Saya benar-benar kebingungan. Bagi seorang yang hidup 11 tahun di perantauan, kembali ke Malaysia di era seperti hari ini, memang membingungkan. Semasa di Ireland, saya sudah mendengar tempias American Idol yang sesekali menghiasi dada akhbar Irish Independent dan lain-lain. Talk of the town kadangkala diisi dengan isu siapakah yang sepatutnya mewakili Ireland ke acara Eurovision Contest yang sememangnya tempat pertama pertandingan itu sinonim dengan penyanyi dari Ireland zaman berzaman khususnya penyanyi seperti Johnny Logan. Namun ia hanya acara biasa. Kerja-kerja harian orang ramai berlangsung seperti biasa... tiada yang luar biasa.
Saya terkasima semasa bersiap-siap untuk pulang ke tanah air for good, ketika membaca pengumuman nama Rais Yatim diberikan peranan sebagai Menteri Kebudayaan kabinet Pak Lah yang baru. Hairan bin Ajaib, apa yang saya kenal tentang Rais Yatim, menimbulkan tanda tanya. Mengapakah seorang menteri yang begitu genius khususnya dalam hal ehwal berkaitan undang-undang, tiba-tiba ditempatkan sebagai menteri di sebuah kementerian yang menguruskan hal ehwal zapin dan joget, pesta budaya dan orang filem Malaysia yang sering berbalah sesama sendiri. Adakah ini menjadi langkah ke arah memandulkan politik Rais Yatim?
Namun, kehairanan saya terjawab apabila saya membaca temuramah bersama Rais Yatim di akhbar The Star bersama HL Wong [17 April 2004] di bawah tajuk "Stop ‘Arabising’ Malay Culture" atau "Berhenti MengArabkan Budaya Melayu". Tegasnya, temuramah itu menggambarkan misi Rais Yatim yang mahu mengembalikan semula identiti Melayu yang padanya telah terpadam oleh proses Islamisasi yang diterjemahkannya sebagai Arabisasi. Antara budaya Melayu yang mahu ditonjolkan kembali adalah budaya tari menari. Orang Melayu tak mungkin dapat dipisahkan daripada tari menari kerana ia telah mendarah daging di dalam tubuh kita, tegas beliau.
Nampaknya apa yang dinyatakan oleh beliau benar-benar terealisasi di dalam masyarakat kita. Usahlah pergi jauh, kampung saya sendiri telah terasa kesannya. Seingat saya, kali terakhir kampung saya dihiruk-pikukkan oleh Joget Lambak ialah semasa saya masih di bangku sekolah rendah. Itu bererti Joget Lambak telah pupus di kampung saya semenjak 20 tahun yang lalu. Tetapi pupusnya Joget Lambak bukanlah kerana kampung saya telah diArabkan seperti bangsa Sudan. Bangsa Sudan membuang bahasa asli mereka dan mengambil sepenuhnya Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan mereka. Kampung saya masih pekat 'kome', 'mike' dan sambal belacannya. Namun yang pasti, apabila masjid makin ramai yang datang, perempuan makin ramai yang tutup aurat, emak ayah makin gemar menghantar anak ke kelas fardhu 'ain, maka dengan sendirinya Joget Lambak terketepi dan terhakis dari keMelayuan orang kampung saya. Tetapi saya kekal sebagai salah seorang daripada beberapa orang anak kampung yang reti Bahasa Arab.
Tetapi, selepas 11 tahun saya meninggalkan kampung, saya dikejutkan dengan suatu pengalaman pahit di malam itu. Hanya beberapa ratus kaki dari rumah saya, kenduri kahwin jiran yang siang tadi diTahlilkan dan di'doa selamat'kan oleh Imam kampung, malam ni berjoget terlambak-lambak. Berdentam-dentum dram dan gitar, anak-anak muda terloncat-loncat dan lebih mendukacitakan saya, ia berlaku bersebelahan masjid. Aduh... gelisah saya sepanjang malam di samping anak-anak saya yang tidak boleh tidur akibat kebisingan mereka yang berlanjutan hingga ke tengah malam. Walaupun anak saya lahir di bandar yang penuh orang mabuk dan saling berbunuhan sesama sendiri (di Belfast), namun fitrahnya masih merintih kedamaian yang dibunuh 'orang kahwin' malam itu.
