Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Soalan 1
Assalamualaikum UZAR, Saya nak
kepastian dari UZAR mengenai masalah berikut:
Bagaimana pula pelaburan emas Kijang
emas yang telah diperkenalkan oleh Maybank? Bagaimana cara selamat mengikut
undang-undang Syariah untuk membeli dan melabur gold tersebut? Sila masuk ke
maybank2u.com Terima kasih.
Akaun Pelaburan Emas di Maybank atau
Public Bank - Pelaburan di Maybank jika mahu boleh dapatkan emasnya tapi di
Public Bank tak pasti emasnya boleh dikeluarkan (Tiada yang sumber memastikan
yang emas di PB boleh dikeluarkan). Jika mereka dagangkan hanya berdasarkan
harga sahaja adakah ianya SAH disegi Islam?
Soalan 2
Saya
telah membuat panggilan telefon (Public Bank customer service 1800883323) untuk
mengetahui cara-cara urusniaga pelaburan akuan emas ini.
Dari maklumbalas yang diberikan ialah:
Jualbeli emas hanyalah berdasarkan harga semasa dan tidak mewakili emas fizikal.
Keuntungan pelaburan adalah dari perbezaan harga beli dan jual.
Setakat ini nilai pelaburan tidak mewakili emas fizikal dan tiada emas yang boleh dikeluarkan. Mereka ada rancangan perlaksanaan pembelian emas secara fizikal tetapi mungkin tahun depan.
Bagaimana pula Maybank yang Emasnya boleh diperolehi jika ada permintaan.
Minta komen ustaz kerana ramai pengguna-pengguna Islam terkeliru diatas pelaburan ini yang dianjurkan oleh institusi yang disahkan oleh kerajaan.
Dari maklumbalas yang diberikan ialah:
Jualbeli emas hanyalah berdasarkan harga semasa dan tidak mewakili emas fizikal.
Keuntungan pelaburan adalah dari perbezaan harga beli dan jual.
Setakat ini nilai pelaburan tidak mewakili emas fizikal dan tiada emas yang boleh dikeluarkan. Mereka ada rancangan perlaksanaan pembelian emas secara fizikal tetapi mungkin tahun depan.
Bagaimana pula Maybank yang Emasnya boleh diperolehi jika ada permintaan.
Minta komen ustaz kerana ramai pengguna-pengguna Islam terkeliru diatas pelaburan ini yang dianjurkan oleh institusi yang disahkan oleh kerajaan.
JAWAPAN
Tidak dinafikan, tatkala nilai matawang
USD dan lain-lain semakin tidak menentu ketika ini, membeli emas dengan tujuan
pelaburan adalah tindakan positif menurut banyak pendapat. Ini mungkin
disebabkan emas yang mempunyai nilai lebih stabil berbanding matawang kertas (
paper or fiat money), ditambah pula dengan permintaan emas
yang sentiasa ada.
Bagi mengulas isu yang ditanyakan,
setelah merujuk dan melakukan pembacaan maklumat dari web bank yang terbabit,
saya berpendapat seperti berikut :-
Apabila seseorang pelanggan ingin
membuka akaun pelaburan emas, ia beerti ia bersetuju untuk membeli emas, simpan
dan mungkin menjualnya apabila harga emas meningkat.
Oleh kerana itu, hukum bagi sebarang
jenis akaun pelaburan jenis emas ini bergantung kepada beberapa keadaan, bagi
memberikan sedikit kefahaman kepada pembaca berkenaan keadaan-keadaan berbeza
ini, ia adalah seperti berikut :-
• HARAM
DAN BATAL :
Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan dibeli daripada
pihak ketiga dalam majlis transaksi yang berasingan. Urusniaga pembukaan akaun
itu telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas
yang tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabila
tiadanya elemen ‘Taqabud fil Majlis' (serah terima dalam
satu masa), sebarang penangguhan membawa kepada Riba
an-Nasiah.
Kesimpulan ; pastikan emas yang ingin
dijual mestilah berada dalam pemilikan pihak bank tersebut.
• HARAM
DAN BATAL
: Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima sertamerta ketika membuka akaun
pelaburan emas itu.
Sebagai contohnya, pelanggan
hanya yang membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100 gram dan memulakan
akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian telah
termeterai dengan rasminya atau ‘concluded'. SERTA tiada
sebarang jenis bukti bertulis yang menunjukkan pelanggan kini menerima ‘hak
tasarruf'
(hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang telah dibelinya sama ada untuk
menjualnya padabila-bila masa yang dikehendakinya).
• HALAL
DAN SAH :
Setelah anda membaca dua bentuk yang
jatuh haram, sudah tentu anda mampu memeastikan bagaimana bentuk akaun
pelaburan emas yang halal dan sah. Iaitu :-
a. Bank memiliki emas
yang dijual semasa menjual.
b. Bank memberikan
bukti dan hak tasarruf kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas atau
bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas (yang telah dibeli), yang mana sijil itu
melayakkan pelanggan itu menuntut emasnya secara fizikal pada bila-bila masa
yang dikehendakinya. Ini bermakna sijil itu ibarat sebuah kad debit dan cek
yang mewakili duit fizikal yang wujud. Penyerahan menggunakan sijil ha milik
emas sebagai tanda pembeli dan pembukaan akaun sudah sempurna adalah SAH DAN
HARUS di sisi Islam. Ia dianggap sebagai penyerahan tidak fizikal (al-Qabdhu
Al-Ma'nawi)
Demikian fatwa oleh Majlis Fiqh Antarabangsa dalam keputusan mereka nombor 84,
9/1 (Qararat Wa Tawsiat, hlm 191)
DALAM KES AKAUN
PELABURAN EMAS DI BANK ?
