang (ghaib) sejak
tahun 329H. Namun mereka mendakwa nanti sang imam akan kembali sebagai
al-Mahdi.
Sementara menunggu kepulangan imam yang ghaib tersebut, kumpulan
ulama dan fuqaha mereka perlu tampil mengambil-alih kekhalifahan sebagai
wakil atau pengganti imam mereka yang ghaib.
Sebab itulah jika kita lihat apa yang diamalkan Iran hari ini setelah
kejayaan revolusi 1979 dan penguasaan Khomeini, sistem pemerintahan
Iran didirikan berasaskan kepimpinan ulama di bawah konsep fahaman
Wilayatul Faqih sebagai dewan tertinggi pemerintahan.
Termasuk dalam kedudukan Wilayatul Faqih adalah dewan elit para ulama
selaku penjawat kedudukan tertinggi, penasihat spiritual, dan penentu
dasar di Iran, lebih tinggi daripada Presiden dan Parlimen. Ketika ini,
pucuk pimpinan tertinggi dewan Wilayatul Faqih dipegang oleh Ali
Khameini. Manakala sistem demokrasi yang wujud di Iran hari ini sedikit
pun tidak memberi kesan pengaruh dalam pembentukan kerajaan.
Menurut mereka, sesiapa yang menolak konsep Wilayatul Faqih ini, maka
dia murtad, kafir, dan kekal di neraka. Para ulama dan imam Syi’ah di
sisi mereka adalah maksum termasuk Khomeini.
Konsep Wilayatul Faqih di sisi mereka sebenarnya adalah satu konsep
yang menyama-tarafkan imam-imam Syi’ah dengan para nabi, bahkan sehingga
lebih hebat dari para nabi, serta memiliki kuasa seperti tuhan! Ini
jelas satu konsep yang kufur akbar! Konsep ini bertepatan dengan doktrin
‘Abdullah B. Saba’ yang mengajar masyarakat di zaman ‘Utsman supaya
mendewakan, memaksumkan, dan mempertuhankan Saidina ‘Ali B. Abi Thalib.
Kesan dan Hasil Revolusi
Kebangkitan Syi’ah rafidhah berfahaman Imam 12 ini adalah khabar yang
bakal menyemarakkan semula malapetaka permusuhan di antara Ahlus Sunnah
dengan golongan sesat Syi’ah sejak zaman-berzaman. Perkara ini telah
pun dan sedang berlaku sekarang.
Antara buktinya, ketika perang dan penguasaan Amerika ke atas
Afghanistan, Syi’ah Iran inilah yang menyalurkan bantuan sekaligus
menjadi faktor utama kemenangan Amerika di sana. Ini diakui sendiri oleh
tokoh Syi’ah Muhamed ‘Ali Abtahi.
Kemudian ketika serangan Amerika ke atas Iraq menentang Saddam
Hussein, Syi’ah Iran jugalah yang membuka laluan dan bantuan kepada
Amerika. Hasilnya, tanah jajahan Iraq kini dikuasai oleh Syi’ah Iran
manakala hasil buminya seperti minyak dibolot Amerika. Umat Islam di
Iraq dan Afghanistan pula habis dibunuh dengan kejam hampir setiap hari.
Ada yang disembelih, ada yang dipanaskan dalam ketuhar, ada yang
dicampakkan ke dalam api, ada yang disiksa, ada yang dipenjara, ada yang
dirogol, dan seumpamanya. Al-Qur’an dan agama Islam pula dihina.
Demikianlah dahsyatnya fitnah kaum Syi’ah Rafidhah!
Hari ini kita mungkin melihat umat Islam (Ahlus Sunnah) bebas
beribadah di negara-negara lain termasuk negara kafir Amerika, tetapi
sama sekali tidak dan bukan di Iran, terutamanya Tehran! Bahkan
masjid-masjid ahlus sunnah habis dihancurkan.
Ini bukan suatu yang menghairankan sebenarnya, kerana di sisi aqidah
Syi’ah darah dan harta umat Islam (ahlus sunnah wal-jama’ah) adalah
halal. Bagi mereka, para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam adalah kafir dan sesat secara umum. Oleh kerana itu, dalam
karya-karya dan ucapan-ucapan mereka, para sahabat ridhwanullah ‘alaihim
ajma’in adalah orang yang sering mereka laknat dan caci. Perkara ini
turut didedahkan dalam satu seminar berkaitan Syi’ah di al-Madinah
International University (MEDIU) Shah Alam bertarikh 15 Mei 2011.
Demikianlah hasil sebuah demonstrasi sejak zaman awal Islam hingga
hari ini. Ia tidak sedikitpun memberikan hasil, faedah dan maslahah ke
atas umat Islam sama ada dari sudut agama mahupun tamadun. Bahkan ia
menjadi senjata ampuh menghuru-harakan umat Islam melalui serangan
tunjang-tunjang aqidah, pemikiran, dan emosi. Kerana dasar utama yang
menghidupkan sesebuah demonstrasi itu sendiri adalah api kemarahan.
Mengambil kesempatan di atas kejahilan masyarakat dengan memomokkan
kesilapan dan kelemahan-kelemahan pihak pemerintah. Termasuk di dalamnya
adalah penyebutan kelemahan pihak pemerintah yang sebahagian besarnya
sengaja diada-adakan dan sebahagian lagi belum dapat dipastikan
kesahihannya secara benar.
Emosi kemarahan yang tidak diatur dengan kefahaman aqidah yang benar,
manhaj agama yang lurus, dan akhlak Islam yang sahih, nescaya akan
menjadikan jiwa manusia mudah memberontak. Ditambah pula pada hari ini
muncul begitu banyak sekali kumpulan-kumpulan pencetus api kemarahan
rakyat di merata tempat. Mereka mengambil kesempatan memanipulasi
pelbagai kelemahan dan isu-isu berkaitan pemerintahan (politik) bagi
membangkitkan kemarahan di pihak rakyat.
Golongan masyarakat yang kosong jiwanya dan kurang kefahaman agamanya
akan mudah terpengaruh lalu panas emosinya. Apabila ini berlaku, api
kemarahan pun tercetus. Suasana seperti inilah akhirnya akan mendorong
masyarakat untuk bangkit berdemonstrasi di jalan-jalan, bahkan mungkin
sehingga ke tahap mencetuskan pergaduhan dan pemberontakan sekiranya
tidak dikawal di peringkat awal.
Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
“Orang yang kuat itu bukanlah yang dikenali dengan hebatnya
berkelahi, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menguasai (menahan)
dirinya ketika marah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6114. Muslim, no.
2609)
Islam bukanlah agama yang dikenali dengan api emosi dan kemarahan.
Sebaliknya Islam adalah agama yang penuh kebijaksanaan, kesabaran, dan
kelembutan. Manakala bila bertindak, ia akan bertindak dengan penuh
maslahah, berdisiplin, tegas, menjauhi pelbagai mudharat, dan
mengelakkan kerosakan.
