Monday, December 12, 2011

Islam adalah agama yang dibina di atas hujah dan dalil!

Islam adalah agama yang dibina di atas hujah dan dalil. Sumber ajaran agung Islam adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Tiada Islam tanpa hujah dan dalil. Segala cakap kosong tanpa alasan tidak layak untuk dikaitkan dengan agama yang suci ini.

Islam adalah agama Allah yang Maha Mencipta lagi Maha Mengetahui. Justeru, mustahil terdapat dalam ajaran Islam sesuatu yang menyanggahi fakta yang benar dan hakikat ilmiah. Apa sahaja pendapat yang menggunakan nama Islam, namun tidak berpaksi hujah dan dalil daripada Al-Quran atau As-Sunnah, maka ia bukan ajaran Islam sekalipun yang memberikan pendapat itu menyangkutkan pada dirinya pelbagai gelaran agama atau memakai bermacam pakaian yang dikaitkan dengan agama.

Demikian juga, apa sahaja pandangan yang dikaitkan dengan Islam jika terbukti secara realitinya bercanggah dengan hakikat alam atau fakta sains yang pasti, atau kemaslahatan hakiki insan secara nyata, maka ia juga bukan daripada ajaran Islam sama sekali. Kata sarjana besar Islam, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751 H): "Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada yang berlawanan dengannya, daripada kebaikan kepada kerosakan, daripada hikmat kepada sia-sia, maka ia bukan syariat Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya."

(Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 3/3, Beirut: Dar al-jail.)

*Diambil dari "Mengemudi Bahtera Perubahan MINDA.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...