Monday, August 9, 2010

PERBAHASAN : NON-MUSLIM MEMASUKI MASJID

   Sebahagian orang Islam terlalu keras mencegah orang bukan Islam memasuki masjid.Malah memasuki kawasan masjid untuk meletakkan kereta pun dianggap sebagai kesalahan dalam agama.Contohnya ada individu Muslim yang marah dan bising jika ada individu non-Muslim masuk ke dalam kawasan persekitaran masjid walau hanya untuk melintas menuju ke rumahnya.Mereka beranggapan seolah-olah non-Muslim ini boleh mengotorkan masjid.
   Dalam al-Quran,terdapat larangan bagi non-Muslim untuk masuk Masjidilharam.Firman Allah
maksudnya:
Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya orang musyrik adalah najis maka janganlah mereka menghampiri Masjidilharam selepas tahun ini.
(Surah al-Taubah:28)
Berdasarkan ayat ini,ada ulama mengumumkan ia merujuk kepada semua masjid.Terdapat beberapa peristiwa pada zaman Nabi SAW menunjukkan keharusan non-Muslim memasuki masjid

"Haram bagi non-Muslim memasuki mana-mana masjid Namun ada pandangan ulama yang tidak meluaskan larangan itu kepada semua masjid"

KEHARUSAN NON-MUSLIM MEMASUKI MASJID 

Thumamah Ibn Uthal:Ditawan di Masjid Semasa Kafir
Dilaporkan seorang tawanan bernama Thumamah ibn Uthal pernah diikat pada tiang masjid sebelum dia memeluk Islam.Imam al-Bukhari meletakkan tajuk "bab orang musyrik masuk masjid".Hadis ini tercatat dalam Sahih al-Bukhari dalam kitab solat (no.hadis 462 dan 469)

Kristian tinggal di dalam masjid
Terdapat juga riwayat menunjukkan rombongan kristian tinggal di dalam masjid ketika bertemu Nabi SAW.Perkara yang sama juga dinyatakan penulis Fiqh Sirah,Dr Ramadhan al-Buti (Rujuk Fiqh Sirah,hal.316)

"Harus non-Muslim memasuki masjid jika bertujuan baik.Contohnya ingin mendengar syarahan agama,melihat cara solat umat Islam,mengadakan dialog dan sebagainya"

   Walaubagaimanapun,hendaklah non-Muslim diperingatkan agar menghormati masjid.Mereka perlu menutup aurat dan tidak memakai seluar pendek ataupun skirt yang ketat.Kini,pakaian khas berupa jubah disediakan untuk pelancong-pelancong bukan Islam.Ini selaras dengan zahir firman Allah:

Maksudnya:Wahai anak Adam ! Ambillah perhiasan kamu (menutup aurat)setiap kali ke masjid (solat)
(Surah al-A'raf:31)
   Selain itu tujuan kemasukan non-Muslim ke dalam masjid juga perlu memenuhi kehendak syarie.Jika non-Muslim sekadar hendak bermalam,makan minum dan sebagainya,mereka seharusnya mencari hotel atau restoran untuk tujuan itu.
   Dalam suasana biasa seperti di kampung atau kota,masjid hendaklah sentiasa dibuka.Supaya Muslim bebas datang bersolat,menimba ilmu,melakukan aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Non-Muslim juga dibenarkan masuk mengikut adab untuk masuk ke masjid.Contohnya jika ada jamuan sempena hari raya,alangkah eloknya jika masyarakat non-Muslim setempat dijemput hadir.Jika ada ceramah agama atau forum agama,alangkah comelnya jika masyarakat non-Muslim dijemput bahkan disediakan tempat khas untuk mereka.Non-Muslim yang memasuki masjid mendekatkan mereka kapada Islam,Insya Allah.

"Jika ada permasalahan tentang Islam.non-Muslim boleh datang berjumpa ulama atau imam masjid di pejabatnya"

   Walaubagaimanapun umat Islam perlu yakin bahawa hanya orang beriman layak memakmurkan masjid Allah.Firman Allah:
Maksudnya:Tidak mungkin golongan musyrik memakmurkan masjid-masjid Allah sedangkan mereka kufur.Itulah golongan yang musnah amalan mereka,dan di dalam neraka mereka berkekalan.Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat,menunaikan zakat dan tidak takut melainkan hanya kepada Allah .Itulah golongan yang mudah mudahan menjadi orang yang mendapat hidayah.
(Surah al-Taubah:17-18)
   Satu hal yang pasti, kawasan lapang atau tempat parkir kereta ialah kawasan yang boleh dilalui oleh non-Muslim. Maka adalah harus jika ada keramaian,pameran dan sebagainya di kawasan perkarangan masjid dihadiri oleh non-Muslim.

 Disalin dari buku 
"Fiqah Berinteraksi dengan NON-MUSLIM"
(Mohammad Nidzam Abd.Kadir.)


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...