Demonstrasi Jalanan Bukan Ajaran Islam
Demikianlah serba ringkas sejarah amalan demonstrasi memprotes para
pemimpin yang sebenarnya merupakan syi’ar orang-orang kafir yang
kemudiannya diikuti dan diamalkan oleh golongan pemberontak (khawarij)
di era awal sejarah umat Islam. Dari sini kita mengetahui bahawa
demonstrasi jalanan ini bukanlah termasuk amalan yang dianjurkan mahupun
yang diajarkan oleh Islam. Bahkan sebaliknya amat bertentangan pula
dengan apa yang telah disyari’atkan oleh Islam.
Amalan demonstrasi merupakan satu amalan yang baru yang diada-adakan
(bid’ah) dalam agama berkaitan hal mu’amalah terhadap pemerintah. Dari
itu, berhati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan supaya
tidak terjerumus ke dalam ideologi kuffar (Yahudi dan Nashara), kaum
jahiliyyah, syi’ah, dan ideologi kelompok khawarij (pemberontak). Kerana
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berpesan dengan sabdanya:
لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا
بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا
رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
“Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang
mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal,
sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang
biawak pun kamu akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai
Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan
Nashara?” Beliau menjawab, “Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?” (Hadis
Riwayat al-Bukhari, no. 7320)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk sebahagian
daripada mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4031. Dinilai hasan oleh
Ibnu Hajar dan sahih oleh al-Albani)
Di hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
mengingatkan dengan keras supaya melazimi ketaatan kepada pemerintah dan
tidak bertindak menzahirkan sikap kepembangkangan secara umum dengan
katanya:
مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَكَرِهَهُ فَلْيَصْبِرْ، فَإِنَّهُ
لَيْسَ أَحَدٌ يُفَارِقُ الجَمَاعَةَ شِبْرًا فَيَمُوتُ، إِلاَّ مَاتَ
مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“Sesiapa yang membenci sesuatu dari tindakan amirnya (pemerintah),
maka hendaklah dia bersabar, kerana seseorang yang keluar dari ketaatan
kepada pemerintah walaupun satu jengkal, sekiranya dia mati, maka
matinya adalah seperti matinya kaum jahiliyyah.” (Hadis Riwayat
al-Bukhari, no. 7143)
Ini adalah kerana orang-orang jahiliyyah itu tidak memiliki pimpinan
yang konsisten, tiada pegangan agama yang utuh dan menyatukan, hidup
mereka dikenali berpecah-belah serta saling jatuh-menjatuhkan di antara
satu dengan yang lain. Ini disebutkan oleh al-Khaththabi dalam al-Uzlah,
Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim, dan Ibnu Taimiyyah
rahimahullah (Wafat: 728H) dalam Majmu’ Fatawanya.
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menyebutkan:
فَإِنَّ أَهْلَ الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَكُونُوا يَجْعَلُونَ عَلَيْهِمْ أَئِمَّةً؛ بَلْ كُلُّ طَائِفَةٍ تُغَالِبُ الْأُخْرَى
“Bahawasanya orang-orang jahiliyyah tidak memiliki pemimpin (yang
disepakati) yang mentadbir urusan mereka, sebaliknya setiap kelompok
saling bermusuhan (menjatuhkan) di antara satu sama lain.” (Majmu’
al-Fatawa, 28/487 – Daar al-Wafaa’)
Pemerintah yang dimaksudkan hadis ini adalah merujuk kepada pemimpin
(yang muslim) bagi setiap wilayah atau negara yang didiami oleh umat
Islam secara umum dan tidak khusus untuk pemimpin bergelar khalifah di
zaman tertentu semata-mata sebagaimana dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani
rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam Subulus Salam (3/258 – Maktabah
Syamilah). Persoalan ini telah penulis bahaskan dalam tulisan yang lain
dengan judul “Memahami Negara dan Pemimpin Umat Islam” dan “Bagaimana
Ahlus Sunnah Menataati Pemerintah.”
Unsur-unsur Pemberontakan
Perbuatan demonstrasi memprotes pemimpin ini sendiri sebenarnya
termasuk juga ke dalam ciri-ciri pemberontakan sebagaimana dijelaskan
oleh salah seorang ulama Anggota Majlis Fatwa ‘Arab Saudi, Syaikh Dr.
Soleh as-Sadlan hafizahullah dengan katanya:
فالبعض من الإخوان قد يفعل هذا بحسن نية معتقدا أن الخروج إنما يكون
بالسلاح فقط، والحقيقة أن الخروج لا يقتصر على الخروج بقوة السلاح، أو
التمرد بالأساليب المعروفة فقط، بل إن الخروج بالكلمة أشد من الخروج
بالسلاح؛ لأن الخروج بالسلاح والعنف لا يُرَبِّيه إلا الكلمة فنقول للأخوة
الذين يأخذهم الحماس، ونظن منهم الصلاح إن شاء الله تعالى عليهم أن
يتريثوا، وأن نقول لهم رويدا فإن صلفكم وشدتكم تربي شيئا في القلوب، تربي
القلوب الطرية التي لا تعرف إلا الاندفاع، كما أنها تفتح أمام أصحاب
الأغراض أبوابا ليتكلموا وليقولوا ما في أنفسهم إن حقا وإن باطلا. ولا شك
أن الخروج بالكلمة واستغلال الأقلام بأي أسلوب كان أو استغلال الشريط أو
المحاضرات والندوات في تحميس الناس على غير وجه شرعي أعتقد أن هذا أساس
الخروج بالسلاح، وأحذر من ذلك أشد التحذير، وأقول لهؤلاء: عليكم بالنظر إلى
النتائج وإلى من سبقهم في هذا المجال، لينظروا إلى الفتن التي تعيشها بعض
المجتمعات الإسلامية ما سببها وما الخطوة التي أوصلتهم إلى ما هم فيه، فإذا
عرفنا ذلك ندرك أن الخروج بالكلمة واستغلال وسائل الإعلام والاتصال
للتنفير والتحميس والتشديد يُرَبِّي الفتنة في القلوب
“Sebahagian daripada saudara kita menyangka perkara tersebut
(pemberontakan) adalah suatu yang baik. Mereka menyangka bahawa yang
dimaksudkan dengan al-khuruj (sifat kepembangkangan dan pemberontakan)
itu adalah dengan senjata, padahal sebenarnya pemberontakan itu bukan
semata-mata dengan senjata dan tindakan kekerasan, tetapi termasuk juga
dengan lisan (kata-kata). Bahkan pemberontakan dengan lisan itu jauh
lebih bahaya. Kerana pemberontakan dengan lisan itu adalah laluan
(printis) kepada pemberontakan bersenjata. Kami katakan dengan penuh
kejujuran kepada saudara-saudara kami yang terbakar emosinya, kami
menganggap mereka berniat baik – insyaAllah. Namun, hendaklah mereka
tidak terburu-buru dan menahan diri. Kerana sikap ekstream mereka
tersebut hanya akan menumbuhkan sesuatu yang negatif dalam hati-hati
mereka. Hati mereka sebenarnya kosong (dari nilai ilmu) dan hanya
mengenal sentimen kemarahan (emosional). Tindakan mereka itu juga hanya
akan membuka lebih banyak lagi pintu-pintu kejahatan untuk bertindak
dengan cara yang batil.
