Oleh :Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Apabila
telah dipastikan tibanya Ramadhan maka menjadi kewajipan bagi seorang
muslim berniat di waktu malam untuk berpuasa keesokan harinya. Waktu
akhir untuk berniat adalah sebelum fajar. Nabi SAW bersabda,
مَنْلَمْيُبَيِّتِالصِّيَامَمِنَاللَّيْلِفَلاَصِيَامَلَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak menanamkan niat untuk berpuasa dari malam harinya, maka tiadalah puasa baginya.” (riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa-i dan Ibnu Majah)
Tanam niat tidak memerlukan cangkul atau benih.
Kadang-kadang kita melihat ada sesetengah orang sangat susah untuk
menanam niatnya sehinggakan di antara cara untuk dia menanam niatnya
adalah dengan bertafakur. Selepas selesai solat tarawih dia bertafakur
seketika dikepalai oleh imam dan membaca bersama-sama “nawaitu shauma ghadin…..”
Mereka menjadikan bacaan ini sebagai cangkul untuk
menanam niat dalam hati mereka. Lihatlah bagaimana petunjuk Nabi SAW.
Baginda menyebut tabyit (tanam niat) sahaja. Tanam niat tidak
perlu untuk kita mengambil waktu tertentu atau bertafakur seketika.
Bahkan tidak dinukilkan daripada perkataan Nabi SAW yang menunjukkan
baginda duduk diam sejenak untuk membaca niat.
Tidak pernah ditemui hadis-hadis dan perkataan Nabi
SAW yang seperti itu. Jadi apabila tiada perkataan-perkataan atau
riwayat seperti ini maka kita perlu berusaha untuk kembali kepada asal,
kembali kepada Al Quran dan hadis-hadis Nabi SAW dan meniru bagaimana
baginda mengajar kita berniat.
Mudah, niat merupakan satu lintasan di dalam hati.
Kalau seseorang itu sudah bangun untuk makan sahur, memasak dan
menyediakan makanan untuk sahur, kemudian selesai makan dia terdengar
laungan azan dan mengatakan dia terlupa untuk berniat. Logikkah begini?
Perkara seperti ini tidak masuk akal, apa tujuan seseorang itu bangun
sahur jika bukan untuk berpuasa keesokan harinya? Perbuatan bangun sahur
itu sendiri sudah menunjukkan bahawa seseorang itu telah berniat. Telah
wujud dalam hatinya keinginan untuk berpuasa keesokan harinya dan
disebabkan niat itulah dia bangun untuk bersahur.
Contoh lain, seseorang yang tidak bersolat tarawih
menonton televisyen pada waktu malam drama Nur Ramadhan, kemudian beliau
teringat beliau di bulan ramadhan dan dalam hatinya terlintas “esok nak
puasa”. Kemudian dia tidur sehingga orang azan subuh. Apabila sedar
orang telah azan dia menyangka dia tidak sempat berniat.
Sebenarnya ketika dia menonton TV pada malam harinya
dan telah terlintas dalam hatinya untuk berpuasa esok hari, dia telah
pun menanam niat di dalam hati. Lintasan dalam hati tidak perlu dibina
padanya struktur ayat-ayat tertentu dan tidak perlu juga dilafazkan.
Jadi tidak perlu bimbang dengan apa-apa lafaz, sama ada lafaz niat itu
betul atau tidak, tatabahasa ayat itu betul atau tidak dan sebagainya.
Memadai dengan sekadar satu lintasan atau keinginan dalam hati.
Apabila kita menerima jemputan dan kita bersetuju
untuk hadir bererti kita sebenarnya telah berniat untuk hadir. Seperti
yang Nabi sebutkan, jika seseorang itu sudah ada kehendak yang tinggi,
itu dikira sudah berniat. Sebab itu orang-orang yang sudah berkehendak
melakukan sesuatu tetapi tidak mampu untuk melakukan amal kebaikan
tersebut kerana halangan-halangan tertentu dan bukan kerana
disengajakan, maka dia akan mendapat pahala sama seperti jika dia
melakukannya, dengan syarat dia telah berusaha. Ini yang dimaksudkan
dengan menanam niat.
Berkaitan dengan menanam niat pada bulan puasa,
terdapat beberapa isu yang dibahaskan. Pertama adalah apa yang
disebutkan tadi tentang lafaz niat. Kesimpulan daripadanya adalah,
daripada Nabi SAW tidak ada perbuatan yang disebut sebagai lafaz niat.
Niat berpuasa sebulan
Kedua, dibahaskan juga tentang niat berpuasa sebulan
pada malam pertama Ramadhan. Sesungguhnya amalan niat untuk berpuasa
sebulan tidak pernah dinukil daripada Nabi SAW. Ada orang mengatakan apa
salahnya jika ingin berniat sebulan. Sedangkan kita perlu kembali
kepada hadis Nabi SAW,
مَنْلَمْيُبَيِّتِالصِّيَامَمِنَاللَّيْلِفَلاَصِيَامَلَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak menanamkan niatnya untuk berpuasa dari malam harinya, maka tiadalah puasa baginya.”
Nabi SAW telah menetapkan niat perlu dilakukan pada
malam hari sebelum berpuasa pada siang keesokan harinya. Tidak ada apa
yang susah untuk berniat pada setiap malam. Bagi pelajar, setiap malam
mereka melihat jadual kerana berniat untuk ke sekolah keesokan harinya.
Bagi yang bekerja setiap malam mereka berniat untuk ke tempat kerja
keesokan harinya. Tidak perlu mereka menyusun ayat dan melafazkan niat
tersebut.
Kalau urusan jadual dunia mampu dirancang setiap
hari, ini ibadah yang perlu kita utamakan dan lebih perlu untuk kita
mencontohi Nabi SAW. Nabi menyebut niat perlu ditanam pada malam hari
maka ia perlu dibuat pada malam harinya. Itu adalah keutamaan yang perlu
kita berikan. Dari sudut kekuatan penghujahan, dalil dan sandaran
kepada Nabi SAW maka hadis tentang berniat pada malam hari adalah yang
lebih tepat.
Niat puasa sunat
Perlu kita ketahui bahawasanya berniat pada bulan
Ramadhan Al Mubarak untuk berpuasa wajib adalah tidak sama dengan syarat
berniat untuk puasa sunat. Adapun puasa sunat boleh dilakukan seperti
Nabi SAW, yang mana apabila bangun pagi dan mendapati tiada makanan, dan
apabila sampai sebelum tengahari didapati tiada juga makanan maka boleh
berniat untuk berpuasa pada hari itu. Hal ini dilakukan oleh Nabi SAW
sendiri.
Tetapi bagi puasa wajib yakni puasa Ramadhan
khususnya tidak boleh dilakukan seperti itu kerana pada bulan Ramadhan
kita memang diwajibkan berpuasa tidak kira sama ada terdapat makanan
pada hari itu ataupun tidak.
No comments:
Post a Comment