Saturday, August 14, 2010

Himpunan Risalah Puasa Dan Isu-Isu Yang Berkaitan..

Klik link dibawah untuk download

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, salam dan selawat ke atas Rasulullah serta ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Setiap kali bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan menjelang tiba, umat Islam secara umumnya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memanfaatkannya dengan amal ibadah. Selari dengan usaha ini, minat untuk bertanya, mengkaji dan menimba ilmu juga meningkat. Ini adalah sesuatu yang baik kerana tidak ada ibadah tanpa ilmu yang benar.

Alhamdulillah, saya banyak menerima soalan berkenaan puasa dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Soalan-soalan ini, sekalipun berasal daripada individu yang berbeza, lazimnya mengarah kepada persoalan yang sama. Persoalan-persoalan ini saya kelompokkan dalam kategorinya yang tertentu. Kemudian bagi setiap kategori saya jelaskan dalam bentuk satu risalah agar ia tidak sahaja dimanfaatkan oleh individu yang bertanya tetapi meluas kepada semua yang berminat. Risalah-risalah ada di antaranya yang pernah disiarkan dalam majalah tempatan, ada yang saya jadikan kertas kuliah dalam majlis-majlis ilmu dan ada yang saya paparkan di laman web al-firdaus.com. Risalah-risalah ini kemudiannya dihimpunkan menjadi sebuah buku sebagaimana yang sedang ditatapi sekarang ini.

Risalah-risalah ini saya usahakan secara rambang. Dengan itu para pembaca yang prihatin akan mendapati risalah-risalah ini memiliki format perbahasan yang berbeza. Malah ada beberapa poin tertentu yang berulang di antara risalah. Ini bukanlah satu kekurangan, malah adalah satu kelebihan di mana setiap risalah berdiri dengan sendirinya sehingga setiap individu boleh mengkaji risalah yang berkaitan dengan persoalan yang dihadapinya.

Pada waktu yang sama, saya juga memanfaatkan sebuah risalah daripada Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Beliau adalah seorang pensyarah Univ. Sains Malaya dan penceramah yang sudah dikenali ramai, alhamdulillah. Di samping itu saya juga memanfaatkan dua buah risalah daripada akhi Khairol Amin bin Mohd Salleh. Beliau, yang lebih dikenali dengan nama singkat “Kamin”, ialah seorang yang mendalam ilmunya lagi rajin berusaha untuk menyebarkannya kepada orang ramai. Beliau merupakan salah seorang ahli panel fiqh al-ahkam (www.al-ahkam.com.my), sebuah laman web yang mengendalikan ratusan persoalan fiqh di alam maya sejak beberapa tahun yang lalu. Jazakallahu khairan katsiran diucapkan kepada kedua-duanya kerana sudi mengizinkan dua daripada risalahnya dimasukkan dalam buku ini.

Perlu diingatkan bahawa buku ini tidak membicarakan “Panduan Berpuasa” kerana hal tersebut adalah sesuatu yang sudah sedia maklum di kalangan orang ramai. Lebih dari itu terdapat banyak buku di pasaran yang membicarakan subjek puasa secara umum. Buku ini hanya memberi tumpuan kepada persoalan-persoalan yang lazim dikemukakan tentang puasa dan isu-isu yang berkaitan dengannya.

Tidak dinafikan bahawa wujud beberapa persoalan lain yang tidak sempat dibahas dalam buku ini. Demikian juga, diakui bahawa terdapat para pembaca yang lebih arif terhadap beberapa persoalan yang dibahas dalam buku ini. Dengan tangan yang terbuka, saya mengalu-alukan apa-apa persoalan, pembaikan dan pandangan daripada para pembaca sekalian. Saya boleh dihubungi melalui e-mel di alamat hafizfirdaus@yahoo.com atau melalui SMS di nombor 019-3848467.

Akhir kata, selamat mengkaji dan menganalisa. Semoga setiap amal ibadah kita adalah selari dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih supaya ia diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebelum mengakhiri Kata Pengantar yang ringkas ini, ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada ukhti Maryati bt. Mat Nasir, akhi Muhammad Rafiq dan akhi Mohammad Yaakub b. Mohammad Yunus atas kesudian mereka membaca, menyemak dan memberi pandangan pembaikan kepada buku ini. Semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala membalasi mereka dengan ganjaran yang sebaik-baiknya di dunia dan akhirat.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Hafiz Firdaus bin Abdullah
1-28 Ramadhan 1425H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...