Setelah melihat serba ringkas info
akaun pelaburan emas di kedua-dua bank terbabit melalui web mereka. Saya kira
Maybank menawarkan akaun pelaburan emas yang HALAL dengan TIGA lagi syarat
tambahan lagi, iaitu :
1-
JANGAN DIGUNAKAN UNTUK AKTIVTI RIBA : mestilah emas sebenar (fizikal) yang
berada simpanannya bagi pihak pelanggan tadi TIDAK digunakan untuk kegunaan
aktiviti ribawi mereka. Justeru, satu jaminan atau pengesahan dari pihak bank
mestilah diperolehi sama ada secara lisan atau bertulis atau disahkan oleh
Majlis Syariah bank berkenaan.
Apabila kita menyimpan emas fizikal
yang telah kita beli di bank tersebut, aqad simpanan itu juga sepatutnya mesti
dikenal pasti dengan jelas. Apakah jenis aqadnya? Adakah ia Wadiah? atau Qard
dan sebagainya.
2-
JUMLAH EMAS MENCUKUPI KETIKA TRANSAKSI : Mestilah dipastikan wujud jumlah emas
mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa.
Maksud saya, sebagai contoh : Bank
mempunyai 100 kilo emas sahaja, dalam masa yang sama (satu waktu), 100 kilo
emas itu digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan.
Pelanggan Ahmad membeli 100 kilo emas
pada jam 2.30 petang, demikian juga sdr Ah Chong tepat jam 2.30 petang juga
membeli dan membuka akaun yang sama di kaunter berlainan, padahal bank hanya
mempunyai 100 kilo emas sahaja. Tatkala itu, transaksi orang kedua tidak sah.
Hanya yang pertama sahaja yang sah.
3-
CARA PEMBAYARAN YANG HALAL : Pembayaran yang dibuat oleh pihak
pelanggan pula WAJIBLAH menggunakan sama ada tunai, debit akaun sertamerta, kad
debit dan kad kredit Islam bank tempatan, cek tempatan.
Sebarang pembayaran menggunakan cek
antarabangsa dan kad kredit Islam yang mengambil masa lebih 3 hari untuk settlement adalah TERLARANG
menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa.
Mengapa 3 hari? ia adalah tempoh
maksimum menurut ‘uruf bagi memastikan syarat ‘Taqabud
fil hal'
tercapai, ia adalah fatwa yang dipetik dari pandangan Mazhab Maliki dan juga
fatwa kebanyakan ulama fiqh sedunia, termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.
4-
PEMEGANG AKAUN PELABURAN EMAS MESTILAH MEMBAYAR ZAKAT : Apabila cukup hawl atau
tempoh setahun bulan Islam dan apabila nisab simpanannya mencapai
atau melebihi nisab wajib keluar zakat emas iaitu 85 gram. Untuk kira-kira buka di sini
Namun akaun pelaburan Public Bank saya
kurang pasti kerana tidak dinyatakan sama ada sijil atau bukti pembelian itu
boleh ditukarkan kepada emas fizikal pada bila-bila masa yang dikehendaki.
Malah penyoal menyatakan beliau telah menelefon pihak bank dan terbukti sijil
atau bukti pembelian itu tersebut TIDAK BOLEH ditukar kepada emas fizikal.
Tatkala itu, bagi saya transaksi ini bermasalah dari sudut hukum Islam.
Jika sijil tersebut tidak boleh ditukar
kepada emas fizikal, tatkala itu ia memberikan kesan kepada proses ‘Taqabud
al-hukmi'
yang disyaratkan dalam jual beli item ribawi dan merosakkan aqad ini, dalam kes
ini antara emas dan wang Ringgit Malaysia.
KESIMPULAN
Bagi sesiapa yang ingin membuka akaun
ini, saya nasihatkan menyemak terlebih dahulu perkara yang telah saya sebutkan
di atas. Ditambah pula, akaun pelaburan emas dan kijang emas ini tidak
diletakkan di bawah skim pelaburan Islam maybank dan public bank. Ia sekali
lagi menimbulkan tandatanya. Saya tidak ada kemudahan untuk menyemak hal itu
ketika ini kerana kesukaran komunikasi dengan pihak bank terbabit, terutamanya
berada di perantauan.
Jika anda sudah punyai jawapan kepada
syarat dan persoalan yang saya utarakan di atas. Baik jika dapat anda
memaklumkan kepada saya dengan tepat dan jitu. Saya juga berminat untuk membuka
akaun ini jika semua persoalan di atas telah LULUS.Sekian.
No comments:
Post a Comment