RAKYAT KETAGIH HIBURAN
Fenomena hiburan melampau sememangnya menakutkan saya. Kalau di Ireland, rancangan realiti TV mencari bakat baru berlangsung satu demi satu, tetapi di Malaysia, lima program berjalan serentak. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga untuk orang tua yang sudah senja. Lagu-lagu lama muncul kembali supaya jiwa rakyat yang hari ini telah beruban, terusik kembali untuk mengenang zaman remaja mereka di taman-taman bunga. Semua berhibur, semua berkhayal dan semua terbang ke cloud nine masing-masing.
Iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana agenda yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita sudah 'entertainment centered'. Segala keperluan hidup diarahkan kepada hiburan malah wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi memenangkan idola masing-masing. Akhirnya terhibur menjadi tujuan hidup! Mana-mana yang tidak menghiburkan, tiada makna dan tiada nilai.
Namun, mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih ada nyawa, suara-suara menegur masih kedengaran walaupun tidak begitu diendahkan. Mufti berfatwa, pendakwah menegur, pemimpin mengeluh. Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah ketagihan. Bagai penagih yang keluar masuk pusat serenti, begitulah rakyat yang sudah ketagih hiburan. Sembahyang, sembahyang juga. Tapi kemudian kembali berhibur. Tarian dan lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun nama-nama Tuhan diselitkan jua. Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam masyarakat kita di mana Islam menjadi kosmetik paling murah tapi laku.
Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang bagaimana? Mentor saya memberikan analogi yang menarik. Katanya, nasyid umpama iklan. Iklan yang berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika yang dikenang hanyalah iklan dan kecantikan paras rupa modelnya, sedangkan barangan tidak terjual malah tersisih dari pasaran, maka iklan itu sudah tersasar. Produk yang diiklankan, pelakon iklan yang naik saham!
Nasyid menjadi wadah 'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang kontemporari. Nasyid bertujuan 'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi yang mendengar nasyid cintan cintun dan rap sampah sarap hari ini, berapa ramai yang 'membeli' Tuhan? Adakah cinta kepada Ilahi meningkat selepas menghayati nasyid seperti itu? Walaupun ada penyanyi wanita tergamak mengheret jubah dan tudung ke pentas tari menari, atau yang lelaki menyelitkan kalimah-kalimah Arab di celah caca merba nyanyiannya itu, persoalannya yang manakah yang laku? Adakah Islam semakin laku? Adakah Tuhan semakin dibesarkan? Amat pelik, jika nasyid itu kononnya mempromosikan Islam tetapi Islam tetap tidak laku di pasaran. Jika ia sebuah iklan, maka nasyid hari ini menjadi contoh iklan yang tidak berkesan. Iklan laku, barang tak laku. Nasyid laku, Tuhan tetap terpinggir dan dilupakan.
APAKAH SEMUA INI?
Inilah soalan yang membingungkan saya. Kita melihat bagaimana menyebut kalam-kalam iman seperti Insya Allah, Alhamdulillah, Syukur, Ameen dan lain-lain sudah menjadi seperti adat. "Semoga Tuhan memurahkan rezeki saya dalam bidang ini!", Tuhan mana yang mengurniakan kemurahan rezeki dalam bentuk maksiat dan kebinasaan jati diri? Kepada Tuhan manakah, si artis tadi berdoa? Habis, apa ertinya mereka yang berpenat lelah melawan hawa nafsu dan syaitan dalam kehidupan sedangkan dalam keadaan menaja maksiat, Tuhan masih mengurniakan kemurahan rezeki? Saya masih ingat bagaimana salah sebuah kumpulan ditemuramah oleh televisyen tentang rahsia kejayaan dan keyakinan diri mereka. Mereka menjelaskan bahawa mereka ada sejenis meditation. Apabila diminta membuat demonstrasi, mereka yang terdiri daripada beberapa lelaki dan seorang perempuan berpegangan tangan membentuk bulatan dan... AL-FATIHAH! Selepas itu ketua kumpulan membacakan doa sambil menadah tangan, memohon supaya Allah melindungi band mereka dari kekalahan dan mala petaka bahaya. Terpegun saya menontonnya. Wartawan tersebut pula mengucapkan syabas kerana walaupun kumpulan tersebut menyanyikan lagu kontemporari dan moden, tetapi masih tidak lupakan agama!
