Tuesday, August 28, 2012

BERSATU ATAS DASAR AKIDAH DAN IMAN

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Di mana sahaja pada hari ini orang bercakap tentang perpaduan dan penyatuan. Akan tetapi kadangkala perpaduan dan penyatuan yang diharapkan tidak jelas asasnya. Ada yang bercakap tentang perpaduan bangsanya sahaja. Ada pula bercakap tentang perpaduan masyarakat komuniti setempatnya, ada yang bercakap tentang perpaduan ahli-ahli di dalam parti, ada yang bercakap tentang perpaduan di tempat kerjanya.
Asas perpaduan bagi umat Islam seperti yang Allah Ta’ala sebutkan di dalam Al-Quran, maksudnya: “Hendaklah kamu berpegang teguh pada tali ALLAH SWT dan jangan kamu berpecah belah.” (surah Ali Imran, 3: 103)
Salman Al-Farisi datang daripada Parsi dan kemudian bertemu dengan Nabi SAW, datang bangsa-bangsa Arab dari luar seperti Abu Dzar al-Ghifari dan sebagainya menemui Nabi SAW sesuai dengan firman ALLAH yang disebutkan di dalam Al-Quran, maksudnya:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu.” (surah Al-Hujurat, 49: 13)
Itulah asas Islam, Islam tidak pernah meletakkan bangsa sebagai asas perpaduan tetapi Islam meletakkan pegangan agama sebagai asas. Kerana ALLAH SWT menyebutkan bahawasanya orang yang paling mulia di sisi-Nya adalah orang yang paling bertakwa.
Jadi janganlah kita keliru, sesungguhnya asas perpaduan umat Islam adalah atas akidahnya. Kita semua perlu faham dan ketahui perpaduan manusia perlu dibina atas asas akidah. Allah SWT menjanjikan di dalam Al-Quran, maksudnya:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di atas muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa.” (surah An-Nur, 24: 55)
Itu adalah janji ALLAH SWT kepada orang yang beriman dan beramal soleh. Jadi segala bentuk perpaduan, asas perpaduan itu harus terbina atas iman yakni akidah. Kalau kita bina perpaduan atas asas selain akidah, kita akan terperangkap samada dalam kepentingan kekuasaan atau harta benda.

Dua penghalang besar perpaduan
Terdapat beberapa perkara yang menjadi penghalang kepada asas perpaduan dan penyatuan yang kita cuba bina. Imam Ibnul Qayyim ketika menyebut tentang fitnah (ujian) yang berlaku kepada manusia berkata ia boleh dibahagikan kepada dua; pertama fitnah syubhat (keliruan), kedua fitnah syahwat (dorongan hawa nafsu).
Kata Nabi di dalam hadis, maksudnya: “Sesiapa yang memberikan jaminan kepadaku untuk menjaga apa yang berada di antara dua tulang pahanya (kemaluannya) dan menjaga sesuatu yang berada di antara dua tulang rahangnya (lidahnya), aku memberi jaminan kepadanya syurga ALLAH SWT.” (riwayat Imam al-Bukhari)
Manusia dengan kehormatan dan lisannya yakni perkataan, apa yang dia makan, ini semua merupakan syahwat. Bagaimana fitnah wanita pada hari ini apabila Nabi SAW gambarkan fitnah paling besar yang Nabi tinggalkan setelah kewafatan baginda adalah fitnah wanita. Berapa ramai pemimpin-pemimpin dunia jatuh kerana wanita, pornografi, skandal, dan sebagainya.

Fitnah harta dan wang ringgit
Rasuah, korupsi, dan hal-hal seumpamanya seringkali orang merujuknya kepada pemerintah dan pemimpin negara. Hakikatnya rasuah ini berlaku dalam semua peringkat dan semua parti politik, dan memang pasti tidak ada mana-mana parti politik yang meletakkan rasuah sebagai dasar parti mereka.
Kemungkaran yang berlaku adalah pada ahli-ahli yang tidak bertanggungjawab yang berada di dalam parti ini, merekalah yang merosakkan gerakan dan menyeleweng daripada tujuan asas perjuangan mereka. Kita perlu adil dalam menghukum, jangan kerana seorang habis semua dipukul rata. Itu bukan caranya kita berbicara kerana agama dan kerana ALLAH dan Rasul.
Nabi SAW memberi perumpamaan orang yang gila kepada dunia, pangkat dan kuasa, harta benda dan wang ringgit seperti serigala yang sedang lapar menuju dan menerkam kambing. Begitu jugalah manusia dalam mengejar dunia mereka. Di dalam hadis lain Nabi menyatakan bahawa dicampakkan ke dalam hati mereka penyakit al-wahn seperti yang dijelaskan dalam hadis riwayat Imam Abu Dawud.

Fitnah kuasa
Nabi pernah menegur seorang sahabatnya, Abu Dzar Al-Ghifari di mana beliau pernah datang menemui Nabi dan meminta agar dirinya dilantik menjadi Gabenor. Kata Nabi, Maksudnya: “Janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin, sesungguhnya kamu lemah.”
Apa maksud lemah sedangkan Abu Dzar adalah sahabat Nabi, orang yang memiliki ilmu (‘alim), berjuang bersama-sama Nabi, tetapi Nabi mengatakan dia lemah. Ulama membahaskan apa maksud Nabi mengatakan sahabatnya lemah. Ulama berpendapat berkemungkinan beliau mempunyai kekurangan dari sudut pengurusan. Ini cara Nabi SAW mendidik kita dalam berpolitik. Bukan sekadar berilmu, pandai bercakap, pandai mengulas. Kata Nabi di dalam hadis, maksudnya:
“Allah tidak mengangkat ilmu itu dengan sekali cabut, tetapi Allah mengangkat ilmu itu dengan mematikan para ulama, (lalu) manusia akan mengambil orang yang jahil sebagai pemimpin, lalu mereka ini ditanya dan mereka memberi fatwa tanpa ilmu, maka mereka menjadi sesat dan menyesatkan manusia. ” (riwayat Bukhari dan Muslim)
 Siaran akhbar, Ahad 26 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...