Pemberontakan dengan kata-kata seperti melalui tulisan, ceramah,
seminar, dan media massa yang mengandungi ciri-ciri menaikkan semangat
membenci pemerintah adalah termasuk ke dalamnya. Aku memberi peringatan
kepada semua dengan peringatan yang tegas. Aku katakan, lihatlah apa
hasil yang diperolehi dari setiap tindakan tesebut, dan fikirlah
faktor-faktor penyebab timbulnya fitnah ke atas negara-negara Islam.
Apabila kita memahami perkara tersebut, maka akan kita ketahui bahawa
pemberontakan dengan kata-kata dan media massa untuk menaikkan emosi
masyarakat adalah punca kepada pelbagai jenis fitnah (huru-hara).”
(Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, Madarikun Nazhar fi
as-Siyasah, m/s. 306-307. Kitab ini disemak dan diperakui oleh Syaikh
al-Albani dan Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad al-Badr)
Bahkan sebelumnya Imam asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) lebih tegas lagi. Beliau memberi amaran dengan menyatakan:
ويؤدب من يثبط عنه” فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا
لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو
غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك
عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده من طاعة الإمام
“Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat)
untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang
diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul
kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan
(provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan
dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada
dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah
melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa
yang sama telah berusaha menebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan
pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri.
Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan
terhadap pemerintah.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah
Syamilah)
Di antara kesan-kesan buruk amalan demonstrasi dan protes ini adalah
mengganggu keamanan dan ketenteraman masyarakat, menjatuhkan kredibiliti
sesebuah pemerintahan yang mengakibatkan kestabilan politik terganggu,
pergaduhan, kerosakan harta benda, kerugian, kesesakan lalu-lintas,
melahirkan rasa takut orang awam, dan banyak lagi yang lainnya.
Sedangkan telah jelas dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, perkara-perkara
seperti ini semua adalah amat dibenci oleh agama.
Benarlah kata Imam Abu ‘Abdillah al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H):
والذي عليه الأكثر من العلماء أن الصبر على طاعة الإمام الجائر أولى من
الخروج عليه، لأن في منازعته والخروج عليه استبدال الأمن بالخوف، وإراقة
الدماء، وانطلاق أيدي السفهاء، وشن الغارات على المسلمين، والفساد في الأرض
“Apa yang dipegang oleh kebanyakan dari para ulama’ bahawasanya sabar
dalam mentaati pemerintah yang zalim lebih utama dari keluar
memberontak kepada mereka, kerana memisahkan diri dan keluar memberontak
itu akan menukarkan keamanan kepada ketakutan, dan tertumpahnya darah
yang disebabkan oleh tangan-tangan orang yang bodoh dan hanya akan
menyebarkan kefasadan (keburukan) dalam kalangan umat Islam dan di atas
muka bumi.” (Tafsir al-Qurthubi, 2/109)
Mengabaikan Hak-hak Jalan
Sebahagian besar dari kita mungkin pernah menyaksikan pelbagai aksi
demonstrasi jalanan sama ada di luar negara mahupun dalam negara kita
Malaysia. Siapa yang tidak ingat dengan peristiwa 1998 lalu. Kemudian
peristiwa 2007. Begitu juga dengan peristiwa 9 Julai 2011 baru-baru ini.
Demonstrasi jalanan telah menjadi faktor terganggunya lalu-lintas dan
sesaknya jalan-jalan milik awam. Pelbagai lapisan masyarakat yang
memiliki urusan di ibukota menjadi panik, gusar, runsing, dan marah
kerana pelbagai aktiviti yang telah direncanakan terganggu.
Kita semua maklum bahawa jalan-jalan yang disediakan adalah milik
awam. Ia memiliki fungsi khas bersama peruntukan undang-undang yang
telah ditetapkan demi kemaslahatan bersama.
Dalam Islam sendiri jalan-jalan ini memiliki hak-haknya yang perlu ditunaikan.
Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu pernah mengkhabarkan sebuah
hadis Nabi berkaitan hak-hak jalan. Kata beliau, Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ
فَقَالُوا مَا لَنَا بُدٌّ إِنَّمَا هِيَ مَجَالِسُنَا نَتَحَدَّثُ
فِيهَا قَالَ فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلاَّ الْمَجَالِسَ فَأَعْطُوا
الطَّرِيقَ حَقَّهَا قَالُوا وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ
قَالَ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الْأَذَى وَرَدُّ السَّلاَمِ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ
“Janganlah kamu duduk-duduk di atas jalan.”
Maka mereka (para sahabat) berkata, “Sesungguhnya kami perlu
duduk-duduk untuk berbincang-bincang.” Nabi menjawab, “Jika kamu tidak
dapat berganjak melainkan perlu duduk-duduk, maka berikanlah hak-hak
jalan tersebut.” Mereka bertanya, “Apa hak-hak jalan tersebut wahai
Rasulullah?”
Nabi menjawab, “Menundukkan pandangan, tidak mengganggu (atau
menyakiti) orang, menjawab salam, dan memerintahkan kepada yang ma’ruf
serta mencegah dari kemungkaran.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2465)
Kata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam menyebutkan “menundukkan pandangan” adalah bagi mengisyaratkan
keselamatan dari fitnah kerana melintasnya para wanita (yang bukan
mahram) ataupun selainnya. Menyebutkan “tidak mengganggu (atau
menyakiti) orang” untuk mengisyaratkan supaya memelihara diri dari
perbuatan menghina, mengata orang lain, atau yang serupa. Menyebutkan
perihal “menjawab salam” untuk mengisyaratkan kewajiban memuliakan atau
mengormati orang yang melalui jalan tersebut. Menyebutkan perintah amar
ma’ruf nahi mungkar bagi mengisyaratkan kewajiban mengamalkan apa yang
disyari’atkan dan meninggalkan apa yang tidak disyari’atkan.” (Fathul
Bari, 5/135)
Imam an-Nawawi rahimahullah pula menjelaskan, “Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam telah mengisyaratkan tentang alasan larangan beliau
(terhadap perbuatan duduk-duduk di jalanan) bahawa perkara tersebut
boleh mencampakkan ke dalam fitnah dan dosa di ketika ada para wanita
(yang bukan mahramnya) atau selainnya yang melintasi mereka, sehingga
membuatkannya memandang ke arah wanita tersebut (secara bebas), atau
membayangkannya, atau berprasangka buruk kepadanya, atau terhadap
sesiapa sahaja yang melintas.