Bingung saya memikirkan hal ini. Apakah sebenarnya kefahaman mereka tentang Islam? Adakah mereka benar-benar memaksudkan bahawa Allah, Tuhan Muhammad, Tuhan Abu Bakr, Tuhan Imam Syafie, adalah Tuhan yang sama boleh mengurniakan keredhaanNya kepada acara henjut-henjut mereka di dalam konsert tersebut? Apakah pelajar-pelajar Akademi Fantasia benar-benar percaya bahawa di alam bukan Fantasia, Allah SWT telah menghalalkan perlakuan mereka hanya kerana sebelum jamming, mereka memberikan salam? Seperti orang yang makan daging yang unknown, baca sahaja Bismillah dan baham! Lantaklah daging tu babi ke atau lembu mati dilanggar kereta, yang penting tadi Bismillah telah dibaca. Err... saya benar-benar kebingungan.
Akhirnya, saya sampai kepada suatu kesimpulan. Saya terkenangkan kepada hadith riwayat Huzaifah, bahawa Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan bahawa di akhir zaman, kebenaran itu masih bertahan tetapi bezanya dengan Islam di zaman silam ialah, Islam di akhir zaman ini berdebu, samar-samar dan berasap. Jika realiti di akhir zaman ini begitu, ini bererti Islam tidak boleh dinilai dengan pandangan mata biasa kerana di dalam suasana yang berdebu lagi berasap, dua biji mata di kepala ini akan kemerah-merahan, kabur, berair dan kelam penglihatannya.
Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran. Sebab itu Nabi Muhammad SAW menyuruh kita meminta pandangan hati dalam menilai kebenaran. Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan di hati dan kebaikan pula mententeramkan jiwa. Asalkan hati itu bersih, ia akan meilhat dengan pandangan Allah. Pandangan Allah itu adalah world view yang berasaskan tauhid. Tauhidic Mindset itu adalah suatu pandangan yang menilai kehidupan ini berasaskan pandangan Tuhan. Apa yang baik di sisi Allah, baiklah padanya, dan apa yang keji di sisi Allah, kejilah terhadap dirinya. Hakikat ini tidak dapat dicapai oleh mata kasar, namun yang perlu disuburkan adalah pada mata di hati yang kenal Tuhan dan tahu ke mana ia patut pergi.
Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penari dan penyanyi yang bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang berlatar belakangkan agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita masih mahu berhibur tetapi kita sedar yang kita sudah terlalu terhibur. Kita sedar hiburan kita sekarang adalah dosa. Maka dengan adanya kosmetik Islam tersebut ia dapat mengurangkan rasa berdosa. Sama seperti seorang artis yang pergi umrah. Menangis-nangis di depan Kaabah dan kemudian balik ke KL berdansa semula. Namun diceritakan kepada wartawan perasaannya semasa berumrah itu. Sedangkan tidak sedikit pun kemungkarannya yang ditinggalkan. Namun, dengan menggunakan hasil nyanyian itu untuk mengerjakan umrah, ia dapat mengurangkan rasa berdosa tersebut. Sama juga seperti orang yang menyamun harta orang lain, menipu dan menindas, kemudian sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan. Kurang sedikit rasa berdosa.
Sedangkan apa yang saya belajar, apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam pengajarannya ialah: MEMBUANG RASA BERDOSA KETIKA MASIH MELAKUKAN DOSA ADALAH SEBESAR-BESAR DOSA! Allah.. selamatkan kami dari fitnah akhir zaman.
No comments:
Post a Comment