Dan di antara bentuk mengganggu (atau menyakiti) manusia adalah
dengan menghina (atau mengejek) orang yang melintas, mengumpat, atau
selainnya, atau terkadang tidak menjawab salam mereka, tidak melakukan
amar ma’ruf nahi mungkar, serta alasan-alasan lainnya yang bila dia
berada di rumah dapat selamat dari perbuatan seperti itu. Turut termasuk
perbuatan menyakiti orang lain adalah bila menyempitkan jalan
orang-orang yang ingin melintas, atau menghalang para wanita, atau
selainnya yang ingin keluar menyelesaikan keperluan mereka disebabkan
ada orang-orang yang duduk di jalanan.” (Syarah Shahih Muslim, 14/120)
Melalui hadis di atas berserta penjelasannya oleh dua ulama tersebut
sepatutnya kita semua dapat mengambil iktibar. Jika duduk-duduk pun
ditegur oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka apatah lagi dengan
melakukan perbuatan demonstrasi jalanan yang bukan sekadar duduk-duduk
dan bincang-bincang! Sebaliknya bertindak membangkitkan emosi rakyat
untuk memprotes. Bersama-sama mereka adalah kaum wanita, anak-anak, para
gadis, orang-orang kafir, dan seumpamanya. Mereka berhimpun sambil
bercampur-baur sesama mereka atas dasar emosi dan semangat memprotes.
Dari sini saja telah dapat kita saksikan hak-hak jalan yang
diperingatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam gagal mereka
patuhi. Beberapa perkara boleh kita persoalkan.
Antaranya adakah mereka dapat menundukkan pandangan, sedangkan
bersama-sama mereka ada anak-anak gadis dan kaum wanita sama ada yang
yang muslim mahupun yang kafir, yang jahil mahupun yang fasiq. Sama ada
yang menutup aurat atau sebaliknya. Di manakah amar ma’ruf nahi mungkar
dalam kalangan mereka sendiri? Bagaimanakah mereka mencegah gejala
ikhtilath dari berlaku sesama mereka?
Sehingga kita juga akan bertanya, di manakah rasa malu anak-anak
gadis ini terutamanya yang muslimat terhadap orang-orang yang saling
memandang kepadanya tanpa sebarang keperluan syar’i? Malah gambar-gambar
mereka turut dirakam dan tersebar seantero dunia menjadi tatapan jutaan
manusia.
Dari sudut ini, urusan mereka sendiri tampak kabur. Walupun demikian,
mereka tetap terus sibuk memprotes urusan orang lain dari menyibukkan
kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Ibarat kuman diseberang laut
sibuk diteropong, tetapi gajah di depan mata buat-buat tak nampak.
Demonstrasi jalanan selain mengganggu lalu-lintas, ia juga melanggar
peruntukan perundangan jalan-raya yang telah ditetapkan oleh pihak
berkuasa atau pemerintah. Sedangkan hukum mentaati pemerintah dalam
urusan ini adalah wajib dan melanggarnya adalah haram.
Kata Imam al-Mubarakfuri rahimahullah, “Apabila seseorang pemimpin
memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah (harus), maka hukumnya
menjadi wajib.” (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)
Sebagaimana yang telah dapat kita saksikan apabila jalan-jalan
menjadi sesak dan terdapat pelbagai unsur provokasi, pihak polis pasti
akan dikerahkan bagi mengawal keadaan dan keselamatan. Sekaligus
berusaha menghalang dari berlaku sebarang kemungkinan tidak diingini.
Pihak pemerintah atau pihak berkuasa berhak menetapkan larangan-larangan
tertentu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak baik dari berlaku.
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menegaskan:
وَيَمْنَعُ مِنْ الِاجْتِمَاعِ فِي مَظَانِّ التُّهَمِ
“Dan dia (pihak berkuasa) berhak melarang mereka berhimpun di
tempat-tempat yang dianggap boleh menimbulkan tohmahan (atau tuduhan).”
(Majmu’ al-Fatawa, 28/106)
Lebih dari kesesakan dan gangguan lalu-lintas, demonstrasi jalanan
juga turut melahirkan rasa takut di kalangan orang awam. Ini dapat
dilihat apabila para aktivis demonstrasi yang berhimpun bersama-sama
pengikut mereka sehingga ratusan, ribuan, atau mungkin lebih dari itu.
Mereka berjalan dengan penuh agresif sambil terjerit-terjerit dan
terpekik-terlolong. Malah mulut mereka sering tidak lepas dari turut
menghamburkan kata-kata caci, herdik, maki, provokasi, celaan dan
kejian.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan:
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
“Seseorang muslim (yang sempurna keislamannya) adalah bila mana umat
Islam lainnya selamat dari lisan dan tangannya.” (Hadis Riwayat
al-Bukhari, no. 10. Muslim, no. 41)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah memberi amaran:
سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Mencaci orang muslim adalah perbuatan fasiq dan membunuhnya (tanpa haq) adalah perbuatan kufur.” (Muttafaq ‘alaih)
Dan juga melalui sabdanya:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah
ia berkata yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat
al-Bukhari, no. 6135. Muslim, no. 47)
Selain memenuhi hak-hak jalan, satu lagi perkara penting yang sering
diabaikan adalah sunnah menghilangkan gangguan yang ada di jalanan.
Menghilangkan gangguan di jalan-jalan termasuk salah satu tanda iman.
Sesiapa yang sengaja menghalang-halang jalan tanpa hak yang benar
termasuk dengan mengadakan demonstrasi jalanan yang tidak syar’i, ia
sebenarnya telah menzahirkan sikap bertentangan dengan sebahagian
ciri-ciri iman.
Sehingga perbuatan mereka tersebut menyebabkan pihak polis terpaksa
dikerahkan berkawal di setiap jalan-jalan berkaitan. Rasa takut,
bimbang, marah, dan risau menguasai para penguna jalan-raya apabila
jalan-jalan ditutup dan banyak sekatan dibuat.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً
فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ
الأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الإِيمَانِ
“Iman itu tujuh puluh cabang lebih atau enam puluh cabang lebih. Yang
paling utama adalah ucapan “Laa ilaaha illallah” dan yang paling rendah
adalah menyingkirkan rintangan (gangguan) dari jalanan. Dan rasa malu
itu juga termasuk salah satu cabang iman.” (Hadis Riwayat Muslim, no.
35)
Tanyakan khabar iman kita. Sejauh mana rasa malu yang kita miliki ini
telah mampu menghalang dari bermaksiat kepada Allah? Adakah iman kita
saat ini mengarahkan kita menunaikan hak-hak jalan dan menyingkirkan
gangguan di jalanan? Jawab sejujurnya pada diri masing-masing. Kerana
apa yang pernah kita saksikan dalam demonstrasi-demonstrasi jalanan
lalu, ibukota negara terganggu dengan kesesakan, kacau-bilau, malah
hampir lumpuh operasi terutamanya pada 9 Julai 2011 dan siri demonstrasi
1998.
Syubhat Demonstrasi
Sebahagian pihak dari kalangan aktivis dan pembela aksi demonstrasi
ada yang beralasan dengan pelbagai syubhat yang mengelirukan untuk
menyokong tindakan mereka yang telah jelas bertentangan dengan agama.
Antaranya, mereka beralasan bahawa demonstrasi mereka dilaksanakan
secara aman. Sedangkan, Islam sedikitpun tidak pernah mengajarkan kepada
umatnya untuk mengadakan demonstrasi protes sama sekali sama ada yang
aman atau kekerasan.
Alasan kedua mereka adalah mengatasnamakan aksi demonstrasi dengan
nama jihad dan dakwah. Secara ringkasnya, ini juga sangat bertentangan
dengan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْجِهَادِ كَلِمَةَ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
“Sesungguhnya jihad yang besar adalah perkataan yang adil (benar)
yang disampaikan di sisi penguasa yang zalim (diktator).” (Hadis Riwayat
at-Tirmidzi, no. 2174. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Hadis ini menyatakan sekiranya kita mahu mendakwahi pemimpin, maka
hendaklah kita melakukannya dengan cara pergi ke sisi pemimpin tersebut
dan memberi penjelasan dengan terperinci. Bukan dengan cara
berdemonstrasi, mencerca, dan mencanang keburukan pemimpin di
mimbar-mimbar mahupun di pentas-pentas jalanan. Seharusnya kita faham
bahawa yang dinamakan dakwah itu adalah mengajak kepada kebaikan dengan
cara yang baik juga.
Selain itu, mereka turut berhujah menggunakan kisah Saidina ‘Umar dan
Hamzah berdemonstrasi bersama-sama Rasulullah ke atas kaum kafir
Quraisy bagi tujuan menzahirkan keberanian. Kisah ini sebenarnya adalah
kisah yang batil dan lemah sekali sehingga tidak boleh dijadikan sebagai
sandaran hujah (atau hukum) sebagaimana dijelaskan oleh para ulama
hadis generasi awal dan kontemporari.
Kisah yang dimaksudkan adalah sebagaimana berikut:
عن ابن عباس قال: سألت عمر: لاي شئ سميت (الفاروق)؟ قال: أسلم حمزة قبلي
بثلاثة أيام، ثم شرح الله صدري للاسلام فقلت: الله لا إله إلا هو له
الاسماء الحسنى، فما في الارض نسمة أحب إلي من نسمة رسول الله صلى الله
عليه وسلم، فقلت: أين رسول الله صلى الله عليه وسلم؟ قالت أختي: هو في دار
الارقم بن أبي الارقم عند الصفا، فأتيت الدار وحمزة في أصحابه جلوس في
الدار ورسول الله صلى الله عليه وسلم في البيت: فضربت الباب، فاستجمع القوم
، فقال لهم حمزة: ما لكم؟ قالوا: عمر بن الخطاب، فخرج رسول الله صلى الله
عليه وسلم فأخذ بمجامع ثيابي ثم نترني نترة فما تمالكت أن وقعت على ركبتي
فقال: ما أنت بمنته يا عمر! فقلت: أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له
وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، فكبر أهل الدار تكبيرة سمعها أهل المسجد
فقلت: يارسول الله! ألسنا على الحق إن متنا وإن حيينا؟ قال: بلى! والذي
نفسي بيده إنكم على الحق إن متم وإن حييتم! قلت: ففيم الاختفاء؟ والذي بعثك
بالحق لتخرجن فأخرجناه في صفين: حمزة في أحدهما وأنا في الآخر، له كديد
ككديد الطحين حتى دخلنا المسجد، فنظرت إلي قريش وإلى حمزة، فأصابتهم كآبة
لم صبهم مثلها، فسماني رسول الله صلى الله عليه وسلم يومئذ (الفاروق)، وفرق
الله بي بين الحق والباطل
“(Diriwayatkan) Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau bertanya kepada ‘Umar
berkenaan gelaran al-Faruq. ‘Umar berkata, “Setelah tiga hari Hamzah
memeluk Islam, kemudian Allah pun melapangkan hatiku untuk memeluk agama
Islam, lalu aku mengatakan, “Allah, tiada tuhan yang berhak disembah
(dengan benar) melainkan Dia, Dia memiliki al-Asma’ al-Husna (nama-nama
yang baik), tidak ada di bumi seseorang yang lebih aku cintai melebihi
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”
Aku bertanya, “Di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”
Saudara perempuanku menjawab, “Beliau berada di rumah al-Arqam B. Abi
al-Arqam di as-Shofa.”
Lalu aku mendatangi rumah tersebut, pada waktu itu Hamzah B. ‘Abdul
Muthalib duduk bersama para sahabat Nabi lainnya di lingkungan rumah,
manakala Nabi berada di dalam rumah, lalu aku ketuk pintu rumah. Ketika
para sahabat Nabi mengetahui kedatanganku mereka pun datang
bergerombolan, lalu Hamzah bertanya kepada para sahabat Nabi, “Apa yang
terjadi dengan kamu semua?” Mereka menjawab, “Ada Umar B. Khaththab.”
Kemudian ‘Umar meneruskan ceritanya, “Lalu Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam datang, dan memegang baju ‘Umar dan mendorongnya, maka
‘Umar pun terjatuh di atas kedua lututnya, lalu Nabi bersabda, “Wahai
Umar apa yang kamu inginkan?” Lalu aku menjawab, “Aku bersaksi bahawa
tiada tuhan yang berhak disembah (dengan benar) melainkan Allah sahaja,
tiada sekutu baginya, dan aku mengakui bahawa Muhammad adalah hamba dan
Rasul-Nya”.
Mendengar perkara ini, para sahabat Nabi yang berkumpul bertakbir
dengan takbir yang didengari orang-orang yang berada di Masjidil Haram.
Aku pun berkata kepada Nabi, “Bukankah kita berada di atas kebenaran
sama ada kita mati atau hidup?” Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
menjawab, “Benar, wahai Umar, demi Dzat yang jiwaku berada di
tangan-Nya, sesungguhnya kamu di atas kebenaran sama ada kamu mati atau
hidup”.
Aku menyahut, “Lalu kenapa kita bersembunyi, demi Allah yang telah
mengutusmu dengan kebenaran kita akan keluar (secara terang-terangan
menampakkan ke-Islaman).” Lalu kami pun keluar dalam dua barisan, Hamzah
pada salah satu barisan dan aku pada barisan lainnya. Sehingga kami
memasuki Masjidil Haram (Ka’bah). Maka orang-orang dari suku Quraisy
melihat kepadaku dan kepada Hamzah, lalu mereka pun bersedih hati dengan
situasi ini dengan kesedihan yang tidak pernah mereka alami sebelumnya.
Maka, pada hari tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
menggelarkannya dengan al-Faruq. Dengannya Allah membezakan di antara
yang haq dan batil.”
Rujukan riwayat kisah ini:
Abu Nu’aim al-Asbahani, di dalam al-Hilyatul Auliya’ (1/20), beliau membawakan sanad riwayat ini sebagai berikut:
حدثنا محمد بن أحمد بن الحسن، حدثنا محمد بن عثمان بن أبي شيبة، حدثنا
عبد الحميد بن صالح، حدثنا محمد بن أبان، عن إسحاق بن عبد الله بن أبان بن
صالح عن مجاهد، عن بن عباس
Kisah ini turut dibawa oleh ‘Ali Ibn Abdul Malik al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanzul ‘Umal. Dijelaskan bahawa:
وفيه أبان بن صالح ليس بالقوى وعنه إسحاق بن عبد الله الدمشقي متروك
Dalam rangkaian sanadnya terdapat Aban B. Soleh, dia tidak baik
hafalannya. Dan meriwayatkan daripadanya Ishaq B. ‘Abdullah ad-Dimasyqi,
dia matruk (ditinggalkan hadisnya). (Kanzul ‘Umal, 12/551, no. 35742.
As-Suyuthi, Jami’ al-Hadis, 27/322)
Semakan terhadap riwayat atau kisah ini:
Ishaq B. ‘Abdullah B. Abi Farwah meriwayatkan daripada Aban B. Soleh.
Dijelaskan oleh al-Mizzi dalam Tahzibul Kamal, 2/446, no. 367. Juga
disebutkan tentangnya oleh Ibnu Hibban dalam al-Majruhin, 1/131.
Berkenaan dengan Ishaq B. ‘Abdullah B. Abu Farwah (yang meriwayatkan
daripada Aban B. Soleh) ini, para ulama hadis telah menjelaskan bahawa:
1 – Imam al-Bukhari berkata, “Dia ditinggalkan (hadisnya).” Imam
Ahmad B. Hanbal melarang mengambil hadis daripadanya dan dia tidak
menulis (tidak mengambil) hadis darinya. Yahya B. Ma’in menjelaskan,
“Hadisnya tidak boleh diguna-pakai.” Ali B. Al-Hasan al-Hasnajani
berkata daripada Yahya, “Bahawa dia pendusta (Kazzab).” (al-Mizzi,
Tahzibul Kamal, 2/450-451, no. 367)
2 – Matruk (ditinggalkan hadisnya). (Rujuk: Imam an-Nasa’i, adh-Dhu’afa wa al-Matrukin, 1/154, no. 50)
3 – Beliau sering memutarbalikkan riwayat (sanad), dari mursal
menjadi kepada marfu’. Dan Imam Ahmad melarang mengambil hadis darinya.
(Ibnu Hibban, al-Majruhin, 1/131)
4 – Kazzab (pendusta), disebutkan oleh Yahya B. Ma’in sebagaimana
yang dibawakan oleh Ibnu Abi Hatim ar-Razi dalam al-Jarh wa at-Ta’dil,
2/228, no. 792.
5 – Berkenaan riwayat atau kisah di atas, ia disentuh oleh Syaikh
al-Muhaddis ‘Ali al-Hasyisy, dengan katanya bahawa riwayat ini adalah
palsu. (Website Multaqa Ahl Hadits, http://www.ahlalhdeeth.com/vb/archive/index.php/t-21684.html)
Kesimpulannya, kisah ini adalah tidak sahih, malah palsu (tidak dapat diterima pakai).
Sebaliknya apa yang jelas tampak kepada kita adalah Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya (ridhwanullahim ajma’in)
dahulu menghadapi karenah musuh yang jauh lebih dahsyat lagi. Bukan
sekadar pemerintah yang dianggap zalim dan menindas. Tetapi juga kaum
yang jauh lebih jahat dan keji, terutamanya dari kalangan Yahudi dan
Nashara. Sama ada ketika beliau dalam keadaan lemah mahupun kuat. Sama
ada ketika fasa Makkah mahupun Madinah. Demikianlah juga dengan sejarah
para Nabi yang lain. kita pun tahu seringkali kebebasan mereka untuk
bersuara dan menyebarkan agama disekat setiap waktu. Tapi sedikitpun
tidak pernah kita dengar dan ketahui yang mereka mengajarkan praktik
demonstrasi kepada umatnya.
Begitu juga ketika zaman khalifah yang empat. Juga setelah mereka di
ketika zaman pemerintahan Yazid, ‘Abdul Malik B. Marwan, dan al-Hajjaj.
Sedikitpun tidak kedengaran dari para ulama generasi sahabat dan tabi’in
yang mengajak dan mengumpulkan masyarakat agar keluar berdemonstrasi.
Begitu juga dengan ketika zaman kehebatan para ulama ahlus sunnah
wal-jama’ah seperti Hasan al-Bashri, Sufyan ats-Tsauri, Malik, Abu
Hanifah, asy-Syafi’i, Ahmad B. Hanbal dan selainnya. Tidak pernah mereka
mengajak umat Islam supaya keluar berdemonstrasi menunjuk perasaan
dalam menghadapi satu-satu isu kemasyarakatan atau pemerintahan. Maka,
amat jelas bahawa perbuatan demonstrasi ini bukanlah termasuk maslahah
dan bukan juga sebahagian dari amalan ahlus sunnah wal-jama’ah.
Berkaitan perkara ini, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah
ada memberikan suatu kaedah penting bagi menimbang di antara maslahah
dan mafsadah. Kata beliau:
فكل أمر يكون المقتضي لفعله على عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم موجودا لو كان مصلحة ولم يفعل يعلم أنه لبس بمصلحة
“Setiap pekara yang faktor perlaksanaannya ada pada zaman Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang secara zahirnya tampak membawa
maslahah tetapi tidak dilaksanakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam, maka jelaslah bahawa perkara tersebut bukanlah termasuk maslahah
(kebaikan).” (Ibnu Taimiyyah, Iqtidha’ ash-Shiraatal Mustaqiim, 1/279 –
Maktabah Syamilah)
Kemudiannya, mereka (para aktivis demonstrasi) juga berhujjah dengan
tindakan ummul mukminun ‘Aisyah, sahabat Talhah dan Zubair al-‘Awwam
radhiyallahu anhum dalam perang Jamal berhadapan dengan kepimpinan Ali
radhiyallahu ‘anhu, serta tindakan Mu’awiyah menyelisihi ‘Ali dalam
urusan tahkim. Sedangkan apa yang perlu kita fahami adalah prinsip ahlus
sunnah wal jama’ah dalam menghadapi pertikaian dalam kalangan sahabat
adalah tawaqquf dan tidak membenarkan perselisihan mereka serta tidak
berhujah untuk mengikuti kesalahan (atau kesilapan-kesilapan) mereka.
Apatah lagi kesalahan tersebut telah diingkari oleh majoriti sahabat
yang lain dan diri mereka sendiri kemudiannya. Ini adalah sebagaimana
yang dijelaskan oleh Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 784H):
مَسِيْرَهَا يَوْمَ الجَمَلِ، فَإِنَّهَا نَدِمَتْ نَدَامَةً
كُلِّيَّةً، وَتَابَتْ مِنْ ذَلِكَ، عَلَى أَنَّهَا مَا فَعَلَتْ ذَلِكَ
إِلاَّ مُتَأَوِّلَةً، قَاصِدَةً لِلْخَيْرِ، كَمَا اجْتَهَدَ طَلْحَةُ بنُ
عُبَيْدِ اللهِ، وَالزُّبَيْرُ بنُ العَوَّامِ، وَجَمَاعَةٌ مِنَ
الكِبَارِ – رَضِيَ اللهُ عَنِ الجَمِيْعِ
“Aisyah telah mengakui kesalahannya keluar (melakukan perjalanan)
sehingga tercetusnya perang Jamal dan beliau sangat menyesali
tindakannya tersebut. Beliau bertaubat dari perbuatannya yang telah lalu
yang asal mulanya berniat mencari kebaikan sebagaimana ijtihad Thalhah
B. ‘Abdullah dan az-Zubair al-‘Awwam serta para sahabat lainnya.”
(adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 2/193)
Malah jauh lebih awal dari itu, apa yang didakwa oleh para aktivis
demonstrasi pada hari ini telah pun dinafikan oleh Imam Ibnu Hazm
al-Andalusi rahimahullah (Wafat: 456H) dengan katanya:
وأما أم المؤمنين والزبير وطلحة رضي الله عنهم ومن كان معهم فما أبطلوا
قط إمامة علي ولا طعنوا فيها ولا ذكروا فيه جرحة تحطه عن الإمامة ولا
أحدثوا إمامة أخرى ولا جددوا بيعة لغيره هذا ما لا يقدر أن يدعيه أحد بوجه
من الوجوه بل يقطع كل ذي علم على أن كل لك لم يكن فإذ لا شك في كل هذا فقد
صح صحة ضرورية لا إشكال فيها أنهم لم يمضوا إلى البصرة لحرب علي ولا خلافا
عليه ولا نقضا لبيعته
فصح أنهم إنما نهضوا إلى البصرة لسد الفتق الحادث في الإسلام من قتل أمير المؤمنين عثمان رضي الله عنه
“Manakala pemergian Ummul Mukminin (‘Aisyah), az-Zubair, dan Thalhah
radhiyallahu ‘anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke
Bashrah), mereka sedikitpun tidak bertujuan untuk membatalkan
kekhalifahan ‘Ali, mereka sedikitpun tidak mencabar jawatan tersebut,
mereka tidak memperkatakan sebarang kecacatan yang merendahkan beliau
daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah
yang baru yang lain dan mereka tidak menukar (memperbaharui) bai’ah
kepada sesiapa yang lain. Ini adalah suatu yang tidak dapat dinafikan
oleh sesiapa pun dengan apa cara sekalipun. Kebenaran sebenar yang
dikehendaki yang tidak dipertikaikan padanya adalah mereka tidak pergi
ke Bashrah untuk memerangi ‘Ali atau menentangnya atau mencabut bai‘ah
(ketaatan) daripadanya…
Maka yang sebenarnya, mereka berangkat ke Basrah tidak lain adalah
untuk menyekat (membendung) dari terjadinya perpecahan dalam Islam
disebabkan peristiwa pembunuhan Amirul Mukminin ‘Utsman radhiyallahu
‘anhu.” (Ibnu Hazm, al-Fishal fil Milal wa an-Nihal, 4/238 – Daar
al-Jil)
Beliau (Ibnu Hazm) turut menjelaskan berkenaan isu perselisihan Mu’awiyah dengan ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma dengan katanya:
ولم ينكر معاوية قط فضل علي وإستحقاقه الخلافة لكن اجتهاده أداه إلى أن
رأى تقديم أخذ القود من قتلة عثمان رضي الله عنه على البيعة ورأى نفسه أحق
بطلب دم عثمان
“Dan Muawiyah sedikit pun tidak mengingkari keutamaan dan hak ‘Ali
untuk menjadi khalifah. Namun pada ijtihad beliau, perlu didahulukan
penangkapan ke atas para pencetus api fitnah dari kalangan para pembunuh
‘Utsman radhiyallahu ‘anhu berbanding urusan bai’ah. Dan beliau juga
berpendapat dirinya adalah yang paling berhak untuk menuntut darah
Utsman.” (Ibnu Hazm, al-Fishal fil Milal wa an-Nihal, 4/240-241 – Daar
al-Jil)
Satu perkara penting untuk diketahui berkenaan fitnah yang
mengakibatkan perselisihan di kalangan mereka (sahabat) ini adalah
kerana wujudnya pihak ketiga (iaitu kelompok yang sama yang terlibat
dalam pembunuhan ‘Utsman) yang bertindak sebagai pencetus api fitnah
yang melaga-lagakan keduanya. Pertembungan yang berlaku ini tercetus
tanpa sebarang niat buruk dan tanpa disengajakan, yang asalnya niat
mereka semua adalah perdamaian dalam mengahadapi fitnah perpecahan
(dalam kalangan masyarakat) ekoran peristiwa pembunuhan Saidina ‘Utsman
B. ‘Affan radhiyallahu ‘anhu. Bahkan bukan tujuan mereka sama sekali
untuk berselisih dan bertelingkah. Kedua-dua mereka sendiri sama sekali
tidak mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku ketika itu. Inilah
yang disebutkan oleh para ulama dan ahli sejarah yang adil dari kalangan
Ahlus Sunnah wal-Jama’ah.
Ini antaranya sebagaimana disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) melalui perincian catatannya:
وبات الناس بخير ليلة، وبات قتلة عثمان بشر ليلة، وباتوا يتشاورون
وأجمعوا على أن يثيروا الحرب من الغلس، فنهضوا من قبل طلوع الفجر وهم قريب
من ألفي رجل فانصرف كل فريق إلى قراباتهم فهجموا عليهم بالسيوف، فثارت كل
طائفة إلى قومهم ليمنعوهم، وقام الناس من منامهم إلى السلاح، فقالوا طرقتنا
أهل الكوفة ليلا، وبيتونا وغدروا بنا، وظنوا أن هذا عن ملا من أصحاب علي
فبلغ الامر عليا فقال: ما للناس ؟ فقالوا، بيتنا أهل البصرة، فثار كل فريق
إلى سلاحه ولبسوا اللامة وركبوا الخيول، ولا يشعر أحد منهم بما وقع الامر
عليه في نفس الامر
“Pada malam tersebut (sebaik sebelum tercetusnya fitnah perang Jamal)
kedua-dua belah pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya.
Tetapi para pembunuh Utsman (orang ketiga selaku pencetus api fitnah)
melalui malam tersebut dengan keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka
berbincang dan bersepakat untuk mencetuskan peperangan pada awal pagi
esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri
seribu orang. Setiap kelompok masing-masing bergabung bersama-sama
pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan ‘Aisyah) dengan pedang. Setiap
golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang
(pasukan ‘Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka
berkata, “Penduduk Kufah (pasukan ‘Ali) menyerbu kita pada malam hari,
mereka mengkhianati kita!”
Mereka (pasukan Aisyah) pun menyangka (beranggapan) bahawa
orang-orang yang menyerang mereka tersebut berasal dari pasukan ‘Ali.
Suasana hura-hara tersebut pun sampai ke pengetahuan ‘Ali, lalu beliau
bertanya, “Apa yang berlaku kepada orang-orang?” Mereka menjawab,
“Penduduk Basrah (pasukan ‘Aisyah) menyerang kita!”
Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan
kelengkapan perang, dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang
pun yang menyedari apa sebenarnya yang telah berlaku (ketika itu).”
(Ibnu Katsir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/267 – Maktabah Syamilah)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) turut menyebutkan perkara yang sama:
القتلة فحملوا على عسكر طلحة والزبير فظن طلحة والزبير أن عليا حمل
عليهم فحملوا دفعا عن أنفسهم فظن على أنهم حملوا عليه فحمل دفعا عن نفسه
فوقعت الفتنة بغير اختيارهم وعائشة رضي الله عنها راكبة لا قاتلت ولا أمرت
بالقتال هكذا ذكره غير واحد من أهل المعرفة بالأخبار
“Mereka (para pembunuh ‘Utsman) menyerang khemah Thalhah dan
az-Zubair. Lalu Thalhah dan az-Zubair menyangka bahawa ‘Ali telah
menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan
diri. Seterusnya ‘Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan
az-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan
diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan
mereka (kedua-dua belah pihak). Manakala ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha
hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak
memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang
daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahlul-Ma’rifat bi
al-Akhbar).” (Minhajus Sunnah an-Nabawiyyah fi Naqd Kalam asy-Syi‘ah wa
al-Qadariyyah, 4/317, Tahqiq: Muhammad Rasyad Salim, Mu’assasah
al-Qurthubah, 1406H)
Beliau juga menegaskan:
فإن عائشة لم تقاتل ويم تخرج لقتال وإنما خرجت لقصد الإصلاح بين
المسلمين وظنت أن في خروجها مصلحة للمسلمين ثم تبين لها فيما بعد أن ترك
الخروج كان أولى فكانت إذا ذكرت خروجها تبكي حتى تبل خمارها
“Sesungguhnya ‘Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk
berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam.
Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat
Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian
tersebut adalah yang paling benar. Maka setelah itu apabila sahaja
beliau teringat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga
membasahi kain tudungnya.” (Minhajus Sunnah an-Nabawiyyah fi Naqd Kalam
asy-Syi‘ah wa al-Qadariyyah, 4/316, Tahqiq: Muhammad Rasyad Salim,
Mu’assasah al-Qurthubah, 1406H)
Akhir sekali, ada juga dari kalangan aktivis demonstrasi ini yang
menyamakan tindakan mereka seperti perhimpunan umat Islam pada setiap
hari Jumaat dan perhimpunan haji di Baitullah dengan tujuan menzahirkan
rasa penghambaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Analogi mereka ini ternyata begitu bathil dan sangat menyimpang dari
kebenaran kerana mana mungkin sebuah perhimpunan ibadah yang
disyariatkan oleh Allah hendak disamakan dengan amalan demonstrasi
(protes) yang jelas bertentangan dengan garis-garis Islam? Ini tampak
begitu jelas sebagai suatu tindakan tidak bertanggungjawab memanipulasi
dalil-dalil dan ritual-ritual ibadah tertentu yang tiada kena mengena
untuk menghalalkan demonstrasi jalanan dengan apa cara sekalipun.
Sekiranya amalan solat fardhu atau mungkin solat-solat sunnah
tertentu itu sendiri dilakukan di jalan-jalan raya, nescaya orang ramai
pun akan marah dan meluat. Kerana jalan-jalan raya di negara kita ini
memiliki undang-undang dan peraturannya yang tersendiri demi kepentingan
bersama. Bukan boleh sesuka hati dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu
yang tidak bertanggungjawab dan tidak memahami aspek kemaslahatan awam.
Maka dari itu, hendaklah kita kembali kepada Islam yang jelas
sumber-sumber dalilnya dari al-Qur’an dan as-Sunnah yang difahami
melalui perkataan para ulama ahlus sunnah wal-jamaah. Jauhilah sikap dan
tindakan yang dibina dengan teras emosi dan hawa nafsu. Inilah di
antara kaedah-kaedah penting yang perlu sama-sama kita ambil dalam
menyelesaikan pelbagai kemelut fitnah yang melanda umat Islam
akhir-akhir ini. Bukan sahaja dalam persoalan demonstrasi, tetapi juga
dalam pelbagai isu lainnya. Wallahu a’lam.
DEMONSTRASI....Majoritinya melayu, Islam....Kenapa? Satu sebab yang paling nyata adalah kerana hilangnya aktiviti murni Islamiah sendiri dikalangan umat yang mengaku Islam dalam tanahair kita dewasa ini. Kosongnya idealogi perjuangan Islam sejati ekoran daripada lemahnya penguasaan kefahaman ilmu Islam itu sendiri menjadikan umat yang mengaku Islam pantas termasuk dalam kumpulan yang dianggap memperjuangkan JIHAD sejati tetapi sebenarnya tersepit dalam perjuangan KEJI yang diasaskan oleh individu yang pandai memanipulasi kehendak jihad yang sebenar bagi memenuhi kehendak hati sendiri sahaja. Kepada setiap yang berani memanipulasikan idealogi bagi mencari untung dunia yang sementara ini, maka awaslah anda dengan pesanan Allah melalui kalamnya yang bermaksud " Jangahlah kamu menjadikan peringatan dan pengajaran pada jalan Allah untuk mendapatkan keuntungan dunia yang sedikit". Awaslah kamu yang bergelar pemimpin tetapi dalam masa yang sama kamu adalah pemanipulasi wahyu Tuhan yang paling berjaya mempengaruhi orang-orang yang jahil dalam kalangan kamu.
ReplyDelete